Tuesday, 18 June 2013

Kadangkala telatah ahli Parlimen bagaikan boria politik

  Isnin depan, Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, menandakan bermulalah dengan rasminya tempoh perkhidmatan mereka sebagai wakil rakyat yang sah.

  Wakil rakyat daripada parti pembangkang yang pada mulanya berura-ura untuk memboikot majlis mengangkat sumpah itu, dilaporkan menukar fikiran dan dijangka akan turut hadir.
  Majlis mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat itu adalah detik bersejarah bagi mereka terutama yang baru kali pertama dipilih sebagai wakil rakyat. Untuk lima tahun akan datang, dewan yang mulia itu akan menjadi wadah di mana mereka akan berdebat mengenai pelbagai isu penting untuk rakyat dan negara.

  Apapun, persidangan Parlimen Ke-13 yang menyaksikan komposisi Dewan Rakyat terbahagi kepada 133 anggota BN dan 89 pembangkang, dijangka gamat dan tegang.
  Namun, sebagai anggota institusi perundangan tertinggi di negara ini, Ahli Parlimen harus menunjukkan integriti tinggi, berwibawa dan sikap bertanggungjawab ketika menjalankan tugas mereka terutama pada sesi perbahasan bermula 26 Jun ini.

  Janganlah kerana politik mereka terbawa-bawa dengan emosi dan melakukan perkara tidak sepatutnya atau mengucapkan kata-kata kesat sehingga boleh merendahkan martabat Parlimen.  Menjadi pembangkang bukan bererti mereka boleh melakukan apa saja tanpa ada rasa tanggungjawab.
  Di dewan yang mulia itu, hak semua wakil rakyat adalah sama tanpa mengambil kira parti yang diwakili. Mereka harus pandai menggunakan hak itu bagi membalas jasa dan pengorbanan pengundi serta penyokong mereka dengan bertindak selaku wakil rakyat yang mampu mengenengahkan isu dengan bernas dan rasional.

  Dewan Rakyat bukannya tempat bagi mereka meluahkan emosi atau bercakap secara hentam kromo walaupun kadangkala kita dapat lihat perangai buruk wakil rakyat bertelagah sesama sendiri dengan cara yang memalukan profesion berkenaan.
  Tapi kadangkala inilah yang disaksikan berlaku bagaikan 'boria politik'.
  “Tujuan kita di Parlimen bukan untuk main politik tapi bincang dasar dan undang-undang yang bakal menentukan hala tuju negara. Kalau tujuannya untuk main politik serta kepentingan diri, itu salah,” tegas bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

  Namun katanya, ahli Dewan Rakyat masih boleh mengkritik kerajaan dan ini perlu dilakukan dengan secara berhemah, konstruktif dan beradab.
  Wan Junaidi yang kini Timbalan Menteri Dalam Negeri menegaskan wakil rakyat tidak harus mengambil kesempatan daripada kekebalan Parlimen untuk melakukan apa saja yang tidak elok.

  “Orang lama kena menunjukkan contoh yang baik kepada orang baru, bukannya cuba menjadi jaguh dengan mengeluarkan kata-kata kesat atau maki hamun. Wakil rakyat baru pula mesti pandai menilai yang mana tingkah laku yang baik dan boleh dicontohi dan yang mana harus dielakkan,” katanya.
  Katanya, hujah di Dewan Rakyat mesti disampaikan dengan sopan dan penuh dekorum. Semua wakil rakyat berpeluang menyuarakan pendapat apabila membahaskan usul yang dibentangkan sama ada pada peringkat perbahasan ataupun bertanya soalan tambahan ketika sesi soal jawab.

  Justeru, semua pihak, sama ada yang mewakili kerajaan mahupun pembangkang, wajar menghormati urusan mesyuarat Dewan Rakyat agar gerak geri dan tingkah laku mereka tidak diperlekehkan oleh rakyat yang memilih mereka dalam pilihan raya umum.
  Mereka juga harus berhati-hati kerana segala tutur kata dan pergerakan mereka di dewan persidangan itu turut diperhatikan oleh pengunjung dan pelajar dari galeri pelawat. Selain itu, persidangan juga dirakam media untuk disiarkan kepada umum manakala ucapan mereka dicatatkan dalam hansard.

  Urusan mesyuarat Dewan Rakyat pada 24 Jun ini akan bermula dengan pelantikan Yang Dipertua berdasarkan nama yang dicalonkan dalam tempoh sekurang-kurangnya 16 hari sebelum tarikh persidangan.
  Sekiranya terdapat lebih daripada dua nama, pengundian akan dilakukan pada sesi berkenaan. Selepas pelantikan Yang Dipertua, barulah majlis mengangkat sumpah dijalankan di hadapan beliau disusuli dengan pelantikan Timbalan Yang Dipertua.

  Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia manakala Wan Junaidi ialah timbalannya. – Berita Harian, 17 Jun 2013