Monday, 24 June 2013

Jawatankuasa bersama teknikal perlu bergerak atasi jerebu

  Dalam keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 750 yang melebihi paras bahaya di Muar dan Ledang semalam, adalah wajar kerajaan mengisytiharkan darurat di mana-mana kawasan terjejas teruk sebagai langkah jangka pendek menangani masalah jerebu yang melanda beberapa negara di Asia Tenggara sekarang.

  Pembakaran hutan di Sumatera bagi penanaman semula kelapa sawit itu adalah masalah kronik  dihadapi negara berkenaan pada musim kemarau antara Jun hingga September setiap tahun.
  Dalam keadaan itu, kapasiti udara bersih hanya boleh menampung bahan pencemaran pada satu tahap tertentu saja. Apabila sudah melampaui keupayaannya, densiti habuk atau debu dalam udara boleh menjejaskan kesihatan.

  Semalam Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri G Palanivel, berkata indeks pencemaran di Muar dan Ledang melebihi IPU 750, melebihi paras bahaya 300.
  Laporan agensi berita antarabangsa menyatakan pegawai Indonesia mendakwa ada beberapa syarikat berpangkalan di Malaysia dan Singapura mungkin bertanggungjawab bagi masalah jerebu itu. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat - Sime Darby dari Malaysia dan Kumpulan Wilmar dari Singapura menafikan dakwaan itu.

  Jerebu tebal itu boleh mengakibatkan masalah pernafasan dan menjadi punca kepada pelbagai penyakit seperti batuk, sakit mata atau kerongkong serta demam.
  Beberapa hari lalu, keadaan teruk  di sekitar Johor menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup 600 sekolah sementara klinik kesihatan dan hospital bersiap menerima lebih ramai pesakit  yang mengalami masalah penafasan.

  Situasi itu tidak memerlukan penyelesaian peringkat politik semata-mata tetapi ia perlu ditangani secara bersepadu oleh agensi kerajaan terbabit di Malaysia dan Indonesia.
  Rakyat Malaysia mungkin tertanya-tanya kenapa kita sekadar menunggu ia berlaku setiap tahun dan kenapa pula negara jiran terdekat Indonesia seperti Malaysia dan Singapura tidak mengambil langkah proaktif dan membiarkannya berlaku pada setiap tahun?

  Di samping itu,  ASEAN juga sentiasa memperbaharui komitmennya untuk mengatasi pencemaran udara itu tetapi situasi sama masih berlaku. Sudah tentunya ia menimbulkan pertanyaan di mana kewajaran tindakan diambil di bawah perjanjian merentas sempadan  ASEAN itu?  
  Selain ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga nampaknya begitu bimbang dengan situasi berkenaan dan menggesa agar tindakan diambil segera bagi menambah baik kualiti udara di negara Asia Tenggara yang kini menyelimuti kebanyakan bandar raya di rantau berkenaan.

  Malaysia memutuskan untuk menghantar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ke Indonesia untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai kerajaan di republik berkenaan dan membincang cara menyelesaikan masalah itu.
 Di samping menteri, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar juga akan menemui rakan sejawatannya di Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia berhubung masalah itu.

  Malah terlalu banyak komitmen dibuat mengenainya tetapi tidak banyak usaha dilakukan untuk mengatasinya. Isu jerebu ini pun bukan masalah baru bagi negara di rantau ini kerana ia kawasan membangun yang masih bergantung pada pertanian, kata Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Ibrahim Komoo.
  Keadaan sama juga pernah berlaku di Eropah, katanya, ketika industri masih dibangunkan dengan banyak. Oleh kerana masalah jerebu ini sudah dijangka berlaku dari semasa ke semasa dan membabitkan Indonesia dan Malaysia, ia memerlukan kerjasama paling kritikal di antara kedua-dua negara.

  Ibrahim menambah, di Asia Tenggara isu pencemaran ini agak unik kerana ia merentas kawasan sempadan negara, menyebabkan ia tidak boleh diatasi oleh negara tertentu secara bersendirian.
  Memandangkan ia berlaku pada setiap tahun, pihak berkuasa mengenai pencemaran pastinya sudah tahu apa  hendak dilakukan. Apa yang diperlukan ialah satu jawatankuasa teknikal bersama Malaysia-Indonesia bagi melihat trend pencemaran itu, puncanya serta apa langkah yang boleh diambil dari segi teknikal dan perundangan.

  Hasil kajian mereka katanya, harus diterapkan ke dalam pentadbiran negara. Beliau mencadangkan langkah jangka panjang dilakukan berterusan dan bukan hanya berfungsi apabila sudah berlaku masalah seperti sekarang.
  Jawatankuasa teknikal hendaklah melihat masalah jerebu pada masa depan dan bukannya yang  sedang melanda sekarang. Kini kita hanya boleh mengambil langkah reaktif iaitu mengukur tahap pencemarannya.

  Pada peringkat ini kita juga hanya boleh mengesyorkan supaya sekolah ditutup dan penduduk di kawasan terbabit memakai topeng penutup mulut jika IPU melebihi 300. – Berita Harian, 24 Jun 2013