Monday, 1 July 2013

Kejadian jenayah semakin membimbangkan

  Kajian sebuah universiti baru-baru ini mendapati kejadian jenayah antara kebimbangan paling ketara masyarakat Malaysia akhir-akhir ini. Hasil kajian itu bagaimanapun, tidak mengejutkan kita kerana sebagai individu dalam masyarakat, kita juga dapat merasai sindrom ketakutan ini berikutan berlakunya begitu banyak kejadian jenayah sejak beberapa tahun lalu.

  Keadaan ini berbeza dengan masa lampau yang mana Malaysia dianggap paling selamat dan tidak ada sesuatu pun yang perlu dibimbangi. Beberapa faktor termasuk kemasukan terlalu ramai pendatang asing dan kecenderungan golongan tertentu yang ingin mudah mendapat duit mudah dan tidak mahu bekerja menjadi antara punca utama berlaku rompakan, kecurian dan ragut.
  Kebimbangan ini mendesak masyarakat terutama di taman perumahan untuk mengambil inisiatif sendiri dan secara kolektif bagi menjaga keselamatan kawasan masing-masing tanpa perlu terlalu bergantung pada polis atau menyerahkan segala-galanya kepada nasib.
 
  Malah sudah menjadi satu trend penduduk di bandar untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi mengupah pengawal keselamatan menjaga kawasan mereka dan memasang pagar di sekeliling taman perumahan.

  Mereka berpendapat walaupun pendekatan itu bukannya satu jaminan bahawa jenayah tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya ia dapat membendung kejadian itu dan mengurangkan kebimbangan penduduk.
  Trend itu menyebabkan wujudnya komuniti berpagar di kebanyakan kawasan rumah teres selain kawasan perumahan mewah dan separuh mewah.

  Kajian Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu yang dilakukan antara Mac 2008 dan April lalu, mendapati kebimbangan mengenai kadar jenayah mengatasi kebimbangan responden mengenai kedudukan ekonomi negara.
  Selain itu, satu daripada tiga orang dewasa atau 33 peratus daripada responden menganggap jenayah sebagai isu nasional yang membimbangkan mereka. Oleh itu beberapa tindakan kerajaan untuk membanteras jenayah memang dialu-alukan oleh rakyat Malaysia.

  Pensyarah Jabatan Komunikasi UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, berkata memang tepat pada masa masyarakat mengambil bahagian dalam usaha menentang jenayah. Kajian membabitkan menemubual secara bersemuka dengan 1,400 responden di seluruh negara.
  Soalan ini meminta jawapan responden yang dipilih secara rawak untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai masalah utama yang dihadapi oleh Malaysia pada ketika itu.

  Katanya, pihaknya mengumpul semua masalah yang diberi responden dan mengkategorikannya kepada 14 perkara termasuk jenayah, masalah ekonomi, politik, sosial dan lain-lain.
  “Pada awalnya iaitu pada Mac 2008, ekonomi dikatakan oleh responden sebagai masalah utama yang membimbangkan mereka tetapi mulai Ogos 2009, isu jenayah mulai menjelma sebagai isu utama sehingga April lalu,” kata pensyarah UIAM itu.
 
  Beliau juga menyambut baik langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk mengisytiharkan perang terhadap jenayah ketika melancarkan Kempen Bersatu Menentang Jenayah di Taman KLCC baru-baru ini.

  Penubuhan Jabatan Pencegahan Jenayah yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 22 Mei lalu juga katanya, adalah langkah yang betul ke arah itu.
  Kesedaran mengenai pencegahan jenayah ini juga perlu diterapkan pada semua peringkat termasuk  merancang pembinaan kawasan perumahan selamat yang mempunyai pencahayaan mencukupi serta berpagar.

  Dengan cara ini, penduduk tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan sendiri pada kemudian hari. Pada masa ini kawasan perumahan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur juga bernasib baik kerana Yayasan Wilayah Persekutuan menyediakan dana khas di bawah Skim Keselamatan 1Wilayah Persekutuan (SK1WP) bagi membiayai 50 peratus daripada perbelanjaan infrastruktur keselamatan yang dipersetujui oleh penduduk.
  Di samping kawasan perumahan, seperti ditegaskan Perdana Menteri, kompleks beli-belah juga harus direka bentuk dengan mengambil kira ciri-ciri keselamatan tinggi terutama di tempat letak kereta.

  Apapun, peningkatan kes jenayah menyebabkan masyarakat kini perlu menjadi lebih prihatin dan sentiasa waspada mengenai keadaan sekeliling. Mereka tidak boleh lagi menjadi masyarakat individualistik tapi harus proaktif dalam menangani gejala jenayah ini dengan membantu satu sama lain. – Berita Harian, 1 Julai 2013