Masing-masing dengan
rasional dan alasan tersendiri. Ia adalah lumrah dalam sebuah pertubuhan
politik. Mulai tahun ini, UMNO juga akan menyaksikan satu pembaharuan dalam
pemilihan jawatan tertinggi parti.
Langkah baru dalam
pemilihan parti diputuskan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO pada 2009.
Ketika itu tiada sesiapapun menjangka berlaku tsunami Cina yang mencabar
pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Ada pihak menyatakan
UMNO disokong kerana rata-rata dalam PRU-13, sebahagian besar Melayu
sememangnya menyokong parti itu. Pihak lain pula berpendapat mandat diberi
kepada UMNO kerana Melayu bimbang jika kuasa jatuh ke tangan pembangkang,
Melayu akan kehilangan kuasa dan menjadi bertambah kucar-kacir.
Hakikatnya, Melayu
tidak mampu berpecah lagi dan dalam konteks berkenaan, UMNO juga tidak boleh
lagi mengalami perpecahan semata-mata untuk memberi peluang kepada individu
tertentu memegang jawatan presiden dan timbalan presiden.
Mungkin bagi
sesetengah pihak, cadangan itu adalah satu amalan tidak demokratik. Tapi pihak
yang memutuskannya pula berpendapat, sebaliknya kerana keputusannya dicapai
dalam mesyuarat tertinggi parti dan bukannya dibuat oleh presiden secara
bersendirian.
Gesaan tidak
diadakan pertandingan itu juga datangnya daripada pemimpin negeri dan peringkat
lebih bawah, bukannya dari atas.
Lagipun ahli UMNO
juga masih belum terlupa kesan daripada pertandingan untuk berebut jawatan
presiden parti yang berlangsung pada 1987 lalu yang mana UMNO berpecah sehingga
membawa kepada pengharamannya.
Pertandingan
berkenaan, di antara Tun Dr Mahathir Mohamad (penyandang jawatan) dengan
pencabarnya, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan perpecahan besar sehingga
wujudnya Team A dan Team B dalam UMNO. Akhirnya pihak yang menentang dan
penyokongnya keluar parti dan menubuhkan parti baru.
Parti Semangat 46
itu juga akhirnya hilang begitu saja selepas beberapa tahun apabila tidak lagi
mendapat sokongan Melayu. Sebahagian ahlinya kemudian berpatah balik kepada
UMNO dan meneruskan perjuangan membela nasib orang Melayu.
Selang beberapa
tahun, UMNO berdepan satu lagi krisis apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat
pada 1998, menyebabkan sejumlah ahlinya juga bertindak keluar untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Parti itu
kemudian diubah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas ia bergabung dengan
Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Dengan wujudnya
UMNO, PKR dan PAS bermakna Melayu berpecah tiga, di samping sebahagian lagi
tidak menjadi ahli mana-mana pertubuhan politik atau sekadar berjuang menerusi
badan bukan kerajaan (NGO).
Ketika menghadapi
cabaran terbaru pasca PRU-13 ini, hanya
satu saja alternatif bagi orang Melayu di negara ini iaitu bersatu dan
berjuang dengan nada sama. Melayu tidak mampu lagi bertelagah sesama sendiri
atas dasar perjuangan yang tidak selari.
Dalam konteks
berkenaan, bukan UMNO saja yang patut bersatu, bahkan parti Melayu lain juga
seharusnya mengambil isyarat daripada keputusan PRU-13 itu untuk kembali
bertaut semula.
Tiada gunanya mereka
bersengketa tetapi kampung halaman tergadai dan dikuasai orang lain. Sudah
tentunya situasi itu tidak mewajarkan adanya pertandingan bagi jawatan nombor
satu dan dua dalam UMNO pada masa yang genting ini jika ia boleh
memecah-belahkan parti.
Pada pemilihan kali
ini, seramai 146, 500 ahli di peringkat akar umbi akan memilih pucuk pimpinan
Majlis tertinggi (MT) UMNO termasuk presiden dan timbalan presiden, berbanding
sistem sebelum ini yang mana 2,600 perwakilan diberi kuasa untuk membuat
pemilihan. Langkah memperluaskan bilangan pemilih juga bertujuan menghapuskan
rasuah politik yang menghantui parti berkenaan selama ini.
Ada pihak berpendapat soal pertandingan itu hendaklah
diserahkan kepada ahli pada peringkat akar umbi tentukan apabila mereka
bermesyuarat mulai bulan depan, dengan mengambil kira kesan yang mungkin
menimpa parti jika kedudukan teratas parti dicabar.
Apapun, pemilihan
ini adalah peluang terbaik bagi UMNO memilih pemimpin baru di peringkat naib
presiden dan ahli MT sebagai persediaan parti membariskan pelapis yang bakal
menerajui parti pada masa depan.
Jika ini tidak dilakukan, UMNO mungkin ketandusan pemimpin
apabila tiba masanya untuk perubahan pada peringkat atasan. Melihat pada
cabaran dihadapinya sebagai persediaan menghadapi PRU-14, UMNO dan BN tentunya
memerlukan barisan kepemimpinan yang mantap dan berani. – Berita Harian, 19 Jun 2013