Friday, 5 July 2013

Wanita UMNO perlu lebih daripada calon 'recycle'

  Menjelang pemilihan UMNO tahun ini, kini sudah ada desas-desus mengenai siapa yang akan bertanding untuk merebut jawatan nombor satu dalam Pergerakan Wanita UMNO yang kini disandang oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

  Selain Shahrizat sendiri yang menyatakan beliau akan mempertahankan jawatan itu, ada ura-ura beberapa pemimpin pergerakan itu sudah mula mengintai untuk bertanding jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan kali ini.
  Antara mereka termasuk bekas Ketua Puteri, Datuk Azalina Othman Said, yang juga tidak menolak kemungkinan beberapa pemimpin Wanita lain turut berminat untuk bertanding melawan Shahrizat.

  “Saya dimaklumkan ramai lagi yang menunjukkan minat. Bukan saya seorang saja, mungkin ada lagi, kita tak tahu kerana masih terlalu awal,” katanya kepada sebuah portal berita. Azalina ialah Ketua Puteri dari 2002 hingga 2004 dan pernah menyandang jawatan menteri.
  Ahli Parlimen Pengerang ini berkata, keputusan beliau untuk mencabar Shahrizat adalah satu perkara positif dan dilihat sebagai persaingan sihat dalam sistem demokrasi dan parti.

  Bekas Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz juga menjangka lebih daripada dua calon akan bertanding bagi jawatan berkenaan.
  Jelas,  bahawa UMNO memang ingin melakukan perubahan bagi kekal relevan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Walaupun parti berkenaan berjaya mendapat mandat besar dalam PRU-13, ia tidak bermakna kedudukan itu boleh kekal pada pilihan raya akan datang tanpa usaha   menambah baik keadaan.

  Justeru, parti itu perlu melakukan perubahan sesuai dengan amalan demokrasi. Ada pihak berpendapat perubahan itu bererti calon yang dikemukakan untuk bertanding juga mesti orang baru dan bukannya calon kitar semula.
  Sesiapa saja yang berasakan   boleh membawa perubahan kepada UMNO, mampu memimpin dan menjadi pemimpin yang baik boleh menawarkan diri untuk bertanding. Apa yang penting ialah nilai kepemimpinan dan sejauh mana pula seorang pemimpin dapat membawa perubahan yang dimaksudkan.

  Setakat ini selain Shahrizat dan Azalina, ada dua nama yang boleh diketengahkan untuk menerajui pergerakan itu termasuk Datuk Halimah Saddique dari Johor dan Datuk Azizah Mohd Dun dari Sabah. Halimah pernah bertanding jawatan EXCO Wanita, tetapi gagal sebelum ini. 
  Satu perkara ketara yang dapat disaksikan dalam corak pemilihan Wanita UMNO ini ialah ketiadaan kecenderungan parti untuk menyerapkan Ketua Puteri ke jawatan berkenaan. Sejak zaman Azalina lagi, tiada seorang pun daripada Ketua   Puteri UMNO yang diangkat untuk menerajui sayap Wanita.

  Apabila sudah tamat tempoh mereka sebagai Ketua Puteri, sampai di situ sajalah karier politik mereka dalam parti. Mereka mungkin mempunyai jawatan dalam kerajaan tetapi segala jasa dan perjuangan ketika menjadi pemimpin Puteri dibawa mereka bersama ke tempat lain.
  Andainya seorang bekas Ketua Puteri ingin menerajui Wanita UMNO, beliau perlu terlebih dulu menjadi ahli pergerakan berkenaan untuk meneruskan perjuangannya. Selepas itu baru boleh   turut ‘menguji pasaran’ untuk mencuba nasib bertanding jawatan berkenaan.

  Apapun keputusan UMNO untuk membuka pertandingan bagi semua jawatan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden seharusnya diterima dengan hati terbuka oleh semua ahli dan pemimpin.
   Parti yang sudah berusia 67 tahun itu adalah milik semua ahlinya dan jawatan parti tidak sepatutnya dikawal sehingga orang lain tidak ada hak untuk menawarkan diri bertanding.

  Pertandingan pada semua peringkat juga menunjukkan sikap terbuka Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak membuat pelbagai tafsiran mengenai pertandingan yang diadakan.
  Sebagai parti terbesar di negara ini dan tunjang Barisan Nasional (BN), sepatutnya UMNO tidak menghalang sesiapapun menawarkan diri untuk merebut jawatan tertentu, jauh sekali mengehadkan pencalonan menerusi sistem kuota.

   Kita berharap perkembangan terbaru yang membenarkan pertandingan pada semua peringkat kepemimpinan tidak akan diubah lagi seperti dicadangkan oleh kalangan pemimpin sebelum ini. - Berita Harian, 5 Julai 2013