Friday, 25 October 2013

GERAKAN cuba kekalkan identiti pelbagai kaum

Prof Syed Hussein Alattas, Presiden pertama Parti GERAKAN
  Dua ahli Melayu dalam GERAKAN, Dr Asharuddin Ahmad, 53, dan Syed Abdul Razak Syed Alsagoff, 53 adalah antara enam calon yang akan merebut tiga jawatan Naib Presiden parti itu pada pemilihan esok.

 Dr Asharuddin pernah bertanding jawatan sama pada pemilihan 2008 tetapi tewas dan mendapat tempat keempat. Bagaimanapun apabila  Naib Presiden yang dipilih, Datuk Huan Cheng Guan bertindak keluar  GERAKAN untuk menyertai Parti Cinta Malaysia dan seorang lagi, Datuk Dr S Vijayaratnam meninggal dunia, Dr Asharuddin dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat (CWC).
  Selain itu, pemilihan berkenaan akan juga menyaksikan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, termasuk Presiden yang akan ditandingi secara satu lawan satu antara pemangku Setiausaha Agung, Datuk Mah Siew Keong, 52, dengan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, 49.

  Jawatan Presiden kosong berikutan keengganan pemangkunya, Datuk Chang Ko Youn untuk mempertahankan kedudukannya bagi memberi laluan kepada pemimpin lebih muda. Ko Youn memangku jawatan itu apabila Tan Sri Dr Koh Tsu Koon melepaskan jawatan berkenaan Mei lalu.  
  Dr Asharuddin yang juga pengusaha sebuah kolej swasta itu menganggotai GERAKAN selama 15 tahun dan kini menyandang jawatan Pengerusi Biro Perpaduan dan Ahli Jawatankuasa GERAKAN Selangor.

  Syed Razak juga Ahli Jawatankuasa GERAKAN Selangor dan baru-baru ini beliau menang pada pemilihan peringkat negeri. Dalam satu kenyataannya baru-baru ini,  beliau ingin memainkan peranan menambahkan ahli Melayu dan India dalam parti berkenaan kepada 15 hingga 20 peratus lagi bagi mengimbangi keahliannya.
  Beliau juga fasih berbahasa Hokkien dan Kantonis serta bahasa Inggeris. Seperti Dr Asharuddin yang pernah menjadi Ketua UMNO Cawangan Bandaraya, Syed Razak pula adalah juga bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Melayu Subang pada 1990-an.

  Dalam satu pertemuan baru-baru ini, pemangku Presiden GERAKAN turut menyatakan hasratnya untuk mengubah imej parti berkenaan dan mengembalikannya kepada bentuk kepelbagaian kaum sehingga timbul idea untuk mencari seorang tokoh bukan Cina bagi menjadi pemimpinnya.
  Ketika parti itu diasaskan pada 1968, presiden pertamanya ialah Prof Syed Hussein Alatas dari Universiti Singapura dan ia mempunyai barisan pemimpin pelbagai kaum meliputi Melayu, Cina dan India.

  Kini GERAKAN dianggap sebagai parti berasaskan kaum yang didominasi oleh kaum Cina. Ko Youn berpendapat keadaan itu berlaku kerana budaya politik Malaysia yang memaksanya menjadi sebuah parti berasaskan kaum.
  “Alangkah baiknya jika saya dapat mencari seorang tokoh Melayu ataupun kaum lain untuk memimpin parti ini, sekali gus mengembalikannya kepada semangat kepelbagaian kaum seperti pada ketika ia diasaskan” kata beliau.

  Ko Youn mengakui  baru-baru ini beliau berkesempatan berbual dengan seorang tokoh Melayu bagi meninjau kemungkinan untuk mengangkatnya sebagai pemimpin baru GERAKAN. Hasratnya itu  tidak menjadi kenyataan kerana pemimpin itu tidak mempunyai pandangan selari dengan parti itu. Lagipun, beliau berpendapat pertukaran pemimpin saja tidak memadai jika bentuk parti dan aspirasi akar umbi parti  masih lagi berasaskan satu kaum.
  “Mungkin ia satu idea yang baik untuk dicuba pada masa depan, bukan sekarang,” kata beliau.

  Setakat ini hanya Dr Asharuddin saja pemimpin Melayu dalam GERAKAN di peringkat Pusat. Dengan ketiadaan pemimpin Melayu atau kaum lain bagi menerajui parti berkenaan, GERAKAN tidak mempunyai banyak pilihan selain memilih daripada barisan yang ada sekarang.
  Cadangan untuk mempunyai pemimpin Melayu atau kaum lain bagi mengetuai GERAKAN, bagaimanapun mendapat tamparan hebat apabila parti berkenaan mengadakan pemilihan peringkat negeri di Pulau Pinang baru-baru ini.

  Dalam pemilihan itu, bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dipilih sebagai Pengerusi baru GERAKAN Pulau Pinang, mengalahkan calon bukan Cina, Baljit Singh Jigiri Singh.
  Chang Yeow mendapat 220 undi, manakala Baljit memperoleh 106 undi bagi jawatan yang dilepaskan oleh Datuk Dr Teng Hock Nan itu. Ko Youn berkata senario di Pulau Pinang berlainan kerana Chang Yeow adalah bekas Pengerusi BN Negeri.

  Apapun, kata beliau, siapapun yang menjadi Presiden hendaklah menerima ideologi kepelbagaian kaum parti berkenaan.
  Justeru, sudah tentu rakyat ingin melihat sejauh manakah sokongan yang bakal diperoleh Dr Asharuddin dan Syed Razak pada pemilihan ini. - Berita Harian, 25 Oktober 2013