Pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi yang
dimenanginya pada 2008 itu dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS,
Napisah Ismail.
BN kini mempunyai 17
kerusi manakala pembangkang 15 kerusi. Jika pada pilihan raya kecil ini BN
berjaya mempertahankan kedudukan yang ada, tidak ada sebarang perubahan berlaku. Sebaliknya, jika jatuh ke tangan
pembangkang, BN dan pembangkang masing-masing akan mempunyai 16 kerusi setiap
satu menjadikan Dewan negeri tergantung.
Dalam situasi
sedemikian, ada pihak berpendapat Yang Dipertua Dewan Negeri berhak memberi
undi pemutusnya. Sudah tentunya, Yang Dipertua Dewan Negeri yang ada sekarang,
Zubir Embong akan menyebelahi BN.
Bagaimanapun Ahli
Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata BN yakin dapat mempertahankan
kerusi tersebut memandangkan selama ini ia adalah kubu kuatnya.
“Pengundi tahu
kebaikan dilakukan kerajaan BN selama ini,” katanya ketika
bercakap kepada wartawan di Bangunan Parlimen, baru-baru ini.
Pilihan raya kecil itu perlu diadakan menjelang 27 Ogos ini
iaitu dalam tempoh 60 hari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima
notis kekosongan kerusi daripada Yang Dipertua Dewan Negeri, seperti yang
termaktub dalam Perlembagaan Negeri.
Jumlah majoriti yang
tipis antara BN dan pembangkang menjadikannya
pilihan raya paling sengit, yang boleh merubah keadaan. Namun, pemerhati
politik berpendapat tidak mustahil bagi UMNO menang buat kali ketiga di kawasan
berkenaan dalam pilihan raya kecil ini.
Sementara itu, PAS
hanya pernah menang dua kali sepanjang
13 pilihan raya umum yang diadakan sejak merdeka. Dalam situasi itu tidak
hairanlah kenapa kedua-dua parti - UMNO dan PAS - kini sudah memulakan gerak
kerja untuk menghadapinya pada bila-bila
masa.
Setakat ini SPR belum
membuat keputusan sama ada pilihan raya itu akan diadakan pada bulan puasa atau
selepas Aidilfitri. Tidak kira bila ia diadakan, kedua-dua pihak, BN dan pembangkang kini mula rancak dengan aktiviti di kawasan
berkenaan.
Sekali lagi UMNO
kini berdepan situasi untuk memilih
calon sesuai bagi mewakili BN. Semua aspek perlu diambil kira dari segi latar
belakang calon termasuk kesihatannya. Pada PRU-13 lalu, tidak ada sesiapapun
tahu keadaan kesihatan Dr Rahman kecuali dirinya dan doktor pakarnya. UMNO memilihnya sebagai
calon kerana beliau adalah calon boleh menang yang disukai penduduk.
Bagi menyelamatkan
parti daripada menghadapi kekalahan,
wajar pucuk pimpinan UMNO
peringkat negeri mengambil langkah amat teliti ketika memilih calon bagi
bertanding kali ini.
UMNO juga perlu
mengelak sebarang masalah dalaman sehingga
berlaku perpecahan dan sabotaj yang menjejaskan peluang parti. Pilihan
raya kecil ini juga diadakan serentak dengan tempoh pemilihan pucuk pimpinan
parti dan Majlis Tertinggi, bermula dengan cadangan nama calon pada peringkat
cawangan dan pemilihan pada mesyuarat bahagian.
Pemilihan di
kedua-dua peringkat boleh memberi kesan terhadap kempen pilihan raya kecil atau sebaliknya. Justeru,
diharap ahli UMNO yang semakin
matang dengan asam garam berpolitik,
memahami UMNO tidak mampu untuk
hilang satu kerusi pun kerana ia boleh mengakibatkan kerajaan yang ada sekarang terumbang-ambing.
Satu perkara yang
harus diberikan perhatian dalam pilihan raya kecil ini ialah war room pada
peringkat negeri dan daerah. Apa juga kesilapan
dilakukan pada PRU-13 harus menjadi iktibar bagi membolehkan penambahbaikan
dilakukan pada pilihan raya kecil ini.
Memandangkan ia
pilihan raya kecil pertama selepas PRU-13, perkembangan yang berlaku di Kuala
Besut itu tentu menjadi pemerhatian
ramai. Apapun, ahli UMNO tiada pilihan
selain bekerja keras bagi menyelamatkan kerajaan negeri yang ada. Mereka
tidak boleh bergantung sepenuhnya pada pucuk pimpinan negeri atau Pusat dan
hendaklah bersama menyumbang kepada kemenangan calon BN. - Berita Harian, 4 Julai 2013