Situasinya sama tahun ini, ia bagaikan rutin tahunan. Habis puasa umat Islam keluar dari Kuala Lumpur untuk balik menemui ibu bapa, saudara mara dan sahabat handai di kampung halaman masing-masing.
Bagi yang sudah berumur, amalan itu satu nostalgia. Jika
kampung halaman benar-benar sebuah kawasan perkampungan dalam erti kata
sebenarnya, aktiviti yang dilakukan bersama rakan pada masa lampau mengimbau
kembali memori mereka.
Pada zaman kanak-kanak dulu, mereka mungkin pernah menganyam
ketupat atau bermain permainan tradisi seperti galah panjang, jengket atau teng
teng, baling selipar atau baling tin, lompat getah dan lain-lain.
Apabila sanak saudara berhimpun, riuh rendah dan gelak ketawa
menjadikan suasana hari raya itu lebih menyeronokkan. Bagi anggota keluarga
yang jarang mendapat peluang bertemu, hari raya adalah hari paling gembira bagi
merapatkan silaturahim dan melepaskan rindu.
Penulis sendiri pernah melalui zaman itu pada hari raya
ketika kami sekeluarga berkumpul di rumah Tok Jara di Kota, Taiping. Pada
setiap masa, terdapat empat atau lima keluarga yang berkumpul di situ pada hari
raya.
Kini ia hanya tinggal
kenangan. Rumah Tok Jara juga sudah tiada lagi di situ.
Bagi kebanyakan keluarga, tradisi balik kampung mungkin
tinggal budaya saja. Segala-galanya sudah berlalu dan boleh disimpan dalam
sejarah mereka.
Perubahan zaman juga menyebabkan semakin banyak keluarga
kini lebih selesa menyewa bilik di hotel daripada tinggal di rumah asal mereka
dulu ketika ‘balik kampung.’ Anak zaman moden kini tidak boleh jika tiada alat
pendingin hawa atau keselesaan.
Namun, bukan semuanya begitu. Masih ada keluarga yang tidak
ambil kisah walaupun tidur di ruang tamu, bahkan ada yang sanggup bermalam di
dalam kereta kerana ingin berada bersama keluarga ibu bapa mereka.
Ternyata amalan budaya balik kampung kini semakin terhakis.
Ramai mula mempertikaikan buat apa hendak balik kalau terpaksa tersangkut dalam
kesesakan sehingga perjalanan yang sepatutnya dua tiga jam menjadi empat lima
jam.
Sesuatu yang ketara dewasa ini ialah generasi zaman ini
tidak suka lagi mengikut ibu bapa mereka untuk mengunjungi rumah saudara mara
pada hari raya. Mereka lebih gemar ke kompleks beli-belah atau ke tempat
hiburan. Amalan menziarahi kubur datuk nenek juga sudah semakin berkurangan dan
tidak diminati oleh generasi muda.
Apapun kita harapkan tradisi meraikan hari raya yang
diamalkan sebelum ini akan tetap segar dalam budaya kita, walaupun jika
terdapat sedikit pengubahsuaian mengikut peredaran masa.
Selepas sebulan berpuasa, sudah menjadi kebiasaan bagi umat
Islam menganjurkan rumah terbuka pada cuti minggu pertama hari raya. Bagi
golongan berada, majlis itu diadakan dengan secara besar-besaran dan ada yang
menjemput orang kenamaan.
Perbelanjaannya juga tinggi berbanding tradisi menziarahi
sahabat handai seperti diamalkan dulu. Terdapat begitu banyak hidangan yang
disediakan termasuk kambing panggang serta nasi ‘mandy’ dan ayam ‘masywi’.
Namun, dalam keghairahan meraikan kemenangan berpuasa selama
sebulan itu, jangan kita lupa kepada golongan kurang bernasib baik dan kurang
berkemampuan.
Ramadan yang sudah berlalu itu tidak bererti amalan
bersedekah juga terhenti di situ saja. Harapan kita agar Syawal tahun ini juga
sebaik Ramadan yang baru dilalui. Selamat menyambut Aidilfitri yang mulia di
sisi keluarga, maaf zahir dan batin. – Berita
Harian, 7 Ogos 2013