Pada 1990 sebaik
saja Mandela dibebaskan dari penjara, Presiden Zambia, Kenneth Kaunda menjemput
beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr
Mahathir Mohamad mengadakan perjumpaan
dengan pejuang kulit hitam berkenaan.
Dr Mahathir juga
diberi penghormatan mempengerusikan
perbincangan antara wakil negara Komanwel dengan Mandela pada 28 Februari 1990
atas sifatnya sebagai Pengerusi Persidangan Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Dalam pertemuan
berasingan dengan Mandela, Dr Mahathir menjelaskan kekeliruan dalam laporan di Afrika Selatan
yang menyatakan kononnya CHOGM di Kuala Lumpur pada 1989 tidak membuat sebarang
pendirian mengenai aparteid adalah tidak betul. Beliau kemudian menyampaikan
Deklarasi Kuala Lumpur itu kepada Mandela.
Penulis yang membuat
liputan pertemuan itu di Lusaka, Zambia menyaksikan betapa Mandela mendapat
sokongan kuat daripada pemimpin negara Komanwel dalam perjuangannya itu.
Selepas berjuang
selama lebih tiga dekad, akhirnya dasar aparteid yang dipraktikkan oleh rejim
Pretoria dan menindas warga kulit hitam, dimansuhkan dan diganti dengan
demokrasi pelbagai kaum.
Selepas perbincangan
dengan partinya, Mandela dilantik sebagai Timbalan Presiden Kongres Kebangsaan
Afrika (ANC). Afrika Selatan selepas itu menyaksikan pilihan raya umum pertama
yang dijalankan secara demokratik.
Buat julung kalinya
juga, rakyat Afrika Selatan yang pelbagai suku kaum dapat mengundi dan memilih
pemimpin mereka dalam pilihan raya dramatik itu yang mana Mandela dipilih
sebagai Presiden pertama kulit hitam di Afrika Selatan.
Mandela yang juga
penerima Hadiah Nobel Keamanan, berundur sebagai Presiden pada 1999 dan selepas itu bertindak sebagai duta Afrika
Selatan yang berkempen bagi program HIV/AIDS dan membantu negaranya mendapatkan
hak bagi menjadi hos kepada kejuaraan bola sepak Piala Dunia pada 2010.
Pada 2004, iaitu
pada usia 85 tahun, beliau kurang muncul di khalayak ramai dan lebih banyak
meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.
Mandela dilahirkan
dengan nama Rolihlahla Dalibhunga pada 1918 di dalam keluarga keturunan Thembu
di sebuah kawasan perkampungan kecil Qunu iaitu Eastern Cape di Afrika Selatan.
Nama Mandela diberi oleh guru bahasa Inggerisnya kerana nama asalnya susah
disebut.
Pada 1943, beliau
memasuki Universiti Witswaterand untuk mengambil jurusan undang-undang. Di
sinilah beliau mulai berkenalan dengan kaum lain daripada pelbagai latar
belakang. Beliau didedahkan dengan pemikiran liberal dan radikal di samping
perkauman dan diskriminasi yang mendorongnya menyertai politik.
Pada 1960,
ketegangan berlaku apabila 69 orang kulit hitam ditembak mati oleh polis dalam
pembunuhan beramai-ramai di Sharpeville. Kejadian ini menandakan berakhirnya
kempen secara aman dan sebagai Naib Presiden ANC, Mandela melancarkan
kempen mensabotaj ekonomi.
Beliau akhirnya
ditahan dan dihadapkan dengan tuduhan sabotaj dan cubaan menjatuhkan kerajaan
dengan cara ganas dan pada 1964 dikenakan penjara seumur hidup. Pada 1980, ANC
yang diketuai Thambo yang hidup dalam buangan, melancarkan kempen di peringkat
antarabangsa bagi menentang aparteid.
Thambo kemudian
menumpukan kempennya kepada satu tujuan saja iaitu desakan supaya Mandela
dibebaskan. Kempennya sampai ke kemuncak dengan konsert di Stadium Wembley, London
pada 1988 di mana kira-kira 72,000 dan berjuta lagi yang menonton televisyen di
seluruh dunia menyanyi bersama lagu Free Nelson Mandela.
Tekanan popular
menyebabkan pemimpin dunia memperhebatkan sekatan ekonomi terhadap Afrika
Selatan pada 1967 sehingga pada 1990 Presiden FW de Klerk terpaksa menarik
balik pengharaman ANC.
Perjuangannya kini
hampir berakhir. Ketika rencana ini ditulis, Mandela dilaporkan ‘kritikal tapi
stabil’ sejak dimasukkan ke hospital pada 8 Jun lalu.
Beliau adalah satu
ikon. Wajahnya kini tertera pada wang kertas negara berkenaan mulai November
2012 lalu. - Berita Harian, 6 Julai 2013