Wednesday, 9 October 2013

UMNO patut teruskan debat Naib Presiden


  Sama ada disukai atau tidak, cadangan Tun Musa Hitam agar enam calon Naib Presiden berdebat di televisyen semakin mendapat sambutan dan hampir menjadi kenyataan sebelum pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada 19 Oktober ini.

  Buat pertama kalinya rakyat dan ahli UMNO berasa teruja untuk menyaksikan di televisyen hujah yang disampaikan calon barisan kepemimpinan tinggi parti, seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat dalam pemilihan presidennya.
  Bagi orang politik, keupayaan berhujah, berpidato dan berucap dengan menarik adalah aset paling penting bagi memenangi hati rakyat. Persoalan dalam debat itu boleh ditumpukan kepada isu kepemimpinan parti atau apa saja perkara yang boleh disumbang oleh calon untuk kebaikan parti sekiranya terpilih.

  Sesi soal jawab antara calon, audiens dan antara calon juga sesuatu yang menarik untuk dilihat dan dikupas oleh penonton.
  Oleh kerana cadangan itu datang daripada seorang tokoh veteran dan bekas Timbalan Presiden UMNO sendiri, penulis juga ingin mencadangkan supaya  penganjur mengambil beliau sebagai moderator.

  Pastinya menarik apabila Musa sebagai pengerusi dan panelnya terdiri daripada penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  Turut menjadi panel ialah calon yang mencabar mereka - Datuk Mukhriz Mahathir, Tan Sri Isa Abdul Samad dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

  Kalau dilihat latar belakang calon yang bertanding, semuanya hebat. Masing-masing sebelum ini orator atau penyampai hujah yang hebat. Mereka juga orang yang mempunyai kedudukan penting dalam kerajaan walaupun berbeza jawatan. Gelanggang debat sudah disediakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMATV.

 Mungkin ada pihak tertentu menyatakan masa agak singkat bagi debat itu dianjurkan, namun ia bukan isu bagi pihak penganjur kerana mereka sudah bersedia. Melihat pada kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kedua-dua stesen televisyen berkenaan sudah bersedia untuk mengaturkan program berkenaan.
 Bentuk program yang disebut oleh menteri berkenaan sebagai bual bicara tidak harus sama seperti program yang pernah kita saksikan sebelum ini dan seharusnya mempunyai kelainan, mirip kepada debat Presiden AS mengikut cadangan asal Musa.

  Calon seharusnya mengambil kesempatan itu untuk mendapat pendedahan seluas-luasnya kerana  debat seperti itu sudah tentunya ditunggu-tunggu oleh khalayak. Oleh kerana pemilihan ketua sayap parti - Pemuda, Wanita dan Puteri akan diadakan Sabtu ini, mereka mungkin tidak sempat menyertai program  kali ini dan mungkin boleh menyertainya pada pemilihan akan datang.
  Apapun, penentuan Sabtu ini akan menjadi ujian pertama bagi UMNO dalam menjalankan pemilihan mengikut sistem yang baru diperkenalkan itu. Yang menarik diperhatikan ialah pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang mana penyandangnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dicabar dua calon lain - Raihan Sulaiman Palestin dan Datuk Maznah Mazlan.

  Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pula akan dicabar empat calon lain - Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar.
  Berbanding Wanita di mana Shahrizat ditentang orang lama seperti Maznah, bagi Pemuda, calon yang menentang Khairy semuanya terdiri daripada orang baru. Mereka juga hanya muncul pada saat-saat terakhir atas sebab tertentu dan setelah mereka mendapati Khairy tidak dicabar calon yang sama taraf dengannya seperti Mukhriz atau Naib Ketua sebelum ini, Datuk Razali Ibrahim.
 
  Dalam pemilihan kali ini, sesiapapun layak menawarkan diri asalkan mereka memenuhi syarat kecil iaitu pernah menjadi ahli selama tiga tahun. Tiada apa yang boleh menghalang ahli biasa daripada menawarkan diri untuk berkhidmat sehinggakan seorang pengawal keselamatan, Zainal Alang Abdul Rahman, 57, turut dilaporkan memasuki gelanggang dan menawarkan diri untuk jawatan ketua bahagian di Marang.

 Sudah tentu orang seperti Zainal melihat perkembangan dalam UMNO kini sebagai demokrasi sebenar yang digerakkan oleh parti itu dan ahli perlu menghormati sistem yang mereka putuskan sendiri.
 Ini bermakna UMNO sudah mampu menjalankan pemilihan dengan lebih demokratik daripada peringkat akar umbi tanpa sekatan kepada mana-mana calon untuk bertanding, kecuali yang muflis dan melakukan kesalahan jenayah. - Berita Harian, 9 Oktober 2013