Ada juga dalam
kalangan ‘war lord’ itu begitu
berpengaruh dan berkuasa sehingga tidak ada sesiapapun berani menentang mereka.
Kesanggupan orang
nombor dua atau kalangan ahli jawatankuasa yang tampil untuk melawan tauke
mereka seperti yang dilihat dalam pendaftaran pencalonan Sabtu lalu,
menunjukkan semakin ramai ahli UMNO kini mahu cengkaman atau pengaruh ‘war
lord’ ini dikurangkan.
Malah, perubahan itu
juga menyebabkan pemimpin yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan pun tidak
terlepas daripada tentangan dan tidak akan diberikan kemenangan mudah pada
pemilihan kali ini.
Sekurang-kurangnya
13 menteri, menteri besar dan ketua menteri akan menghadapi persaingan di
bahagian masing-masing, termasuk seorang calon Naib Presiden, Datuk Seri Shafie
Apdal.
Laporan akhbar
menyatakan tiga tokoh veteran UMNO - Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Tan Sri
Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)
adalah antara pemimpin bahagian yang dicabar dalam perebutan jawatan ketua
bahagian dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 19 Oktober ini.Bagaimanapun penyertaan calon lain bukanlah bererti mereka boleh ditumbangkan begitu saja dengan mudah. Andainya ahli berpendapat khidmat mereka masih diperlukan, sudah tentu tiada masalah bagi mereka terus memegang jawatan berkenaan.
Tetapi sebaliknya,
jika ahli berasa harus ada perubahan, maka wajarlah mereka menerima apa juga
keputusan ahli dengan berlapang dada.
Sebenarnya sudah lama
perubahan dan proses meremajakan parti ini diperkatakan oleh ahli pada semua
peringkat dan hanya sekarang ia benar-benar dilihat hampir berlaku.
Sebelum ini
kebanyakan mereka tidak ditentang kerana sebahagian besar ahli berpegang pada
kesantunan orang Melayu kononnya tidak manis untuk mencabar pemimpin selagi dia
berupaya memimpin.
Ramai juga yang
menunggu masa yang sesuai untuk mereka berundur secara sukarela. Namun apapun,
terserah kepada pemimpin terbabit menentukan sendiri bila untuk berundur supaya
tidak berlaku keadaan mereka disuruh pergi oleh ahli.
Mungkin elok juga
sekiranya ada cadangan untuk mengehadkan tempoh bagi seseorang memegang jawatan
di peringkat bahagian, selari dengan proses transformasi yang melanda parti
sekarang.
Turut menarik
perhatian kali ini ialah kemunculan semula beberapa pemimpin lama yang
menawarkan diri untuk bertanding di peringkat bahagian termasuk bekas Ketua
Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Ketua Wanita UMNO, Datuk
Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.
Dalam pada itu Ketua
Wanita sekarang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula turut berasa teruja
untuk memegang jawatan ketua wanita di peringkat bahagian. Dalam pencalonan
Sabtu lalu, Siti Zaharah mendaftar untuk bertanding jawatan Ketua Wanita
Bahagian Paya Besar manakala Shahrizat pula Ketua Wanita Bahagian Kepong.
Kebanyakan ketua
bahagian berkenaan juga menghadapi tentangan beberapa penjuru dan sesetengahnya
sehingga enam dan tujuh penjuru.
Pemilihan kali ini
juga menyaksikan tidak semua menteri besar menawarkan diri untuk bertanding
jawatan Ahli Majlis Tertinggi atas alasan ingin memperkukuhkan parti di negeri
masing-masing.
Soal hendak
bertanding ataupun tidak adalah hak mereka sendiri tetapi mereka harus ingat
bahawa kedudukan sebagai ketua perhubungan bukannya jaminan bagi presiden
melantik mereka sebagai Ahli Majlis Tertinggi.
Mengikut peraturan
parti, presiden parti hanya boleh melantik 10 orang sebagai tambahan kepada 25
orang yang dipilih pada pemilihan dan dalam menimbangkan calon lantikan,
Perdana Menteri sudah tentunya perlu mengambil kira banyak pihak yang
difikirkan dapat menyumbang kepada parti dan negara.
Sekiranya menteri
besar terbabit tidak dilantik, maknanya negeri yang diketuainya tidak diwakili
dalam MT jika tidak ada wakil lain yang menang dalam pemilihan.
Sudah tentu ini
boleh memberi kesan besar kepada negeri yang tidak mempunyai wakil dalam badan
pembuat dasar itu memandangkan Majlis Tertinggi UMNO adalah forum di mana parti
berkenaan membincangkan dan menetapkan pendirian mengenai isu semasa negara. - Berita Harian, 25 September 2013