Pembakaran hutan di
Sumatera bagi penanaman semula kelapa sawit itu adalah masalah kronik dihadapi negara berkenaan pada musim kemarau
antara Jun hingga September setiap tahun.
Dalam keadaan itu,
kapasiti udara bersih hanya boleh menampung bahan pencemaran pada satu tahap
tertentu saja. Apabila sudah melampaui keupayaannya, densiti habuk atau debu
dalam udara boleh menjejaskan kesihatan.
Semalam Menteri Alam
Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri G Palanivel, berkata indeks pencemaran di
Muar dan Ledang melebihi IPU 750, melebihi paras bahaya 300.
Laporan agensi
berita antarabangsa menyatakan pegawai Indonesia mendakwa ada beberapa syarikat
berpangkalan di Malaysia dan Singapura mungkin bertanggungjawab bagi masalah
jerebu itu. Bagaimanapun, kedua-dua syarikat - Sime Darby dari Malaysia dan
Kumpulan Wilmar dari Singapura menafikan dakwaan itu.
Jerebu tebal itu
boleh mengakibatkan masalah pernafasan dan menjadi punca kepada pelbagai
penyakit seperti batuk, sakit mata atau kerongkong serta demam.
Beberapa hari lalu,
keadaan teruk di sekitar Johor
menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup 600 sekolah sementara klinik
kesihatan dan hospital bersiap menerima lebih ramai pesakit yang mengalami masalah penafasan.
Situasi itu tidak
memerlukan penyelesaian peringkat politik semata-mata tetapi ia perlu ditangani
secara bersepadu oleh agensi kerajaan terbabit di Malaysia dan Indonesia.
Rakyat Malaysia
mungkin tertanya-tanya kenapa kita sekadar menunggu ia berlaku setiap tahun dan
kenapa pula negara jiran terdekat Indonesia seperti Malaysia dan Singapura
tidak mengambil langkah proaktif dan membiarkannya berlaku pada setiap tahun?
Di samping itu, ASEAN juga sentiasa memperbaharui komitmennya
untuk mengatasi pencemaran udara itu tetapi situasi sama masih berlaku. Sudah
tentunya ia menimbulkan pertanyaan di mana kewajaran tindakan diambil di bawah
perjanjian merentas sempadan ASEAN
itu?
Selain ASEAN,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga nampaknya begitu bimbang dengan
situasi berkenaan dan menggesa agar tindakan diambil segera bagi menambah baik
kualiti udara di negara Asia Tenggara yang kini menyelimuti kebanyakan bandar
raya di rantau berkenaan.
Malaysia memutuskan
untuk menghantar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ke Indonesia untuk
mengadakan perjumpaan dengan pegawai kerajaan di republik berkenaan dan
membincang cara menyelesaikan masalah itu.
Di samping menteri,
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar juga akan menemui rakan sejawatannya di
Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia berhubung masalah itu.
Malah terlalu banyak komitmen dibuat
mengenainya tetapi tidak banyak usaha dilakukan untuk mengatasinya. Isu jerebu
ini pun bukan masalah baru bagi negara di rantau ini kerana ia kawasan
membangun yang masih bergantung pada pertanian, kata Ketua Kluster Alam Sekitar
dan Sumber Asli Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Ibrahim Komoo.
Keadaan sama juga
pernah berlaku di Eropah, katanya, ketika industri masih dibangunkan dengan
banyak. Oleh kerana masalah jerebu ini sudah dijangka berlaku dari semasa ke
semasa dan membabitkan Indonesia dan Malaysia, ia memerlukan kerjasama paling
kritikal di antara kedua-dua negara.
Ibrahim menambah, di
Asia Tenggara isu pencemaran ini agak unik kerana ia merentas kawasan sempadan
negara, menyebabkan ia tidak boleh diatasi oleh negara tertentu secara
bersendirian.
Memandangkan ia
berlaku pada setiap tahun, pihak berkuasa mengenai pencemaran pastinya sudah
tahu apa hendak dilakukan. Apa yang
diperlukan ialah satu jawatankuasa teknikal bersama Malaysia-Indonesia bagi
melihat trend pencemaran itu, puncanya serta apa langkah yang boleh diambil
dari segi teknikal dan perundangan.
Hasil kajian mereka
katanya, harus diterapkan ke dalam pentadbiran negara. Beliau mencadangkan
langkah jangka panjang dilakukan berterusan dan bukan hanya berfungsi apabila
sudah berlaku masalah seperti sekarang.
Jawatankuasa
teknikal hendaklah melihat masalah jerebu pada masa depan dan bukannya
yang sedang melanda sekarang. Kini kita
hanya boleh mengambil langkah reaktif iaitu mengukur tahap pencemarannya.
Pada peringkat ini
kita juga hanya boleh mengesyorkan supaya sekolah ditutup dan penduduk di
kawasan terbabit memakai topeng penutup mulut jika IPU melebihi 300. – Berita
Harian, 24 Jun 2013