Saturday, 6 July 2013

Dr M temui Mandela selepas pejuang anti aparteid itu keluar penjara

  Nelson Mandela, 94, adalah ikon perjuangan pembebasan hak asasi manusia. Perjuangannya menentang dasar aparteid atau pentadbiran rasis kulit putih di Afrika Selatan menyebabkan beliau dipenjarakan selama 27 tahun di Robben Island. Beliau mengorbankan sebahagian besar daripada kehidupannya untuk bangsanya.

  Pada 1990 sebaik saja Mandela dibebaskan dari penjara, Presiden Zambia, Kenneth Kaunda menjemput beberapa pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad  mengadakan perjumpaan dengan pejuang kulit hitam berkenaan.
  Dr Mahathir juga diberi penghormatan  mempengerusikan perbincangan antara wakil negara Komanwel dengan Mandela pada 28 Februari 1990 atas sifatnya sebagai Pengerusi Persidangan Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM). 

  Dalam pertemuan berasingan dengan Mandela, Dr Mahathir menjelaskan  kekeliruan dalam laporan di Afrika Selatan yang menyatakan kononnya CHOGM di Kuala Lumpur pada 1989 tidak membuat sebarang pendirian mengenai aparteid adalah tidak betul. Beliau kemudian menyampaikan Deklarasi Kuala Lumpur itu kepada Mandela.
  Penulis yang membuat liputan pertemuan itu di Lusaka, Zambia menyaksikan betapa Mandela mendapat sokongan kuat daripada pemimpin negara Komanwel dalam perjuangannya itu.

  Selepas berjuang selama lebih tiga dekad, akhirnya dasar aparteid yang dipraktikkan oleh rejim Pretoria dan menindas warga kulit hitam, dimansuhkan dan diganti dengan demokrasi pelbagai kaum.
  Selepas perbincangan dengan partinya, Mandela dilantik sebagai Timbalan Presiden Kongres Kebangsaan Afrika (ANC). Afrika Selatan selepas itu menyaksikan pilihan raya umum pertama yang dijalankan secara demokratik.

  Buat julung kalinya juga, rakyat Afrika Selatan yang pelbagai suku kaum dapat mengundi dan memilih pemimpin mereka dalam pilihan raya dramatik itu yang mana Mandela dipilih sebagai Presiden pertama kulit hitam di Afrika Selatan.
  Mandela yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, berundur sebagai Presiden pada 1999 dan  selepas itu bertindak sebagai duta Afrika Selatan yang berkempen bagi program HIV/AIDS dan membantu negaranya mendapatkan hak bagi menjadi hos kepada kejuaraan bola sepak Piala Dunia pada 2010.

  Pada 2004, iaitu pada usia 85 tahun, beliau kurang muncul di khalayak ramai dan lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.
  Mandela dilahirkan dengan nama Rolihlahla Dalibhunga pada 1918 di dalam keluarga keturunan Thembu di sebuah kawasan perkampungan kecil Qunu iaitu Eastern Cape di Afrika Selatan. Nama Mandela diberi oleh guru bahasa Inggerisnya kerana nama asalnya susah disebut.

  Pada 1943, beliau memasuki Universiti Witswaterand untuk mengambil jurusan undang-undang. Di sinilah beliau mulai berkenalan dengan kaum lain daripada pelbagai latar belakang. Beliau didedahkan dengan pemikiran liberal dan radikal di samping perkauman dan diskriminasi yang mendorongnya menyertai politik.
  Pada 1960, ketegangan berlaku apabila 69 orang kulit hitam ditembak mati oleh polis dalam pembunuhan beramai-ramai di Sharpeville. Kejadian ini menandakan berakhirnya kempen secara aman dan sebagai Naib Presiden ANC, Mandela melancarkan kempen  mensabotaj ekonomi.

  Beliau akhirnya ditahan dan dihadapkan dengan tuduhan sabotaj dan cubaan menjatuhkan kerajaan dengan cara ganas dan pada 1964 dikenakan penjara seumur hidup. Pada 1980, ANC yang diketuai Thambo yang hidup dalam buangan, melancarkan kempen di peringkat antarabangsa bagi menentang aparteid.
  Thambo kemudian menumpukan kempennya kepada satu tujuan saja iaitu desakan supaya Mandela dibebaskan. Kempennya sampai ke kemuncak dengan konsert di Stadium Wembley, London pada 1988 di mana kira-kira 72,000 dan berjuta lagi yang menonton televisyen di seluruh dunia menyanyi bersama lagu Free Nelson Mandela.  

  Tekanan popular menyebabkan pemimpin dunia memperhebatkan sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan pada 1967 sehingga pada 1990 Presiden FW de Klerk terpaksa menarik balik pengharaman ANC.
  Perjuangannya kini hampir berakhir. Ketika rencana ini ditulis, Mandela dilaporkan ‘kritikal tapi stabil’ sejak dimasukkan ke hospital pada 8 Jun lalu.

  Beliau adalah satu ikon. Wajahnya kini tertera pada wang kertas negara berkenaan mulai November 2012 lalu. - Berita Harian, 6 Julai 2013