Keadaan ini berbeza dengan masa lampau yang mana Malaysia
dianggap paling selamat dan tidak ada sesuatu pun yang perlu dibimbangi.
Beberapa faktor termasuk kemasukan terlalu ramai pendatang asing dan
kecenderungan golongan tertentu yang ingin mudah mendapat duit mudah dan tidak
mahu bekerja menjadi antara punca utama berlaku rompakan, kecurian dan ragut.
Kebimbangan ini mendesak masyarakat terutama di taman
perumahan untuk mengambil inisiatif sendiri dan secara kolektif bagi menjaga
keselamatan kawasan masing-masing tanpa perlu terlalu bergantung pada polis
atau menyerahkan segala-galanya kepada nasib.Malah sudah menjadi satu trend penduduk di bandar untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengupah pengawal keselamatan menjaga kawasan mereka dan memasang pagar di sekeliling taman perumahan.
Mereka berpendapat walaupun pendekatan itu bukannya satu
jaminan bahawa jenayah tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya ia dapat
membendung kejadian itu dan mengurangkan kebimbangan penduduk.
Trend itu menyebabkan wujudnya komuniti berpagar di
kebanyakan kawasan rumah teres selain kawasan perumahan mewah dan separuh
mewah.
Kajian Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) itu yang dilakukan antara Mac 2008 dan April lalu, mendapati
kebimbangan mengenai kadar jenayah mengatasi kebimbangan responden mengenai
kedudukan ekonomi negara.
Selain itu, satu daripada tiga orang dewasa atau 33 peratus
daripada responden menganggap jenayah sebagai isu nasional yang membimbangkan mereka.
Oleh itu beberapa tindakan kerajaan untuk membanteras jenayah memang
dialu-alukan oleh rakyat Malaysia.
Pensyarah Jabatan Komunikasi UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed
Arabi Idid, berkata memang tepat pada masa masyarakat mengambil bahagian dalam
usaha menentang jenayah. Kajian membabitkan menemubual secara bersemuka dengan
1,400 responden di seluruh negara.
Soalan ini meminta jawapan responden yang dipilih secara
rawak untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai masalah utama yang
dihadapi oleh Malaysia pada ketika itu.
Katanya, pihaknya mengumpul semua masalah yang diberi
responden dan mengkategorikannya kepada 14 perkara termasuk jenayah, masalah
ekonomi, politik, sosial dan lain-lain.
“Pada awalnya iaitu pada Mac 2008, ekonomi dikatakan oleh
responden sebagai masalah utama yang membimbangkan mereka tetapi mulai Ogos
2009, isu jenayah mulai menjelma sebagai isu utama sehingga April lalu,” kata
pensyarah UIAM itu. Beliau juga menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mengisytiharkan perang terhadap jenayah ketika melancarkan Kempen Bersatu Menentang Jenayah di Taman KLCC baru-baru ini.
Penubuhan Jabatan Pencegahan Jenayah yang diumumkan Ketua
Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 22 Mei lalu juga katanya, adalah
langkah yang betul ke arah itu.
Kesedaran mengenai pencegahan jenayah ini juga perlu
diterapkan pada semua peringkat termasuk
merancang pembinaan kawasan perumahan selamat yang mempunyai pencahayaan
mencukupi serta berpagar.
Dengan cara ini, penduduk tidak perlu lagi mengeluarkan
perbelanjaan sendiri pada kemudian hari. Pada masa ini kawasan perumahan di
sekitar bandar raya Kuala Lumpur juga bernasib baik kerana Yayasan Wilayah
Persekutuan menyediakan dana khas di bawah Skim Keselamatan 1Wilayah
Persekutuan (SK1WP) bagi membiayai 50 peratus daripada perbelanjaan
infrastruktur keselamatan yang dipersetujui oleh penduduk.
Di samping kawasan perumahan, seperti ditegaskan Perdana
Menteri, kompleks beli-belah juga harus direka bentuk dengan mengambil kira
ciri-ciri keselamatan tinggi terutama di tempat letak kereta.
Apapun, peningkatan kes jenayah menyebabkan masyarakat kini
perlu menjadi lebih prihatin dan sentiasa waspada mengenai keadaan sekeliling.
Mereka tidak boleh lagi menjadi masyarakat individualistik tapi harus proaktif
dalam menangani gejala jenayah ini dengan membantu satu sama lain. – Berita
Harian, 1 Julai 2013