Cadangan supaya BN
wujud sebagai sebuah parti tunggal pada mulanya dikemukakan oleh GERAKAN
selepas Pilihan raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang baru lalu. Selain GERAKAN, MCA
dan MIC yang juga mengalami masalah sokongan daripada pengundi dalam PRU lalu
seharusnya membuat penilaian dalamannya sendiri.
Pemerhati politik
berpendapat antara cara untuk melakukan perubahan ini ialah dengan
menggabungkan parti Cina dan India dalam BN supaya mereka dapat mewakili kaum
masing-masing sebagai parti tunggal dan tidak berpecah.
Melayu hanya
diwakili UMNO dan tidak perlu bergabung. Lagipun, keputusan PRU-13 itu
menunjukkan UMNO memperoleh lebih banyak kerusi Parlimen, iaitu 88 kerusi
berbanding 79 kerusi pada PRU-12.
Suku ketiga tahun
ini adalah tempoh sibuk bagi parti komponen utama BN yang akan mengadakan
persidangan tahunan dan pemilihan pucuk pimpinan yang ditangguhkan sebelum ini.
GERAKAN akan
mengadakan persidangan tahunan dan pemilihan pada 26 Oktober depan, yang mana
masa depan parti itu dijangka ditentukan oleh perwakilannya. MIC dan MCA juga
akan mengadakan persidangan tahunan masing-masing selepas itu.
UMNO, parti terbesar
dalam gabungan berkenaan, juga akan mengadakan persidangannya yang buat pertama kalinya pemilihan pemimpin
dilakukan dari peringkat cawangan, bahagian dan
perhimpunan agung membabitkan kira-kira 150,000 orang.
Sejak awal minggu
ini sudah ada seruan di peringkat bahagian tertentu yang mahu jawatan presiden
dan timbalan presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan ini bagi
mengukuhkan perpaduan parti.
Ini bermakna
ketetapan perwakilan keempat-empat parti utama komponen BN itu mengenai
cadangan kewujudan sebuah parti tunggal BN akan hanya dapat diketahui selepas
selesai semua sidang perwakilan berkenaan menjelang penghujung tahun ini.
Sebagai parti
tunjang, UMNO tidak harus mengikut telunjuk parti lain, terutama parti yang
semakin hilang sokongan pengundi. UMNO wajar bertindak tegas dan bukannya
terikut-ikut dengan gesaan pihak lain. Sebenarnya inilah yang dikehendaki parti
pembangkang. Kalau boleh, mereka mahu UMNO pupus dan Melayu duduk menumpang di
bawah parti lain.
Kenyataan mantan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yogyakarta, kelmarin bahawa belum
sampai masa bagi BN menjadi sebuah parti yang dibuka kepada rakyat berbilang
kaum menggambarkan bahawa beliau juga tidak bersetuju dengan idea berkenaan.
Bagi Dr Mahathir,
kerjasama antara parti yang mewakili kaum dan konsep perkongsian kuasa seperti
diamalkan sekarang adalah pendekatan terbaik buat masa ini. Beberapa pemimpin
UMNO lain juga turut menyuarakan pandangan sama.
Ketua UMNO Bahagian
Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, berkata memang belum sampai masa untuk
parti berkenaan menjadi sebuah parti untuk semua. UMNO sudah menunjukkan
prestasi terbaik dalam PRU-13 dengan memperoleh kerusi Parlimen tambahan.
“Yang mengalami
masalah bukan UMNO, tetapi MCA dan GERAKAN yang patut buat bedah siasat untuk
kembalikan keyakinan pengundi. MCA dan GERAKAN patut buat kajian pada peringkat
makmal. Apa hal pula UMNO kena buat kajian makmal?,” ujarnya.
Katanya, parti itu
termasuk MIC perlu melihat masalah dalaman dan kalau perlu, pemimpin mereka
patut menimbang untuk memberi laluan kepada muka baru.
Syed Ali, yang juga
Setiausaha UMNO dan BN Wilayah Persekutuan turut menyatakan sokongan kepada
cadangan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO tidak
dipertandingkan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.
Beliau mengingatkan
ahli parti jangan membiarkan parasit
politik merosakkan UMNO menjelang perhimpunan agung tidak lama lagi. Parasit
politik akan merosakkan perpaduan dalam kalangan ahli parti menerusi pelbagai
kaedah termasuk melaga-lagakan sesama pemimpin UMNO.
Namun, dengan
tegasnya beliau berkata, semua jawatan lain termasuk naib presiden hendaklah
dibuka untuk pertandingan. Pemilihan ini, katanya, adalah wadah terbaik bagi
UMNO mencari barisan pemimpin pelapis yang bakal menerajui negara pada masa
depan.
“UMNO perlu
mengenengahkan generasi baru yang berkaliber dan berani supaya satu hari nanti
mereka akan mengambil alih jawatan tertinggi parti,” katanya. – Berita
Harian, 6 Jun 2013