menerajui banyak isu sama ada sensitif atau tidak seperti kes bapa atau ibu mengislamkan anak, tuntutan nafkah yang masih belum selesai di mahkamah, penyertaan pertandingan ratu cantik oleh wanita Melayu bagi membezakan Wanita UMNO dengan parti lain.
Ikuti temubual wartawan BH, Razak Rashid Ghows dengan
Azalina dan bekas Naib Ketua Puteri UMNO di bawah kepemimpinan beliau, Datuk Noraini Ahmad, 46, mengenai pertandingan jawatan Ketua Wanita
UMNO itu.
Soalan: Kenapa Datuk ingin lawan Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil dalam pemilihan Ketua Wanita kali ini?
Azalina: Saya menawarkan diri bertanding Ketua Wanita
bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung
transformasi politik. Saya ingin membawa dimensi baru dan anjakan paradigma
kepada Wanita UMNO. Saya bukannya nak wujudkan revolusi tapi evolusi dalam
menawarkan diri sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia.
Keputusan Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu memberi kita gambaran bahawa UMNO dan Barisan
Nasional (BN) sedang dalam proses ditolak generasi muda khasnya. Kita tahu
jumlah wanita di negara kita lebih kurang 49 peratus. Kita tahu juga di
universiti tempatan ada ramai wanita muda. Kita juga tahu syarikat swasta,
kerajaan dan jabatan kerajaan banyak diterajui wanita. Suka tak suka saya mahu
membawa Wanita UMNO ke tahap parti politik yang dapat memimpin hala tuju wanita
di Malaysia.Saya tak lihat Datuk Shahrizat tak sempurna memimpin, bagi saya dia mempunyai stail kepemimpinan sendiri. Tapi saya lihat hari ini, sebuah parti politik mesti lebih responsif kepada isu. Saya tak setuju kalau sayap parti seperti Pemuda, Wanita dan Puteri lebih kepada peranan kecil.
Kita tak boleh hanya menyokong kerana kita nak sesuatu,
jawatan atau diri kita diterima. Saya tengok rata-rata Wanita UMNO dalam setiap
cawangan dalam bahagian saya sendiri, mereka jadi penyokong paling setia. Tapi
mereka jarang diletakkan sebagai pemimpin.
Kedua, isu kuota 30
peratus wanita dalam badan membuat keputusan pihak swasta atau kerajaan. Kalau
kita tengok senarai calon yang bertanding dalam PRU-13, tak sampai 30 peratus
pun. Saya tak setuju sebab negara memang mewujudkan kuota dari segi perundangan.
S: Tidakkah peralihan umur itu dengan sendirinya menyebabkan
Puteri menjadi Wanita UMNO?
J: Ya, mereka jadi
Wanita UMNO tapi kemasukan mereka dalam Wanita UMNO adalah kemasukan yang tak
diterima. Contohnya, Puteri yang keluar daripada Puteri UMNO saya lihat
perlunya satu formula kemasukan mereka diterima. Kita kalau nak buka pada
pemilihan di bawah, mesti diundi di bawah supaya mendapat jawatan. Itu untuk
jawatan dipilih, bagaimana pula dengan jawatan dilantik? Kalau dalam bahagian
itu dia lebih bijak, lebih berpelajaran, kita perlu menggunakan kebolehan
mereka mungkin dalam jawatan Ketua Penerangan, Setiausaha atau Bendahari.
Sepatutnya Wanita
UMNO menerajui banyak isu, tak kisahlah isu sensitif atau tidak. Wanita UMNO
mesti dilihat sebagai organisasi yang menjadi pejuang kepada isu tersebut.
Contohnya, dalam isu di mana bapa atau ibu boleh mengislamkan anak. Mungkin
kita perlu menyatakan sesuatu iaitu ada pihak menggunakan anak sebagai strategi
nak membalas dendam bila ada perceraian. Begitu juga isu nafkah yang masih
perlu penyelesaian di mahkamah atau pertandingan ratu cantik. Kalau Wanita UMNO
hanya bercakap mengenai politik dan tidak menyentuh isu sosial, isu yang kena
mengena dengan rakyat Malaysia, kita tak relevan. Kenapa ia diperjuangkan oleh
badan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang sedangkan selama ini ia
diperjuangkan oleh UMNO? Kalau sayap lebih berpolitik nakkan kedudukan,
jawatan, jaga hati, nak kontrak, apa
beza perjuangan kita dengan parti lain? Apabila NGO dan parti pembangkang
menyuarakan isu sensitif, rakyat melihat mereka lebih relevan kepada negara
daripada UMNO atau Wanita UMNO.
S: Datuk Shahrizat berharap tidak ada elemen negatif dibawa
ke dalam Wanita UMNO menerusi pertandingan ini hingga menyebabkan berlaku
perpecahan seperti perbalahan antara ibu dan anak.
J: Bagi saya, kalau
kita tengok setiap kali pertandingan itu ada perbalahan, apa gunanya demokrasi?
Kita tengok hari ini jawatan Naib Presiden mungkin ditanding oleh 11 orang.
Kenapa isu ini tak ketara pada UMNO Malaysia. Bila Najib buka proses pemilihan,
bererti kira-kira 150,000 akan mengundi, jadi demokrasi yang digalakkan ini
memang ada yang menang dan ada yang kalah.
Macam dalam pilihan raya juga, ada menang, ada kalah kerana
kerusi itu satu. Bila Datuk Shahrizat menyatakan saya ini boleh dianggap
sebagai anak, isunya apakah bekas Puteri dilihat sebagai anak tiri atau anak
betul? Peranan seorang ibu selalunya berkorban untuk anak dan ibu yang sudah
berpengalaman dan berjuang akan membuka jalan supaya anak dapat mewarisi
kepemimpinan ibu.
S: Datuk dilihat sebagai berperwatakan agresif. Bagaimana
Datuk menyesuaikan diri dalam Wanita UMNO yang berlatar belakangkan kaum ibu?
J: Bagi saya, setiap
wanita di luar sana mempunyai banyak perwatakan berbeza. Soalan yang perlu
ditanya bukan perwatakan saya dalam Wanita UMNO tapi perwatakan Wanita UMNO
dalam masyarakat. Sebab itu saya menekannya perlu relevannya perjuangan Wanita
UMNO untuk rakyat tak kira Cina, India atau Melayu. Kedua, saya kekal sebagai
Ahli Parlimen selama tiga penggal. Saya menang tanpa bertanding dua kali,
majoriti lebih 87.3 peratus pada PRU-13. Kalau saya agresif, takkan rakyat di
Pengerang boleh menerima saya sebagai wakil rakyat.
Isu ini adalah satu
kempen yang diwujudkan kerana tidak mahu menerima perubahan tetapi nak mencari
kelemahan individu. Bagi saya, ahli politik mesti dilihat disokong rakyat,
bukan hanya parti. Apa gunanya kita menjadi ketua parti tapi kita gagal di mata
rakyat. Isunya saya masih Ahli Parlimen, mereka yang ada dan yang menawarkan
diri, tidak langsung mewakili rakyat di mana-mana kawasan Parlimen atau Dewan
Undangan Negeri. Mungkin Wanita UMNO kena buat kajian berapa ramai ahlinya yang
menang pilihan raya. Dalam Parlimen hari ini kurang daripada 10 dan yang
menjadi timbalan menteri kurang daripada 10 manakala menteri tak ada.
S: Datuk nak lawan jawatan Ketua Wanita. Apakah Datuk ada
sokongan dan sekiranya terpilih, apa perubahan atau pembaharuan yang ingin
dibawa?
J: Bagi saya, ujian
sokongan itu adalah semasa pemilihan. Menang kalah adat bertanding. Saya pernah
menawar diri untuk Wanita UMNO dan saya kalah kerana tidak mempunyai cukup
pencalonan. Tapi kali ini ujian pemilihan Wanita UMNO adalah pada ahli UMNO
yang akan memilih, iaitu berjumlah 150,000 orang. Ini begitu penting bagi
transformasi politik dalam UMNO dan Wanita UMNO itu sendiri. Kita boleh lihat
kadangkala orang kata yang di atas itu menyokong dan yang bawah tidak
menyokong. Nak menguatkan UMNO kena dapatkan sokongan dari bawah itu dulu.
Kalau diberikan peluang saya yakin, sejarah saya memimpin Puteri UMNO
membuktikan daripada ‘zero’ saya dapat mewujudkan satu pergerakan yang begitu
disanjungi dan dihormati. Saya yakin dengan pengalaman saya sebagai Ketua
Bahagian, mantan Ketua Puteri UMNO dan Ahli Parlimen, saya yakin dapat bawa
Wanita UMNO ke tahap yang boleh disanjungi oleh wanita Melayu muda di negara
ini.
S: Sekarang wujud trend bekas Puteri UMNO mula berebut
jawatan dalam Wanita UMNO. Apakah ini menandakan Wanita UMNO sudah mulai
berubah kepada generasi baru?
J: Kenapa bila Ketua Pemuda UMNO lawan Ketua
Bahagian tak dipersoal. Kenapa bila orang lelaki lawan sesama lelaki ia dilihat
sebagai progresif. Saya nak membela Puteri UMNO sebab yang melawan Wanita UMNO
di kerusi wanita bukan Puteri UMNO. Mereka adalah Wanita UMNO kerana secara
automatik selepas umur Puteri UMNO, mereka adalah ahli Wanita UMNO seperti
saya. Bagi saya yang boleh saya bawa ialah suara akar umbi, itu sentiasa
menjadi perjuangan dan janji saya. Di Pengerang pun saya sentiasa bawa suara
rakyat. Sebagai pemimpin Wanita UMNO, saya juga akan membawa suara rakyat dan
ahli parti. Kalau UMNO masih dengan sikap kronisme dan ‘warlord’, UMNO tak akan
kekal.
Sebab itu perubahan
yang dibawa Datuk Seri Najib adalah satu perubahan begitu positif kerana
membenarkan akar umbi bersuara. Saya lihat kepemimpinan Tun Dr Mahathir
membenarkan satu badan yang baru iaitu Puteri UMNO hidup dalam politik. Kita
tengok Tun Abdullah Ahmad Badawi membenarkan suara orang muda. Jadi
kepemimpinan kita memang sentiasa menggalakkan kemasukan ahli supaya parti
lebih kuat. Saya tak tengok bila ada cabaran, seolah-olah ada strategi untuk
memusnahkan.
Saya melihat UMNO
matang selepas 67 tahun kewujudannya, saya tak tengok UMNO sebagai parti kolot.
UMNO mengamalkan demokrasi dan kita mesti membenarkan. Hari ini sesiapapun
boleh mencabar presiden, timbalan presiden, naib presiden, tidak perlu pada
kuota. Ini menunjukkan Datuk Seri Najib tak takut pada cabaran. Kalau kita
pemimpin terbaik dan buat yang terbaik, orang nak cabar kita, tidak ada masalah
sebab kita tahu ahli parti akan menyokong kerana dasar kita.
S: Sejak diumumkan untuk bertanding, bagaimana sambutan
terhadap hasrat Datuk?
J: Sambutan positif, saya tengok ada yang
menyokong tapi mereka takut. Biasalah dalam politik, sebab Datuk Shahrizat
penyandang. Tapi mereka perlu lihat pencapaian beliau dan pencapaian saya.
Mereka juga perlu melihat apa yang saya tawarkan dan apa yang beliau tawarkan.
Janji saya tumpukan Wanita UMNO supaya lebih relevan kepada orang Melayu jika
diberikan peluang memimpinnya. - Berita Harian Ahad, 4 Ogos 2013