Monday, 2 December 2013

UMNO perlu pendekatan baru hadapi PRU-14 - Zahid

Temuramah dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan ahli UMNO pada semua peringkat mempunyai iltizam baru untuk memperkukuhkan lagi parti sebagai  persediaan mnghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Menjelang Perhimpunan Agung UMNO minggu ini, Ahmad Zahid mahu parti itu mencari beberapa pendekatan baru untuk memastikan semua permasalahan yang berlaku ketika PRU-13 tidak diulangi pada PRU akan datang. Dalam satu temu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut berikrar akan meneruskan kehendak akar umbi dalam usaha membanteras kejadian jenayah di negara ini tanpa mengira had waktu ataupun bermusim.

  Wartawan: Sempena Perhimpunan agung UMNO bermula Selasa ini, apa mesej Datuk Seri kepada perwakilan selaku Naib Presiden yang baru dipilih semula?
  Zahid:  Perhimpunan kali ini adalah satu perhimpunan dengan mandat baru yang diberikan  hampir 150,000 perwakilan yang mewakili akar umbi. Ertinya kepemimpinan yang ada di pentas adalah mandat baru yang datang daripada akar umbi berbanding  pemilihan lalu. Ia adalah pembuka tirai baru dalam arena politik kita terutama bagi hadapi sebarang kekangan yang dilemparkan parti pembangkang terhadap UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN). Dengan mandat baru ini, beberapa pendekatan baru mesti dicari untuk memastikan semua pemasalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak diulangi pada PRU-14 yang  senarionya tentu berbeza. Oleh itu, kita harus menjurus kepada penyatuan seluruh fikrah pemimpin dan akar umbi melalui iltizam baru iaitu satu komitmen menyeluruh untuk menentukan jentera parti harus digerakkan mulai sekarang. Kita juga harus mengetepikan semua permasalahan yang ada. Pertandingan peringkat cawangan dan bahagian mesti diselesaikan segera, dan yang menang hendaklah tidak menindas yang kalah dan yang kalah mesti mengiktiraf yang menang.

  S: Itu mesej daripada pemimpin. Apa pula harapan pemimpin kepada akar umbi?
  J: Suara sudah diberikan sejak sekian lama kepada kepemimpinan akar umbi dengan usul yang dibawa serta semua butiran yang dilontarkan ketika ucapan penangguhan di peringkat cawangan hendaklah diterjemahkan pelaksanaannya pada peringkat bahagian. Usul dan ucapan penangguhan pada peringkat bahagian hendaklah diambil kira supaya dapat dibawa ke peringkat Pusat. Oleh kerana ada pakar rujuk yang dilantik secara berkala bagi memperhalusi usul berkenaan, ia hendaklah dikemukakan kepada kerajaan. Dalam soal ini harus ada kerjasama antara parti dan kerajaan dengan kerajaan menguasai parti dan parti menjadi tulang belakang kerajaan untuk dijadikan sama ada sebagai dasar atau panduan kepada pelaksanaan dasar yang diterapkan oleh kerajaan melalui perundangan atau peraturan sedia ada atau yang akan dilakukan.

  S: Walaupun perwakilan mengekalkan status quo pucuk pimpinan, sentimen yang kita dengar ialah mereka juga mahukan perubahan. Jadi apakah kali ini perhimpunan akan membenarkan mereka bercakap apa saja untuk meluahkan isi hati dan pandangan mereka?
  J: Saya tidak fikir mana-mana parti akan memberi kebebasan sepenuhnya bagi perwakilan meluahkan apa saja. Itulah sebabnya jawatankuasa usul yang menyelaraskan jurucakap dari negeri tidak menentukan cara spesifik apakah fakta yang mahu dikemukakan tetapi hanya memberikan garis panduan apa elemen utama  diutarakan terutama yang menyentuh ucapan dasar presiden dan tiga usul iaitu usul ekonomi, agama dan pendidikan. Tentunya ia harus melihat ucapan dasar boleh menyentuh apa saja yang boleh menjadi dasar dan panduan parti manakala tiga usul lain menjurus kepada bidang yang ditetapkan.

  S: Pemilihan UMNO 2013 adalah detik bersejarah bagi Datuk Seri selaku individu dan pemimpin yang memperoleh mandat terbesar daripada ahli pada peringkat akar umbi. Apakah ini pencapaian terbaik Datuk Seri sejak bergiat aktif dalam politik?
  J:  Ini adalah kali kedua saya memegang jawatan  Naib Presiden melalui dua sistem pemilihan yang berbeza. Alhamdulillah kedua-dua kalinya saya berada di tangga pertama. Tentu mandat ini kesinambungan atas kepercayaan kepada saya dan Insya-Allah saya akan melunaskan semua pertanggungjawaban ini dengan sebaik mungkin.

  S: Sejak mengambil alih sebagai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri nampaknya begitu tegas dan tidak berkompromi dengan  jenayah. Walaupun sudah banyak operasi dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), keadaan  belum reda dan masih berlaku rompakan bersenjata. Apa komen Datuk Seri?
  J: Kami (polis) berusaha untuk menjurus kepada tiga arah. Pertama untuk mengurangkan kejadian jenayah terancang. Pada hemat kami, ini sudah berjaya walaupun tidak berpuas hati sepenuhnya. Kedua, penerusan operasi ini tanpa  had waktu dan beberapa penyelarasan dilakukan dengan penguatkuasaan semua jabatan serta agensi terbabit yang diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk melihat bahawa cabaran yang dihadapi selama ini dapat diatasi. Ketiga, memberikan tahap kepuasan kepada orang ramai terhadap tindakan yang dilakukan oleh semua agensi penguatkuasaan dan jabatan di bawah KDN. Ini juga berjaya dicapai walaupun kami tidak berpuas hati sepenuhnya, walaupun  tahap kepuasan ini berada di peringkat hampir 70 peratus berbanding hanya 30 peratus suatu ketika dulu.

  S: Perwakilan mungkin membangkitkan isu keselamatan dalam perbahasan. Mereka mungkin memerlukan penegasan Datuk Seri selaku menteri dan Naib Presiden dalam isu ini?

  J: Sebagai  menteri yang dilantik oleh Perdana Menteri yang mana saya mewakili UMNO dan Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, sudah tentu suara akar umbi UMNO akan saya teliti dan meneruskan kehendak akar umbi untuk dilaksanakan oleh KDN. Penegasan ini tentu tidak bermusim, apa yang kami lakukan di KDN adalah untuk melihat semua pelaksanaan undang-undang, peraturan dan operasi dapat mencapai tahap Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditentukan serta Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan bersama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dipahatkan dapat dilaksanakan KDN sepenuhnya.
  S: Minggu lalu berbangkit lagi  cadangan muzakarah antara UMNO dan PAS. Selepas beberapa kali gagal, relevankah idea itu sekarang?

  J: Saya fikir semua pihak harus ikhlas, berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk mempercepatkan muzakarah ini. Ia tidak perlu dibuka kecuali setelah beberapa keputusan yang menjadi kesimpulan pada muzakarah itu tercapai. Proses itu serahkan kepada kepemimpinan parti, lantik mereka yang mempunyai wibawa bagi mewakili parti masing-masing untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan, terutama dalam soal agama, khususnya yang menyentuh mengenai kepentingan ummah dan juga soal bangsa Melayu serta usaha memperkasakan ekonomi Melayu. Secara peribadi saya berpendapat ia tidak hanya harus membabitkan dua pihak  iaitu parti dengan parti, sebaliknya pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang terbabit secara langsung dalam hal agama dan bangsa Melayu serta individu yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak. Ia bukan soal politik tetapi soal agama dan bangsa yang harus diberikan keutamaan. - BH Ahad, 1 Disember 2013