Monday, 3 June 2013

Ura-ura bentuk 1BN, UMNO perlu diperkukuhkan

  Inisiatif parti bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN) untuk bergabung adalah langkah perintis yang positif ke arah penyatuan terbesar parti berkenaan sebagai persediaan menghadapi berikutan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

  Pemerhati politik melihat ini sebagai perkembangan menarik dalam penjenamaan semula seperti diuar-uarkan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
  Pada masa ini MCA, GERAKAN dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) adalah antara parti yang mewakili kaum itu dalam BN. Penggabungan ketiga-tiga parti berkenaan, masing-masing dengan penyokong mereka tentunya dapat memperkuatkan lagi sokongan masyarakat Cina terhadap BN pada PRU-14.

  Keputusan PRU-13 jelas menunjukkan sesuatu tidak kena dengan formula diamalkan selama ini dan inilah perkara harus diteliti oleh pemimpin mereka. Namun, tiada sesiapa pun yang tahu sejauh mana berkesannya formula yang bakal diwujudkan itu sehingga ia diuji pada PRU akan datang.
  Apapun ini bukan masanya bagi parti komponen menyalahkan sesiapa termasuk pemimpin mereka kerana menghadapi kekalahan teruk pada PRU-13. Jangan jadi seperti pembangkang yang tidak dapat menerima kekalahan dan memberi pelbagai alasan tidak munasabah.

  Tentunya inisiatif diuar-uarkan oleh Naib Presiden MCA, Datuk Seri Chor Chee Heung baru-baru ini satu permulaan kepada usaha lebih besar iaitu untuk membentuk sebuah parti - BN ataupun entiti barunya - bagi menyesuaikannya dengan keadaan semasa.
  Malah mengikut perancangan, penyatuan pada peringkat awal ini akan turut membabitkan MIC serta beberapa parti lain yang mewakili masyarakat India.

  Untuk tujuan itu, MIC juga dijangka mengadakan perbincangan dengan organisasi lain yang mewakili masyarakat India, seperti Parti Progresif Penduduk (PPP), Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) dan Parti Makkal Sakthi Malaysia (MMSP) dalam masa terdekat.
  Maknanya penyatuan BN itu dilakukan dari segi mikro dan makro. Seperti ditegaskan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel, usaha itu adalah penting bagi menjamin masa depan masyarakat berkenaan.

  Lagipun parti berkenaan mahupun PPP dan yang lain tidak nampak kesannya dalam pilihan raya lalu menyebabkan mereka juga memerlukan satu rejuvenasi untuk terus hidup.

  Selain itu, UMNO juga diharap dapat mengambil inisiatif sama bagi merapatkan lagi masyarakat Melayu yang kini berpecah kepada dua atau tiga kumpulan.
  Walaupun sokongan terhadap UMNO bertambah baik dan jumlah kerusi dimenangi pada PRU-13 juga meningkat berbanding PRU-12, parti itu tidak boleh leka dan membiarkan situasi di mana masyarakat Melayu terus berpecah.

  Adalah wajar UMNO juga mengambil inisiatif bagi memperbaiki apa jua kelemahan dan merapatkan semula ahli dan pemimpinnya.
  Sebarang perasaan tidak puas hati berikutan pemilihan calon pilihan raya dan pengumuman barisan Kabinet yang mungkin menyebabkan sesetengah pihak berasa kecewa atau disisih dapat diketepikan.

  Sebagai parti tunjang BN, UMNO tidak boleh lagi menanggung rintihan dan keresahan ahli. Pemimpin parti diharap dapat menangani isu ini dengan berkesan bagi mengelak ia berlarutan dan menjejaskan pencapaiannya pada PRU akan datang. Keadaan dijangka menjadi lebih meruncing apabila parti berkenaan mengadakan pemilihan dan perebutan jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT).
  Oleh itu cakap-cakap kononnya ada orang tertentu akan berentap merebut jawatan bukanlah perkara asing setiap kali UMNO mengadakan pemilihan. Demi kekuatan parti dan penyatuan ahli, gosip politik mengenai siapa akan mencabar siapa harus dihentikan.

  Parti komponen BN seperti MCA, GERAKAN dan MIC juga tidak perlu memberi begitu banyak tumpuan kepada pemilihan atau siapa patut menganggotai jawatankuasa tertinggi parti apabila mereka mengadakan pemilihan tahun ini.
  Isu yang perlu dihadapi mereka kini ialah harapan baru rakyat kepada BN. Dalam merangka strategi baru itu, parti berkenaan hendaklah mencari formula yang membolehkan BN bertindak sebagai sebuah parti tunggal bagi memenuhi aspirasi rakyat dan pada masa sama tidak mengetepikan kepentingan kaum masing-masing. – Berita Harian, 29 Mei 2013