Wednesday, 9 October 2013

Shahrizat tak terkejut dengan tentangan Raihan, Maznah

   Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap perwakilan akan memilih pemimpin yang boleh terus membawa pergerakan itu ke satu tahap kecemerlangan, bukan retorik saja.

  Katanya, Wanita UMNO adalah satu pergerakan yang besar, sesiapa yang hendak memimpinnya mesti sanggup turun cawangan, masuk kampung, keluar kampung dan berada di bandar bersama mereka yang miskin.
  “Tidak boleh menjadi pemimpin bermusim atau mentadbir dari kerusi empuk, tak boleh retorik, mesti mempunyai kecekalan dan stabil dalam menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran,” tegasnya.

 Dalam pemilihan bersejarah Sabtu ini yang mana lebih 140,000 perwakilan akan memilih pemimpin sayap parti, Shahrizat ditentang dua calon lain pada saat-saat akhir iaitu Raihan Sulaiman Palestin dan Datuk Maznah Mazlan.
  Shahrizat mengakui bahawa landskap politik pada hari ini bukan lagi seperti dulu, justeru pemimpin mesti kuat semangat, sedia menghadapi apa juga cabaran dan dugaan.

  “Pemimpin hari ini kalau hanya untuk ‘honeymoon’ (bulan madu) saja memang akan menghadapi pelbagai masalah.
  “Saya bersyukur kerana tidak pernah lepas Wanita UMNO, 32 tahun bersama Wanita, tidak satu ketika pun saya keluar daripada pergerakan ini ataupun tinggalkan mereka ketika suka dan duka,” katanya.

 Beliau berkata, visinya adalah jelas untuk membawa Wanita UMNO iaitu ke setinggi-tingginya mercu.
Saya tidak takut untuk menyuarakan isu berkaitan wanita dan oleh kerana saya komited, saya sanggup hadapi apa juga rintangan untuk menentukan kebangkitan wanita di seluruh negara,” tegasnya.

  Mengenai penyertaannya dalam pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Wanita itu buat kali kedua, Shahrizat berkata, beliau puas hati dengan pencapaian pergerakan itu bagi fasa pertama kepemimpinannya.
  Namun, katanya, seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perjuangan beliau masih belum selesai dan ingin terus berjuang bagi mengarusperdanakan Wanita UMNO dalam arus perdana politik.

  Dalam fasa kedua ini, beliau ingin lihat pergerakan itu diiktiraf sebagai tulang belakang UMNO dan bukan sekadar sayap parti.
  “Dari segi keahlian, Wanita paling ramai. Hari ini merah putih menjadi satu gelombang yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan ini semuanya meluap-luap datang dari akar umbi.

  “Untuk masa depan, Wanita UMNO mesti diiktiraf sebagai tulang belakang, saya nak tentukan lebih ramai wanita diberi tempat untuk membuat keputusan, mula dari cawangan ke bahagian, negeri dan peringkat kebangsaan,” katanya.
  Mengenai tentangan daripada Raihan dan Maznah, Shahrizat berkata beliau tidak terkejut langsung, malah sememangnya sudah dapat meramalkan bahawa Ketua Wanita akan mempunyai pertandingan.

  “Ia bukanlah perkara yang mengejutkan. Kalau kita tengok latar belakang sejarahnya, jawatan Wanita UMNO itu dipertandingkan, tidak ada apa yang mengejutkan dan ia sudah dijangkakan,” kata beliau.
  Sebelum penyertaan Raihan dan Maznah, bekas Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said juga menyatakan hasrat untuk melawan Shahrizat,  tetapi beliau kemudian menarik diri.

  Ditanya mengenai sama ada sokongan Ketua Wanita negeri yang diberikan kepada beliau dalam pertandingan ini benar-benar ikhlas atau mereka sekadar mengikut trend ataupun melakukannya kerana takut, Shahrizat berkata:
  “Saya memimpin sebagai satu keluarga dengan mereka. Saya tidur bangun, berdiri dan  duduk bersama Wanita UMNO ini  tidak kurang dari 30 tahun.

  “Saya pemimpin akar umbi, sehingga hari ini saya masih menjadi Ketua Wanita UMNO cawangan. Maka dengan itu saya amat memahami cita rasa, suka duka, impian keperluan Wanita. Jadi kalau mereka menyatakan sokongan kepada saya, saya tak hairan kerana saya one of them, bukan berada dengan mereka ketika pemilihan saja.”
   Ketua Wanita UMNO itu menambah, ketika menjadi EXCO Wanita satu dekad dulu, beliau sudah pusing satu Malaysia dan memang suka saat-saat manis dalam kepemimpinannya apabila berada dengan ahli pada  peringkat akar umbi.   

  “Jadi bila saya turun, mereka menyuarakan sokongan kepada saya, itu  budaya dalam UMNO dan saya menyambut baik. Cuma kita kena tengok apa akan berlaku pada Sabtu ini (12 Oktober). Saya yakin dengan kepemimpinan saya sebab saya tahu ke arah mana nak bawa Wanita, tapi saya tidak pernah over confident,” tegasnya. - Berita Harian, 8 Oktober 2013