Wartawan: Sempena
Sambutan Kemerdekaan Ke-56 dan tema tahun ini, Malaysia Berdaulat, Tanah
Tumpahnya Darahku’, apa mesej Datuk kepada rakyat di negara ini?
Ahmad Zahid: Selama 56 tahun kemerdekaan Malaysia dan 50 tahun
penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, ia satu manifestasi ke arah
meletakkan Malaysia sebagai antara negara membangun yang akan menjadi sebuah
negara maju. Dalam tahap sedemikian, soal politiking harus diredakan supaya usaha
untuk meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju dapat dicapai, bukan
dengan cara ‘menarik kain yang memperlihatkan sebarang bentuk badan di bawah
pusat’. Dalam hal ini, pada hemat saya, ketepikanlah perbezaan politik, satukan
budaya dan bahasa. Perbezaan politik dalam kalangan kita akan menjadi satu
aset, bukan liabiliti untuk meletakkan kita pada asas negara maju.
S: Selepas 56
tahun merdeka dan negara semakin maju, semangat perpaduan dan patriotisme kita
seolah-olah semakin rapuh dan polarisasi antara masyarakat juga semakin ketara.
Pandangan Datuk bagaimana?
J: Rakyat jangan harus dipersalahkan. Ia harus diletakkan pada bahu
ahli politik yang merosakkan pemikiran dan sikap rakyat bagi mewujudkan
polarisasi yang berlaku sekarang.
S: Ada pihak tertentu mempertikaikan insiden
tertentu seperti pencerobohan di Lahad Datu dan macam-macam lagi. Bagaimana
boleh kita atasi situasi seperti ini?
J:
Sesuatu insiden itu berlaku bukan kerana ia dirancang oleh pihak yang
mahukan keamanan. Kita harus mengetahui dalam apa keadaan sekalipun di sana
terdapat sekurang-kurangnya 12 peratus mereka yang antikerajaan. Biarpun unsur
itu dari dalam atau dari luar, ia tetap wujud,
tetapi kepedulian kita bukan mahu mengetepikan langsung pendapat
daripada golongan minoriti, tapi yang
pentingnya bagaimana kita memuaskan hati pihak majoriti tanpa mengetepikan
pihak minoriti. Apatah lagi jika ada unsur luaran yang datang untuk mengganggu
sistem yang sedia ada dan menggunakan tuntutan persejarahan sebagai asas untuk
menjustifikasikan tuntutan mereka. Sebaliknya mereka harus melihat perundangan
yang telah datang dan pergi dan memperakukan bahawa perundangan yang terakhir
itulah yang menentukan kesahihan sesebuah institusi, apatah lagi ini sebuah
negara berdaulat.
S: Ada juga individu Islam yang cuba mencabar
institusi diraja menerusi klip video yang memaparkan perancangan untuk
menghapuskan sistem kesultanan di negara ini. Bagaimana Datuk melihat perkara
ini?
J:
Mereka harus merujuk kepada perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
Akta Hasutan yang akan ditukar kepada Akta Keharmonian Nasional pun tidak akan
mengkompromikan empat perkara. Kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,
kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan, keistimewaan hak orang
Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara ini
tentunya tidak harus dikompromi oleh sesiapapun, oleh agama manapun kerana ia
bukan sekadar kontrak sosial, tetapi
itulah yang dimaktubkan di dalam Perlembagaan yang harus dihormati oleh orang
yang dipanggil sebagai rakyat Malaysia.
S: Ada juga beberapa tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ataupun individu
sentiasa cuba mengorek masalah dalam kerajaan dan mereka juga sering tak puas
hati dengan dasar tertentu dilaksanakan
kerajaan.
J:
Setiap negara wujud kumpulan yang demikian. Saya fikir negara maju juga
wujud kumpulan seperti itu. Saya lihat kerajaan yang sedia ada cukup telus
dalam melaksanakan pelbagai transformasi dan perubahan dilakukan adalah untuk menangani permasalahan
majoriti rakyat. Oleh demikian, kepedulian kita ialah terhadap kumpulan
terbanyak, bukan kepada kumpulan yang tak berpuas hati. Tapi secara positifnya
sebagai orang Islam, saya ingin mengimbau apa yang diperkatakan oleh Saidina
Omar al-Khattab yang menyatakan, sebagai pemimpin berapa ramai yang suka dengan
kita, di minda kita harus diletakkan satu tanda bahawa itulah juga jumlahnya
yang tidak suka pada kita. Asalkan kita mempunyai tanggapan pertanggungjawaban
kita ialah kepada Allah Taala dengan hajat untuk menunaikan perkhidmatan kepada
manusia. keseluruhannya.
S: Saban hari ada beberapa
cabaran kepada umat Islam di negara ini. Ada saja pihak cuba mempermainkan isu
sensitif kepada umat Islam. Baru-baru ini pada bulan Ramadan kita sedia maklum
ada satu dua perkara berlaku dan di samping itu, masih ada usaha pihak tertentu
untuk terus menggunakan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dan akhbar
mingguan Katolik, The Herald. Perkara ini masih berterusan walaupun kita sudah
lama merdeka dan mereka sepatutnya
memahami.
J:
Ia berlaku atas tiga faktor, pertamanya, kerana tidak ada penyatuan
pemikiran dalam kalangan kita. Sepatutnya perkara yang sudah ditentukan tidak
boleh dikompromikan. Keduanya, tidak ada penyatuan dari segi rohani kita.
Faktor ketiga, tidak ada penyatuan tindakan. Sepatutnya dalam soal akidah tidak
ada kompromi sebab unsur siasah dan unsur politik harus diketepikan dalam soal
agama. Sepatutnya kita menggunakan politik untuk memperkuatkan agama, bukan
menggunakan agama untuk memperkuatkan politik.
S: Cabaran ini seolah-olah mencabar kedaulatan kita,
justeru mungkin temanya bertepatan dengan apa yang kita hadapi?
J: Kita harus mengetahui
bahawa Islam sentiasa tercabar, dari zaman Rasulullah SAW hingga sekarang.
Negara juga tidak terlepas daripada sebarang cabaran. Bagi saya, asalkan
kepemimpinan mempunyai daya istiqamah tinggi, daya juang, daya saing dan daya
tahan yang kuat, Insya-Allah negara akan terus mantap, tidak kira apapun tema
yang kita laungkan setiap tahun pada perayaan kemerdekaan.
S: Bagaimana Datuk melihat lagu Negaraku
dimainkan dalam pawagam?
J:
Kerana ada elemen yang cuba meremehkan lagu kebangsaan. Saya fikir ia
bukan hanya harus diperundangkan, tetapi
mesti datang dari hati nurani kita sebagai rakyat. Yang mengaku taat, tapi
mesti menterjemahkan pelaksanaan ketaatsetiaan bukan hanya dalam bentuk
perkataan, tapi dalam bentuk perbuatan.
S: Semangat
patriotisme kita nampaknya agak bermusim menjelang 31 Ogos dan 16 September,
lepas itu lupa?
J: Semangat ini harus diterapkan dalam sistem pendidikan, dari
sejak awal prasekolah hingga pembelajaran sepanjang hayat. Ia tidak harus
dimusimkan. Walaupun ia bukan sesuatu yang mudah, tapi tak mustahil dilaksanakan.