Sunday, 20 October 2013

Kemenangan terbatal jika terbukti langgar etika - Tengku Rithauddeen

  Sempena pemilihan induk UMNO hari ini, Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mahukan calon yang bertanding mematuhi setiap peraturan dan etika parti supaya proses demokrasi berjalan lancar tanpa masalah.

  Tegasnya, calon hendaklah bertanding secara berhemah dan tidak mensabotaj atau tindakan cantas mencantas orang lain. Mereka juga diingatkan supaya mengikut cara yang ditentukan ibu pejabat parti berhubung apa jua perkara yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh.
  “Jangan langgar etika dan peraturan dan ikut perlembagaan parti,” tegasnya, sambil menambah setakat ini Lembaga Disiplin sudah menerima dua aduan bertulis berhubung politik wang membabitkan calon yang bertanding jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan ketua bahagian.

  Katanya, selepas menerima aduan itu, lembaga berkenaan menghantar wakil untuk menyiasat bagi menentukan kesahihannya agar tidak berlaku penganiayaan atau tuduhan palsu.
  “Sekiranya didapati ada kes, mereka yang terbabit akan dipanggil untuk perbicaraan yang dikendalikan seorang pengerusi dan dua ahli lembaga,” kata beliau pada satu pertemuan, baru-baru ini.

  Tengku Rithauddeen berkata, proses bagi mengadili calon yang dituduh akan diteruskan selepas pemilihan ini dan sekiranya didapati bersalah tetapi menang, calon berkenaan tidak boleh memegang jawatannya.

  “Tetapi selagi belum menghadapi lembaga untuk perbicaraan dan tidak dibuktikan bersalah, kita tidak boleh menuduhnya kerana bimbang ada pihak cuba mensabotaj atau menganiayanya. Itu sebabnya lembaga tidak boleh mengambil tindakan secara tergesa-gesa dan tidak bertindak sekiranya tiada aduan bertulis,” jelasnya.
  Katanya, Lembaga Disiplin kini sibuk mendengar lebih 100 aduan perbuatan mensabotaj parti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

  “Kami melakukannya dengan cepat dan setiap hari hampir tiga atau empat kes dibicarakan bagi membolehkan mereka layak bertanding pada pemilihan ini. Individu ini kalau didapati bersalah tidak boleh bertanding tetapi kalau boleh bertanding, bertandinglah,” katanya.
  Tengku Rithauddeen berkata, hari ini adalah hari terakhir bagi lembaga menentukan sama ada seseorang calon itu layak bertanding jawatan ketua bahagian atau jawatan Majlis Tertinggi.

  “Kita utamakan kes calon yang nak bertanding, itu sebabnya kita dengar setiap hari kerana ada kemungkinan aduan yang diterima tidak betul. Setakat ini kami sudah selesai banyak kes, pada asalnya lebih 100,” katanya.
  Mengenai kesalahan ahli dalam PRU-13,  termasuk perbuatan mensabotaj parti dengan menyokong atau berkempen untuk pembangkang serta menjadi pencadang bagi penentang calon parti, mereka memberi alasan tidak berpuas hati dengan keputusan parti ketika pilihan raya.  Ada antara mereka yang didapati bersalah sudah digantung keahlian.

 Hari ini adalah penentuan bagi barisan kepemimpinan UMNO 2013-2016 dipilih. Parti berusia 67 tahun itu mencatatkan satu rekod baru kerana tanggungjawab  memilih ahli MT,  termasuk Naib Presiden diserahkan kepada akar umbi iaitu 146,500 ahli di 191 bahagian.
 Fasa pertama pemilihan sudah selesai dijalankan untuk ketiga-tiga sayap parti pada Sabtu lalu. Pemilihan berkonsepkan ‘electoral college’ yang pertama kali diperkenalkan itu secara keseluruhannya berjalan lancar, sekali gus membuktikan UMNO mampu menjalankan proses pemilihan membabitkan lebih ramai ahli, berbanding hanya 2,500 perwakilan sebelum ini.

  Dalam pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pemuda, penyandangnya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyapu bersih sokongan Pemuda dan diberikan mandat oleh 190 bahagian.
  Ia  sesuatu di luar jangkaan banyak pihak kerana pada pemilihan 2009, Khairy menghadapi pelbagai dugaan, termasuk keputusan yang memihak kepadanya dipertikaikan. Kini nasib sudah mulai menyebelahinya dan beliau sudah terlepas daripada masalah.

  Seperti Khairy, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil juga tidak sunyi daripada dugaan politik tetapi kekal pilihan perwakilan dengan mendapat sokongan daripada 172 bahagian.
 Keputusan pemilihan sayap parti itu mendorong banyak pihak  membuat pelbagai andaian. Ada pihak berpendapat  pemilihan pucuk pimpinan parti pada Sabtu ini akan mengikut trend pemilihan pimpinan Pemuda dan Wanita. Pada pemilihan Sabtu lalu, jelas ahli akar umbi memberi sokongan kepada penyandang jawatan.

 Sebenarnya kedua-dua pertandingan itu  berbeza kerana calon yang mencabar jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita terdiri daripada muka baru tidak dikenali kecuali Datuk Maznah Mazlan yang hanya muncul pada saat akhir.
 Dalam perebutan tiga kerusi Naib Presiden, calon penyandang dan pencabar adalah setara, sama hebat dan pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Penyandang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal ialah  menteri Kabinet semasa.

  Namun, calon pencabar, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ialah bekas Ketua Menteri Melaka dan kini Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan baru dilantik sebagai Senator.
   Tan Sri Isa Abdul Samad pula ialah Ahli Parlimen Jempol dan Pengerusi FELDA serta pernah menjadi menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

  Datuk Mukhriz Mahathir pula  Menteri Besar Kedah selepas Barisan Nasional (BN) negeri berjaya merampas semula negeri Jelapang Padi itu daripada PAS pada PRU-13 lalu. Beliau juga  anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  Justeru,  tidak benar sekiranya kita membuat andaian  pertandingan sayap parti minggu lalu boleh memberi gambaran apa yang mungkin berlaku pada pemilihan pucuk pimpinan parti hari ini.

  Ia pertandingan paling menarik tahun ini yang bukan saja ditunggu  ahli UMNO tetapi juga seluruh rakyat. Seperti kata bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam, pertandingan ini bukan hanya untuk parti tetapi juga untuk mencari siapa bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.
  Sama-samalah kita lihat selepas ini siapa yang menjadi pilihan perwakilan antara keenam-enam calon Naib Presiden itu. - Berita Harian, 19 Oktober 2013