Wednesday, 3 July 2013

Boikot premis makanan kotor

  Mulai kelmarin, Kementerian Kesihatan melancarkan operasi bagi memeriksa dan mengambil tindakan menutup premis makanan yang kotor di seluruh negara. Ketika mengumumkannya minggu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata premis menjual makanan yang menghadapi masalah tikus dan perkakas masakan kotor akan ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

  Mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis boleh dikompaun jika mereka gagal mematuhi arahan untuk menambah baik premis berkenaan dan boleh didenda antara RM100 dan RM1,000.
  Subramaniam menambah, tahun lalu saja daripada 132,528 premis makanan yang diperiksa, 3,447 ditutup, manakala 44,860 lagi yang diperiksa sehingga Mei lalu, 995 ditutup kerana didapati kotor.

  Syabas kepada Kementerian Kesihatan di atas tindakan itu. Kita juga menyambut baik azam dan semangat baru menteri berkenaan, yang ditukar portfolionya daripada Kementerian Sumber Manusia selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.
  Isu premis makanan kotor ini, bagaimanapun bukan perkara baru. Selama ini pun pihak berkuasa mahupun pelanggan seolah-olah menutup dua belah mata kepada gerai atau kedai makanan yang kotor.

  Apa yang penting bagi mereka ialah mengisi perut yang lapar atau untuk menghabiskan masa senggang berbual dengan rakan tanpa mengambil kira keadaan persekitaran premis berkenaan. Tidak semua pelanggan mengambil inisiatif untuk mengambil tahu mengenai premis makanan yang dilanggannya.
  Tanpa diketahui ramai, kebanyakan premis sentiasa diharungi tikus, lipas dan lalat kerana tarikan bau makanan dan minuman yang tumpah dan persekitaran yang tidak bersih. Kawasan elit seperti lapangan terbang juga tidak terlepas daripada gejala ini.

  Tahun lalu ketika berada di situ, penulis agak terkejut melihat begitu banyak lalat berkeliaran di meja makan di medan selera dan restoran makanan segera, seolah-olah dibiarkan pihak pengurusan tanpa sebarang tindakan.
  Alasan banyaknya lalat di situ mahupun di kawasan rehat dan rawat (R&R) tertentu di Lebuh Raya Utara-Selatan kerana lokasinya berdekatan ladang ternakan ayam atau babi tidak harus dijadikan alasan untuk tidak menjaga kebersihan. 

  Sementara itu, gerai di tepi jalan yang dibuka pada waktu lewat petang dan malam juga sering menjadi tempat berkeliarannya makhluk perosak itu. Ini kerana selalunya peniaga akan menyorong gerainya ke lorong belakang kedai untuk disimpan di tepi longkang selepas selesai perniagaan pada hari berkenaan.
  Di sinilah bermulanya pesta tikus mahupun lipas. Pada petang keesokannya, gerai itu ditolak semula ke lokasi perniagaannya dan digunakan untuk perniagaan seterusnya.

  Masalah premis makanan kotor ini sebenarnya memerlukan kempen besar-besaran bagi menimbulkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya ancaman penyakit yang mungkin menimpa mereka. Kita pernah mendengar kejadian beberapa kes penyakit air kencing tikus atau Leptospirosis yang berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan kematian.      
  Umumkan tindakan terhadap premis makanan yang tidak menjaga kebersihan melalui dua cara iaitu dengan menghindari premis berkenaan atau dalam erti kata lain, memboikotnya dan kedua, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

  Tindakan pertama boleh diambil segera oleh sesiapapun dan di mana-mana premis yang dilihat kotor. Kebersihan penjual atau tukang masak juga harus diambil kira di samping persekitaran premis.
  Namun tindakan oleh pihak berkuasa ini kadangkala boleh memeningkan kepala. Penulis pernah melihat berlaku serbuan terhadap sebuah kedai mamak tidak lama dulu di sebuah bandar raya utama di negara ini.

  Kedai itu yang didapati kotor dan keadaan dapur dan tempat basuh pinggannya yang menjijikkan menyebabkannya diarah oleh pihak berkuasa tempatan supaya ditutup selama seminggu.
  Anehnya selepas tiga hari kedai itu dibuka semula. Apa yang kita tahu, pemilik kedai itu menggunakan pengaruh politik untuk membuka semula kedainya lebih awal. Keadaan itu membuatkan kita semakin percaya dengan pandangan yang menyatakan penguatkuasaan kita sememangnya lemah.  

  Justeru, bagi mengatasi masalah premis makanan kotor ini, tindakan paling berkesan sudah semestinya terletak di pihak pelanggan. Jika ramai pelanggan memboikot, lambat laun akan berubah juga sikap peniaga terbabit.
  Tidak lama lagi umat Islam akan mula berpuasa dan sudah menjadi satu budaya pada Ramadan orang ramai akan membanjiri bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka. Berhati-hatilah ketika membeli, jika didapati ada gerai atau peniaga yang tidak menjaga kebersihan, beralihlah ke gerai lain. - Berita Harian, 3 Julai 2013