Tuesday, 3 September 2013

Sempena sambutan kemerdekaan ke-56, ketepikan perbezaan politik

Negara kita baru saja meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan yang  ke-56, Sabtu lalu. Sejak tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu, Malaysia sudah menempuhi pelbagai era dipenuhi pelbagai cabaran dan kejayaan. Namun,  satu perkara yang diperhatikan ialah sikap rakyat Malaysia sendiri yang tidak menunjukkan keghairahan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan negara dan mengambil mudah jasa serta pengorbanan datuk moyang kita dulu. Malah,  tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat juga kini semakin rapuh dan tidak mantap seperti dulu. Wartawan BH, Razak Rashid Ghows mendapatkan pandangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu berkenaan.

Wartawan: Sempena Sambutan Kemerdekaan Ke-56 dan tema tahun ini, Malaysia Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku’, apa mesej Datuk kepada rakyat di negara ini?
 Ahmad Zahid: Selama 56 tahun kemerdekaan Malaysia dan 50 tahun penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, ia satu manifestasi ke arah meletakkan Malaysia sebagai antara negara membangun yang akan menjadi sebuah negara maju. Dalam tahap sedemikian, soal politiking harus diredakan supaya usaha untuk meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju dapat dicapai, bukan dengan cara ‘menarik kain yang memperlihatkan sebarang bentuk badan di bawah pusat’. Dalam hal ini, pada hemat saya, ketepikanlah perbezaan politik, satukan budaya dan bahasa. Perbezaan politik dalam kalangan kita akan menjadi satu aset, bukan liabiliti untuk meletakkan kita pada asas negara maju.

S: Selepas 56 tahun merdeka dan negara semakin maju, semangat perpaduan dan patriotisme kita seolah-olah semakin rapuh dan polarisasi antara masyarakat juga semakin ketara. Pandangan Datuk bagaimana?
 J: Rakyat jangan harus dipersalahkan. Ia harus diletakkan pada bahu ahli politik yang merosakkan pemikiran dan sikap rakyat bagi mewujudkan polarisasi yang berlaku sekarang.

S:  Ada pihak tertentu mempertikaikan insiden tertentu seperti pencerobohan di Lahad Datu dan macam-macam lagi. Bagaimana boleh kita atasi situasi seperti ini?
J:  Sesuatu insiden itu berlaku bukan kerana ia dirancang oleh pihak yang mahukan keamanan. Kita harus mengetahui dalam apa keadaan sekalipun di sana terdapat sekurang-kurangnya 12 peratus mereka yang antikerajaan. Biarpun unsur itu dari dalam atau dari luar, ia tetap wujud,  tetapi kepedulian kita bukan mahu mengetepikan langsung pendapat daripada golongan minoriti,  tapi yang pentingnya bagaimana kita memuaskan hati pihak majoriti tanpa mengetepikan pihak minoriti. Apatah lagi jika ada unsur luaran yang datang untuk mengganggu sistem yang sedia ada dan menggunakan tuntutan persejarahan sebagai asas untuk menjustifikasikan tuntutan mereka. Sebaliknya mereka harus melihat perundangan yang telah datang dan pergi dan memperakukan bahawa perundangan yang terakhir itulah yang menentukan kesahihan sesebuah institusi, apatah lagi ini sebuah negara  berdaulat.   

S:  Ada juga individu Islam yang cuba mencabar institusi diraja menerusi klip video yang memaparkan perancangan untuk menghapuskan sistem kesultanan di negara ini. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
J:  Mereka harus merujuk kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan. Akta Hasutan yang akan ditukar kepada Akta Keharmonian Nasional pun tidak akan mengkompromikan empat perkara. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, keistimewaan hak orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara ini tentunya tidak harus dikompromi oleh sesiapapun, oleh agama manapun kerana ia bukan sekadar kontrak sosial,  tetapi itulah yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan yang harus dihormati oleh orang yang dipanggil sebagai rakyat Malaysia.   

S:  Ada juga beberapa tindakan pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) ataupun individu sentiasa cuba mengorek masalah dalam kerajaan dan mereka juga sering tak puas hati dengan dasar tertentu  dilaksanakan kerajaan.
J:  Setiap negara wujud kumpulan yang demikian. Saya fikir negara maju juga wujud kumpulan seperti itu. Saya lihat kerajaan yang sedia ada cukup telus dalam melaksanakan pelbagai transformasi dan perubahan  dilakukan adalah untuk menangani permasalahan majoriti rakyat. Oleh demikian, kepedulian kita ialah terhadap kumpulan terbanyak, bukan kepada kumpulan yang tak berpuas hati. Tapi secara positifnya sebagai orang Islam, saya ingin mengimbau apa yang diperkatakan oleh Saidina Omar al-Khattab yang menyatakan, sebagai pemimpin berapa ramai yang suka dengan kita, di minda kita harus diletakkan satu tanda bahawa itulah juga jumlahnya yang tidak suka pada kita. Asalkan kita mempunyai tanggapan pertanggungjawaban kita ialah kepada Allah Taala dengan hajat untuk menunaikan perkhidmatan kepada manusia. keseluruhannya.

S:  Saban hari ada beberapa cabaran kepada umat Islam di negara ini. Ada saja pihak cuba mempermainkan isu sensitif kepada umat Islam. Baru-baru ini pada bulan Ramadan kita sedia maklum ada satu dua perkara berlaku dan di samping itu, masih ada usaha pihak tertentu untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan akhbar mingguan Katolik, The Herald. Perkara ini masih berterusan walaupun kita sudah lama merdeka dan mereka sepatutnya  memahami.
J:  Ia berlaku atas tiga faktor, pertamanya, kerana tidak ada penyatuan pemikiran dalam kalangan kita. Sepatutnya perkara yang sudah ditentukan tidak boleh dikompromikan. Keduanya, tidak ada penyatuan dari segi rohani kita. Faktor ketiga, tidak ada penyatuan tindakan. Sepatutnya dalam soal akidah tidak ada kompromi sebab unsur siasah dan unsur politik harus diketepikan dalam soal agama. Sepatutnya kita menggunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan menggunakan agama untuk memperkuatkan politik.

S:  Cabaran ini seolah-olah mencabar kedaulatan kita, justeru mungkin temanya bertepatan dengan apa yang kita hadapi?
J:  Kita harus mengetahui bahawa Islam sentiasa tercabar, dari zaman Rasulullah SAW hingga sekarang. Negara juga tidak terlepas daripada sebarang cabaran. Bagi saya, asalkan kepemimpinan mempunyai daya istiqamah tinggi, daya juang, daya saing dan daya tahan yang kuat, Insya-Allah negara akan terus mantap, tidak kira apapun tema yang kita laungkan setiap tahun pada perayaan kemerdekaan.

S:  Bagaimana Datuk melihat lagu Negaraku dimainkan dalam pawagam?
J:  Kerana ada elemen yang cuba meremehkan lagu kebangsaan. Saya fikir ia bukan hanya harus diperundangkan,  tetapi mesti datang dari hati nurani kita sebagai rakyat. Yang mengaku taat, tapi mesti menterjemahkan pelaksanaan ketaatsetiaan bukan hanya dalam bentuk perkataan,  tapi dalam bentuk perbuatan.

S: Semangat patriotisme kita nampaknya agak bermusim menjelang 31 Ogos dan 16 September, lepas itu lupa?
J: Semangat ini harus diterapkan dalam sistem pendidikan, dari sejak awal prasekolah hingga pembelajaran sepanjang hayat. Ia tidak harus dimusimkan. Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah,  tapi tak mustahil dilaksanakan.