Thursday, 22 August 2013

Ukur diri dulu sebelum bertanding

  Semakin ramai bakal calon menyatakan hasrat mereka untuk merebut jawatan tertentu dalam UMNO pada pemilihan mulai bulan depan. Pada masa yang sama, ada juga pemimpin tertentu berasakan sudah tiba masanya menyerahkan baton kepemimpinan kepada orang lain.

  Ada yang berpendapat mereka ingin menumpukan perhatian kepada hal peribadi dan keluarga atau memberi perhatian kepada perniagaan masing-masing.

  Bidang politik bukan hobi,
 ia kerjaya sepenuh masa. Kalau ingin berjaya dalam politik, perlu ada komitmen.
Pemilihan kali ini pasti menarik kerana calon perlu mendaftar diri, bukan dicalonkan bahagian. Maknanya bakal calon perlu mengukur baju di badan sendiri. Kalau ada yang berasakan mereka layak dan bersedia memikul tanggungjawab lebih besar, silalah masuk gelanggang.

  Sebelum menawarkan diri, elok mereka melihat diri masing-masing dulu. Bukan senang untuk menjadi pemimpin. Segala gerak-geri dan tutur kata pemimpin sentiasa diperhatikan khalayak. Pemimpin juga tidak boleh dilihat sebagai angkuh, bongkak dan berlagak.

  Pemimpin kena pandai menjaga mulut, tidak celupar dan tidak melatah mengikut emosi. Kadangkala kita mengata sesuatu tanpa niat tertentu, tetapi ia disalah tafsir dan menyinggung perasaan orang lain.

  Orang tidak suka kalau pemimpin mendabik dada dialah paling hebat atau berkuasa atau kaya raya. Walaupun seribu kali kita hebat, sebagai pemimpin dalam parti Melayu seperti UMNO, mereka perlu berhemah tinggi dan lebih berbudi bahasa.

  Justeru, sebelum memasuki gelanggang, bakal calon hendaklah duduk dan memikirkan apa yang boleh mereka sumbangkan kepada agama, bangsa dan negara walaupun bunyinya agak terlalu idealistik.

  Perkara ini juga yang harus difikirkan oleh hampir 150,000 ahli UMNO peringkat bahagian yang akan memilih barisan pemimpin parti untuk tiga tahun akan datang.

  Jangan pilih calon yang hanya pandai bermuka-muka atau yang tidak ada semangat perjuangan Melayu dalam dirinya.

  Kaedah pemilihan kali ini mungkin memberi kejutan dalam keputusannya yang bakal diputuskan pada minggu ketiga Oktober depan.

  Apa yang penting ialah peluang dan ruang yang terbuka luas itu harus digunakan dengan sebaik mungkin oleh pengundi bagi mencorakkan kepemimpinan masa depan parti.

  Tidak boleh ada rasa segan silu atau takut kononnya penyandang jawatan tidak boleh diubah.
Kecuali presiden dan timbalan presiden yang banyak dilaporkan mungkin tidak me-nyaksikan pertandingan, semua jawatan lain termasuk naib presiden perlu dipertandingkan.

  Ia juga ujian paling besar bagi penyandang jawatan naib presiden. Sama ada mereka diterima oleh ahli atau akan berlaku perubahan akan hanya diketahui apabila tiba masa pengundian nanti.

  Semua calon mempunyai peluang dan nasib sama rata. Namun perubahan mendadak yang berlaku dalam senario politik tanah air sudah tentu mendesak UMNO melakukan pembaharuan dan pengubahsuaian yang diperlukan.

  Walaupun UMNO memperoleh keputusan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu berbanding dua komponen utama Barisan Nasional (BN), ia tidak bererti bahawa parti tersebut tidak perlu melakukan transformasi.

  Persediaan harus dimulakan bagi menghadapi era lebih mencabar pada masa depan dan bagi menghadapi PRU-14. Kemunculan kumpulan pengundi baru yang rata-ratanya daripada generasi Y juga bererti UMNO serta parti komponen BN memerlukan anjakan bagi menarik minat golongan tersebut.

  Sewajarnya ahli UMNO mengimbangi kedua-dua generasi lama dan baru ketika memutuskan barisan kepemimpinan parti. Generasi lama tidak boleh diketepikan sama sekali manakala peranan orang muda tidak harus ditolak.


  Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kedua-dua generasi ini mempunyai peranan masing-masing bagi membantu parti lebih-lebih lagi apabila keputusan PRU-12 dan PRU-13 menunjukkan trend tidak memberangsangkan kepada parti berkenaan secara menyeluruh. – Berita Harian, 22 Ogos 2013