Laungan Gelombang Biru yang mengiringi kemenangan calon BN malam semalam, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di Dewan Majlis Daerah Besut di Gong Kemuntong juga dengan sendirinya menolak kempen 16:16 yang dilaungkan pembangkang.
Kemenangan itu
mengukuhkan lagi BN dan mengembalikan kedudukannya di Terengganu dengan
majoriti mudah 17-15 seperti yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) 5 Mei lalu. Ia juga menafikan
hasrat pembangkang untuk mewujudkan DUN tergantung, yang mungkin memaksa satu
lagi pilihan raya semula.
Sebaliknya, majoriti
2,592 undi yang diperoleh calon BN menyaksikan pertambahan sebanyak 158 undi
berbanding majoriti 2,434 undi yang diperoleh calon BN, Dr A Rahman Mokhtar
dalam PRU-13 lalu.
Dalam pilihan raya
kecil kelmarin, Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi berbanding 5,696 undi yang
diperoleh calon PAS, Endot@Azlan Yusof. Keputusan itu juga menunjukkan BN
menang di semua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM), termasuk Kampung Nangka dan Bukit Puteri,
yang ia kalah tipis pada PRU-13.
Selain itu, BN juga
menang di PDM Kampung Baru, kubu kuat PAS yang juga kawasan Endot. Laporan
menyatakan dua kawasan yang menyaksikan pertarungan paling sengit ialah Kampung
Baru dan satu lagi di Bukit Puteri, namun BN masih mampu mendapat 21 undi
melebihi undi PAS di kedua-dua kawasan berkenaan.
Dalam reaksinya
semalam berikutan keputusan pilihan raya itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak, berkata ia menunjukkan bahawa kekuatan UMNO masih menyerlah.
Penganalisis
politik, Prof Madya Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, berkata strategi kempen secara
mikro, iaitu pendekatan man-to-man
marking yang dilaksanakan sepanjang kempen memberi impak begitu positif dalam
jumlah undi diraih.
“Tidak ada rapat
umum kecuali apabila dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Kempen lain dibuat
secara rumah ke rumah. Kaedah ini lebih mudah dilakukan kerana keadaan rumah di
kawasan Besut kebanyakannya berkelompok,” katanya yang juga Timbalan Naib
Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI).
Tan Sri Muhyiddin
Yassin juga ketika bercakap kepada pemberita menyatakan bahawa kempen yang
tertumpu pada waktu malam melalui majlis berbuka puasa, Tarawih dan moreh
tetapi dengan sentuhan berhemah, ternyata memberi impak kepada pengundi.
Beliau yang juga
Pengarah Pilihan Raya BN berkata,
inisiatif yang diambil dalam menyelesaikan hampir semua masalah penduduk
memberi kesan mendalam dan menambahkan keyakinan pengundi terhadap calon dan
kerajaan BN.
Junaidy berkata,
faktor calon BN yang muda, profesional dan anak kepada seorang ustaz turut
membantu kemenangan BN dalam pilihan raya kecil itu, berbanding calon PAS yang
bukan siswazah, berusia dan membuat
perniagaan sendiri.
Selain itu,
kelulusan peruntukan RM250 juta untuk penambakan muara Kuala Besut turut
memberi keyakinan kepada pengundi bahawa Kerajaan Pusat mampu melaksanakan satu
lagi projek pembangunan yang bakal menjadi mercu tanda di kawasan berkenaan.
“Dengan projek
penambakan itu, beberapa kemudahan pelancongan bertaraf antarabangsa dapat
dibangunkan di situ termasuk hotel, apartmen dan marina sekali gus menambahkan
sumber ekonomi penduduk Besut,” katanya.
Kempen 16:16 yang
diuar-uarkan pihak pembangkang, katanya, tidak berjaya memikat hati pengundi
kerana mereka pernah berada di bawah pemerintahan kerajaan PAS dan tahu setakat
mana pencapaian kerajaan pembangkang itu.
Lagipun, kerajaan BN
yang memerintah berjaya menimbulkan kesedaran dalam diri pengundi bahawa kebuntuan
jumlah kerusi hanya membawa kepada
ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri.
“Situasi
terumbang-ambing itu akan hanya mengganggu perjalanan urusan mereka setiap
hari. Justeru mereka bertanya, untuk apakah 16:16 itu seperti yang dilaungkan?”
ujarnya.
Junaidy
berkata, dari segi gerakan kempen, BN
memang menyasarkan majoriti melebihi 4,000 undi tetapi ada beberapa faktor
menyebabkannya tidak mencapai jumlah itu. Antaranya, hanya 10 peratus saja
pengundi tempatan yang bekerja di luar kawasan balik untuk mengundi kali ini.
Lagipun hari raya
sudah dekat dan ramai hanya balik
ke kampung pada ketika itu berbanding
masa pilihan raya kecil diadakan.
Apapun, kemenangan BN
menunjukkan pengundi Kuala Besut yang rata-ratanya nelayan moden inginkan pembangunan
di kawasan mereka dengan memilih
kerajaan BN pada pilihan raya kecil terbabit. - Berita Harian, 26 Julai 2013