Namun belumpun reda isu berkenaan, kini timbul satu lagi kes yang mana seorang pengguna Facebook pula menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Perbuatan itu yang dilaporkan oleh akhbar semalam, didedahkan oleh sebuah blog pada 5 Jun lalu.
Sekali lagi golongan
anti-Melayu dan anti-Islam cuba mengganggu-gugat keharmonian antara kaum di
negara ini dengan menyalahgunakan laman sosial berkenaan.
Kedua-dua kes di
mana laman sosial disalahgunakan dengan sengaja oleh pihak tertentu tidak boleh
dibiarkan sehingga sukar dikawal kelak. Orang ramai ingin melihat ketegasan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangani kebiadaban
pihak terbabit dengan membawanya ke muka pengadilan, seperti dalam kes sebelum
ini.
Dalam satu paparan
Facebook baru-baru ini, wanita yang menggunakan nama Melissa Gooi ditahan
kerana didakwa mengeluarkan ungkapan yang menghina Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.
Wanita berusia 32
tahun itu ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Beliau dibebaskan
dengan jaminan polis tetapi telefon bimbitnya dirampas untuk tujuan siasatan
lanjut.
Polis juga sedang
mencari empat lagi rakannya yang
terbabit dalam perbualan menerusi Facebook itu dan memuat naik komen
yang juga menghina Yang di-Pertuan Agong. Dua daripada mereka sudah menyerah
diri baru-baru ini.
Perbuatan mereka
kemudian tersebar meluas di internet dan mendapat bantahan banyak pihak yang
menganggapnya sebagai biadab dan tidak menghormati Seri Paduka.
Kebebasan yang
kononnya dimiliki oleh setiap individu untuk menyatakan pandangan menerusi
internet sudah tentu tidak wajar disalah
guna untuk menghina sesiapapun, apatah lagi Yang di-Pertuan Agong.
Semua pihak harus
menggunakan kewarasan pemikiran dan bukannya mengikut emosi ketika membuat
komen atau ulasan menerusi internet kerana jika tersilap langkah, kesannya akan
menimpa dirinya sendiri.
Namun ada juga pihak
tertentu dengan sengaja cuba
memanipulasikan kebebasan itu untuk tujuan tertentu terutama ketika negara
kita rancak berpolitik berikutan
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang baru lalu.
Bantahan terhadap
kerajaan bukan alasan bagi mana-mana pihak menyalah guna kemudahan internet
untuk membangkitkan kebencian terhadap pemimpin di negara ini.Penulis ingin memetik kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa warga maya tidak sepatutnya membenarkan diri mereka dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk menjejaskan keamanan dan keharmonian demi kepentingan peribadi dan politik mereka.
Beliau juga memberi
amaran kepada parti pembangkang agar tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara
itu untuk kepentingan politik.
Pada masa ini
kesalahan dilakukan menerusi internet
boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan
Akta Hasutan 1948.
Berikutan kejadian
yang membabitkan Melissa Gooi itu, seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan dipetik
sebagai mencadangkan agar diwujudkan satu Akta Derhaka bagi membendung gejala
menghina institusi diraja yang semakin serius sekarang ini.
Bekas hakim
berkenaan, Datuk Mohd Noor Abdullah turut mencadangkan agar pesalah jenayah
menderhaka itu dikenakan tidak kurang daripada dua tahun penjara sebagai
hukuman minimum jika sabit kesalahannya.
Beliau berpendapat
perbuatan menderhaka adalah perkara berbeza, justeru harus ada undang-undang
khusus untuknya.
Cadangan beliau
adalah relevan dan patut diberi pertimbangan memandangkan kini sudah ada
tanda-tanda ada pihak yang semakin berani tampil untuk menghina institusi
diraja di negara ini.
Undang-undang diguna pakai di Thailand iaitu undang-undang
lese-majeste atau Artikel 112 dalam Kanun Jenayahnya, boleh dijadikan contoh
ketika kita menggubal undang-undang
baru.
Di negara berkenaan
sejak beberapa tahun lampau, sudah ada beberapa kes yang dibawa ke muka
pengadilan kerana penghinaan atau ancaman terhadap Raja Bhumibol Adulyadej. Di
bawah undang-undang itu juga, pesalah yang disabitkan menghina Raja boleh
dipenjarakan sehingga 15 tahun.
Melihat pada
perkembangan politik semasa dan keberanian golongan tertentu untuk mencabar
kerajaan dan kepemimpinan negara, adalah wajar pihak berkuasa mengambil
tindakan tegas dan tidak membiarkannya menular. - Berita Harian, 9 Jun 2013