Oleh itu tidak
keterlaluan jika dikatakan filem itu boleh dianggap sebagai sebuah filem Melayu
yang luar biasa. Sebenarnya ia menjadi gah kerana kontroversi yang diwujudkan
oleh pihak tertentu yang buta sejarah tanpa mengetahui latar belakang filem
berkenaan.
Pengarahnya, Datin
Paduka Shuhaimi Baba patut berterima kasih kepada pihak yang membuat heboh
mengenai filem itu sehingga ia mendapat perhatian ramai termasuk daripada bukan
Melayu.
Banyak komen dimuat
naik ke ruang siber termasuk Facebook bagi menyeru orang ramai supaya memboikot
Tanda Putera. Ada juga yang melabelkannya sebagai rasis, yang menonjolkan
kebencian dan menunjukkan keburukan pihak pembangkang. Malah ada pemimpin
pembangkang yang terasa kononnya dia dibabitkan walaupun tidak ada nama
sesiapapun disebut.
Anehnya mereka yang
membantah itu tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku pada 13 Mei 1969 kerana
mereka masih terlalu muda atau belum lagi lahir ketika itu. Namun bantahan itu
menyebabkan pihak berkuasa terpaksa meminta penerbitnya mengubah suai babak
tertentu yang dianggap ‘terlalu’ sensitif.
Penulis berpeluang
menonton filem itu tahun lalu dan mendapati babak keganasan hanya ditunjukkan
sekejap bagi membuktikan kejadian yang tragik itu. Yang lain ialah kisah
hubungan akrab antara mantan Perdana
Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman
dan bagaimana mereka menangani rusuhan kaum yang berlaku ketika itu. Jadi apa
yang hendak dikecohkan sangat?
Justeru saranan
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amad Shabery Cheek kepada Perbadanan
Kemajuan Filem Nasional (FINAS) supaya membenarkan tayangannya adalah satu
keputusan tepat.
Pihak pembangkang
banyak kali bercakap mengenai kebebasan itu dan ini, kononnya pemikiran mereka
liberal tetapi sebaliknya mereka bantah pula filem Tanda Putera. Jelas bahawa
mereka adalah golongan yang gagal memahami sejarah tanah air.
Mungkin generasi
sekarang tidak nampak betapa besarnya ancaman huru-hara yang dicetuskan akibat
pergeseran antara kaum sekiranya tiada usaha daripada pihak berkuasa untuk
membendungnya.
Rusuhan antara kaum
di Kuala Lumpur ketika itu menyebabkan ibu kota
diisytiharkan kawasan darurat. Rusuhan juga tercetus di Pulau Pinang.
Dalam salah satu bab
dalam bukunya, ‘May 13: Before and After’ (1969), bekas Perdana Menteri, Tunku
Abdul Rahman al-Haj menulis: “Kekacauan berlaku di Kuala Lumpur dan pihak
keselamatan dikerah menjaga ketenteraman awam serta banyak tempat dianggap
sebagai kawasan berisiko. Saya tiada pilihan dan perlu mengisytiharkan darurat
di Kuala Lumpur dan jika perlu di seluruh negara.
“Kekacauan tidak
sepatutnya berlaku. Saya tahu apa yang berlaku ketika perarakan parti
pembangkang dan mereka bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Namun dalam
situasi ini, tindakan balas tidak akan membantu membaiki keadaan,” kata Tunku.
Apa yang ditulis
oleh Tunku itu adalah fakta dan ia sudah menjadi bahan dalam lipatan sejarah
kita. Tidak ada sesiapapun harus mempertikaikannya.
Filem itu
mengingatkan generasi muda betapa perpaduan kaum dan keamanan adalah penting
bagi membolehkan Malaysia terus mengecapi pertumbuhan dan kemajuan. Tanpa
perpaduan, negara kita tidak akan ke mana-mana.
Terdapat juga
buku, tesis, artikel dan kritikan yang ditulis oleh pihak lain termasuk sarjana
Barat yang tidak tepat dari segi faktanya atau memihak pembangkang.
Apapun, seruan
supaya filem itu diboikot sememangnya sesuatu yang kolot dan tidak boleh
dipakai lagi. Terimalah Tanda Putera dengan minda terbuka dan sebagai
peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa pada usia kita yang ke-56 ini, kita
tidak perlu lagi mempunyai satu lagi rusuhan seperti yang berlaku itu.
Hakikatnya, kita
memerlukan lebih banyak filem yang boleh membangkitkan semangat patriotik dan
nasionalisme seperti Tanda Putera bagi menimbulkan kesedaran dan menjadi
pengajaran kepada anak muda zaman ini. Syabas kepada kementerian berkenaan
kerana memutuskan supaya filem itu ditayangkan kepada umum. Harapan kita agar
ia tidak ditangguhkan lagi. - Berita Harian, 5 Jun 2013