Sunday, 9 June 2013

Menelusuri cadangan parti tunggal BN

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang baru lalu, GERAKAN membuat kejutan dengan mengemukakan cadangan supaya Barisan Nasional (BN) wujud sebagai sebuah parti tunggal, sekali gus menolak konsep parti berasaskan kaum. Alasan parti berkenaan ialah BN perlu satu identiti dan imej baru bagi menarik minat serta sokongan golongan muda dan pengundi bandar.  Cadangan itu menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan daripada kalangan pemimpin parti komponen BN sendiri. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berpendapat idea itu perlu terlebih dulu dibincang secara terperinci di peringkat makmal politik. Beberapa pemimpin UMNO bagaimanapun tidak bersetuju kerana berpendapat perjuangan parti itu masih memerlukan ia meneruskan konsep yang ada sekarang. Bagi memahami dengan lebih jelas apa sebenarnya hasrat parti GERAKAN itu, wartawan BH, Razak Rashid Ghows menemubual Pemangku Presiden GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn. Ikuti sedutan temu bual itu seperti berikut:

Wartawan:   Baru-baru ini berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), GERAKAN mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) diubah untuk menjadi sebuah parti tunggal dan bukannya gabungan parti yang mewakili kaum tertentu. Boleh Datuk jelaskan cadangan itu? 
Chang Ko Youn:   Selepas pilihan raya lalu, kami membuat kajian mengenai trend pengundian di kawasan bandar dan luar bandar. Kami mendapati dengan jelas pengundi Melayu dan India di luar bandar memilih BN. Namun, di kawasan bandar, Melayu tidak kembali ke BN terutama di Selangor serta beberapa kawasan di Pahang dan Johor, khususnya golongan muda. Kira-kira 85 peratus pengundi Cina di kawasan bandar sudah lari dari BN ke pakatan pembangkang. Dalam kempen, kami tengok isu yang dimainkan oleh parti lawan seperti rasuah, ketidaktelusan dan juga sistem penyampaian kerajaan. Memang benar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat beberapa program transformasi dan 1Malaysia untuk menangani isu itu tetapi mereka rasa tidak cukup cepat dan kuat. Atas sebab demikian, mereka lari daripada BN.

 S:   Atas sebab itu, GERAKAN mengemukakan cadangan parti tunggal BN sebagai penyelesaiannya?
 J:  Untuk tarik balik sokongan termasuk daripada pengundi Cina,   satu daripada caranya ialah mengubah struktur, imej dan cara kerja BN. Justeru pendekatan politik BN kena berubah. Tidak boleh cara lama iaitu UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India. Sebaliknya kita tubuhkan sebuah parti BN bagi menjaga semua golongan rakyat Malaysia tanpa mengambil kira kaum, agama dan budaya.

 S:   Bagaimana dengan hak keistimewaan Melayu sekiranya diwujudkan sebuah parti untuk semua?
 J:  Dalam BN masih boleh laksana program hak istimewa Bumiputera. Cuma dari segi pendekatan berubah termasuk nama dan logo baru untuk dapat sokongan pengundi di Malaysia, khususnya golongan muda. Kita kena faham aspirasi pengundi muda ini dan kecenderungan mereka. Kalau BN tak berubah, saya jangka pada PRU-14 ia akan menghadapi banyak masalah. Perlu saya sebut di sini bahawa ketika perkara ini mula dibangkitkan dalam GERAKAN, ada juga ahli yang tidak setuju dengannya kerana bimbang parti mereka akan tenggelam dan hilang. Namun saya amat setuju dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang mengesyorkan supaya diadakan satu makmal politik untuk meneliti cadangan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal. Saya amat berharap ia akan membawa hasil yang baik.

 S:  Apa langkah berikutnya?
 J:  Setiap parti komponen hendaklah juga mencari jalan bagaimana cara paling sesuai bagi mewujudkan parti tunggal BN. Banyak parti di Sabah dan Sarawak menyatakan tidak perlu mewujudkan 1BN dan mereka mahu supaya dikekalkan sistem yang ada. Mereka sekarang berada dalam zon selesa tetapi satu hari nanti mereka juga akan turut mengalami proses urbanisasi. Cara pemikiran orang di bandar berbeza dengan orang luar bandar. Oleh itu saya berpendapat parti politik di Sabah dan Sarawak tidak harus tunggu. Saya mengakui bahawa kali ini BN mendapat sokongan kuat dari Sabah dan Sarawak tetapi dalam lima tahun akan ada hampir dua juta pengundi muda di seluruh negara dan ketika itu keadaan boleh menjadi lebih meruncing.

S:   Tetapi rata-rata kalau Datuk lihat melalui laporan dalam akhbar, pemimpin UMNO yang menyatakan mereka tidak setuju dengan cadangan mewujudkan sebuah parti tunggal BN?
J:  Kita harus lihat pada senario lebih besar. Kita sudah guna pendekatan sama yang digunakan selama 56 tahun lalu dan pastinya ia memerlukan perubahan. Kalau dilihat undi popular dalam PRU-13, BN hanya memperoleh 47 peratus sementara jumlah kerusi secara keseluruhan juga menurun berbanding PRU-12 pada 2008.

S:   Bagaimana GERAKAN bercadang untuk meneruskan perancangan ini?
J:  Peringkat permulaan GERAKAN meminta MCA menimbang untuk mengubah keanggotaannya daripada parti berasaskan Cina kepada pelbagai kaum. Mungkin MCA boleh jadi ‘Malaysian Citizens Association’ berbanding ‘Malaysian Chinese Association’ sekarang. Saya memberitahu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa GERAKAN sanggup membawa ahlinya masuk MCA jika ia melakukan demikian. Malah, sejak dua tahun lalu kami sudah mencadangkan kepada MCA tetapi parti itu masih bertegas untuk mewakili kaum Cina saja. Saya sedar bahawa usaha itu agak sukar dilaksanakan oleh UMNO dan ia lebih mudah dilakukan oleh MCA dan MIC.

S:   Bagaimana dengan reaksi Presiden MCA?
J:  Beliau agak berminat, tetapi apabila idea ini dikemukakan dua tahun lalu, beliau tidak dapat meyakinkan ahli jawatankuasanya. Mereka mahu kekal sebagai parti Cina. Dengan perkembangan terbaru keputusan PRU-13 ini, saya tidak tahu sama ada beliau boleh meyakinkan Jawatankuasa Kerja Pusat.

S:   Apakah Datuk menaruh harapan cadangan itu dapat direalisasikan sebelum PRU-14?
J:  Tiada tempoh masa ditetapkan, tetapi pemimpin BN sepatutnya mula berbincang dan membuat penjelasan yang perlu. Seperti saya katakan, ia lebih mudah dilaksanakan oleh MCA, MIC dan PPP. UMNO mungkin yang terakhir. Selain parti di Semenanjung, saya juga turut mengadakan perbincangan dengan Parti Progresif Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP). Mereka juga menghadapi masalah sama dan berminat dengan cadangan ini. 

S:   Apakah langkah ini menunjukkan bahawa GERAKAN sebenarnya sedang karam?
J:  Saya tidak setuju. Kalau kita lihat gambaran sepenuhnya, bukan hanya GERAKAN saja yang semakin kehilangan sokongan, BN juga mengalami nasib sama. Sudah tentu pihak yang mengalami kesan paling teruk ialah parti Cina seperti MCA dan GERAKAN. Pada masa  sama, saya mengakui ada cara lain juga selain parti tunggal. Sebagai contoh, kerajaan perlu serius mengenai usaha membendung rasuah, mewujudkan urus tadbir baik dan membetulkan imejnya bagi memperoleh semula sokongan rakyat. Ia adalah pendekatan amat berlainan.

S:   Bila GERAKAN akan mengemukakan cadangan itu secara rasmi kepada BN?
J:  Saya akan membawanya ke Mesyuarat Pengurusan BN akan datang yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

S:   Saya jangka Datuk selaku Pemangku Presiden GERAKAN akan bertanding untuk disahkan sebagai pemimpin baru parti pada persidangan tahunan 26 Oktober depan?
J:  Saya masih belum membuat keputusan sama ada hendak bertanding ataupun tidak. Ada isu yang perlu dibincang dengan jawatankuasa pusat parti terlebih dulu.,

S:   Kalau bukan Datuk, siapa lagi yang ada?
J:  Mungkin ada kejutan, masih terlalu awal untuk menyatakannya.

S:   Akhir sekali, apakah Datuk fikir cadangan parti tunggal itu akan mendatangkan kesan baik?
J:  Kini ada semakin ramai pengundi muda. Kita mesti pandai melayan kehendak dan aspirasi mereka untuk mendapatkan sokongan. Cara lama tidak memadai lagi untuk mendapatkan sokongan golongan ini. Genggaman kita pada kuasa pun   semakin longgar. Pengundi Melayu di kawasan bandar juga sudah tidak memihak kepada kita (BN). Kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia kini tinggal di kawasan bandar dan negara kita semakin mengalami proses urbanisasi. Kita harus bersedia untuk menghadapi cabaran baru ini. Parti politik harus bersedia mengalami perubahan untuk mendapat sokongan mereka. – Berita Harian Ahad, 9 Jun 2013