Wednesday, 7 August 2013

Mengimbau berhari raya di rumah Tok Jara

   Esok, (8 Ogos 2013) umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan takbir mula berkumandang menandakan selesailah ibadah puasa pada Ramadan selama sebulan. Sejumlah besar umat Islam juga sudah melakukan apa yang mereka lazim lakukan pada setiap hari raya, iaitu balik kampung.
 
  Situasinya sama tahun ini, ia bagaikan rutin tahunan. Habis puasa umat Islam keluar dari Kuala Lumpur untuk balik menemui ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai di kampung halaman masing-masing.

  Bagi yang sudah berumur, amalan itu satu nostalgia. Jika kampung halaman benar-benar sebuah kawasan perkampungan dalam erti kata sebenarnya, aktiviti yang dilakukan bersama rakan pada masa lampau mengimbau kembali memori mereka.
Pada zaman kanak-kanak dulu, mereka mungkin pernah menganyam ketupat atau bermain permainan tradisi seperti galah panjang, jengket atau teng teng, baling selipar atau baling tin, lompat getah dan lain-lain.

  Apabila sanak saudara berhimpun, riuh rendah dan gelak ketawa menjadikan suasana hari raya itu lebih menyeronokkan. Bagi anggota keluarga yang jarang mendapat peluang bertemu, hari raya adalah hari paling gembira bagi merapatkan silaturahim dan melepaskan rindu.
  Penulis sendiri pernah melalui zaman itu pada hari raya ketika kami sekeluarga berkumpul di rumah Tok Jara di Kota, Taiping. Pada setiap masa, terdapat empat atau lima keluarga yang berkumpul di situ pada hari raya.

  Kini ia hanya tinggal kenangan. Rumah Tok Jara juga sudah tiada lagi di situ.
  Bagi kebanyakan keluarga, tradisi balik kampung mungkin tinggal budaya saja. Segala-galanya sudah berlalu dan boleh disimpan dalam sejarah mereka.

  Perubahan zaman juga menyebabkan semakin banyak keluarga kini lebih selesa menyewa bilik di hotel daripada tinggal di rumah asal mereka dulu ketika ‘balik kampung.’ Anak zaman moden kini tidak boleh jika tiada alat pendingin hawa atau keselesaan.
  Namun, bukan semuanya begitu. Masih ada keluarga yang tidak ambil kisah walaupun tidur di ruang tamu, bahkan ada yang sanggup bermalam di dalam kereta kerana ingin berada bersama keluarga ibu bapa mereka.

  Ternyata amalan budaya balik kampung kini semakin terhakis. Ramai mula mempertikaikan buat apa hendak balik kalau terpaksa tersangkut dalam kesesakan sehingga perjalanan yang sepatutnya dua tiga jam menjadi empat lima jam.
  Sesuatu yang ketara dewasa ini ialah generasi zaman ini tidak suka lagi mengikut ibu bapa mereka untuk mengunjungi rumah saudara mara pada hari raya. Mereka lebih gemar ke kompleks beli-belah atau ke tempat hiburan. Amalan menziarahi kubur datuk nenek juga sudah semakin berkurangan dan tidak diminati oleh generasi muda.       

   Apapun kita harapkan tradisi meraikan hari raya yang diamalkan sebelum ini akan tetap segar dalam budaya kita, walaupun jika terdapat sedikit pengubahsuaian mengikut peredaran masa.
   Selepas sebulan berpuasa, sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam menganjurkan rumah terbuka pada cuti minggu pertama hari raya. Bagi golongan berada, majlis itu diadakan dengan secara besar-besaran dan ada yang menjemput orang kenamaan.

  Perbelanjaannya juga tinggi berbanding tradisi menziarahi sahabat handai seperti diamalkan dulu. Terdapat begitu banyak hidangan yang disediakan termasuk kambing panggang serta nasi ‘mandy’ dan ayam ‘masywi’.
   Namun, dalam keghairahan meraikan kemenangan berpuasa selama sebulan itu, jangan kita lupa kepada golongan kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan.

  Ramadan yang sudah berlalu itu tidak bererti amalan bersedekah juga terhenti di situ saja. Harapan kita agar Syawal tahun ini juga sebaik Ramadan yang baru dilalui. Selamat menyambut Aidilfitri yang mulia di sisi keluarga, maaf zahir dan batin. – Berita Harian, 7 Ogos 2013