Monday, 2 December 2013

Perpaduan Melayu agenda utama perwakilan UMNO

 
Isu mengenai perpaduan Melayu dijangka menjadi topik utama yang akan endominasiperbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO bermula Isnin ini.

  Perkara itu dianggap penting berikutan perpecahan undi Melayu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu kepada dua parti utama berasaskan Melayu iaitu UMNO dan PAS serta parti pelbagai kaum, PKR.
  Pemerhati politik berpendapat, agenda Melayu masih menjadi perkara utama yang akan dibawa perwakilan ketika membahaskan beberapa usul terutama menyentuh soal politik dan ekonomi.

  Cadangan muzakarah yang dibangkitkan semula dalam Muktamar Agung PAS ke-59 baru-baru ini, juga dijangka menjadi perbincangan hangat dalam kalangan perwakilan UMNO. Muzakarah yang pernah dicadangkan beberapa kali sebelum ini tidak berjaya kerana tiada kata sepakat antara pemimpin tertentu di pihak pembangkang.
  Justeru, Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah forum paling sesuai bagi ahli pada peringkat akar umbi berbincang dan menyampaikan pandangan mereka berhubung muzakarah itu.

  Ramai yang melihat kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan beberapa anggota EXCO negeri berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin sebagai langkah awal ke arah muzakarah itu.
  Bagi penganalisis politik seperti Prof Dr Ahmad Atory Hussain, yang sudah lama mengikuti perkembangan politik Melayu di negara ini, perkembangan itu disifatkan sebagai detik awal ke arah muzakarah dan muqabalah antara kedua-dua parti berkenaan.

  Tambahnya, perpaduan Melayu ini amat penting dibincangkan memandangkan keputusan PRU-13 menunjukkan kemerosotan undi Cina terhadap Barisan Nasional (BN).
  “Sekiranya Melayu ingin terus kekal berkuasa, mereka tidak ada banyak pilihan selain bersatu dan bukannya berbalah,” katanya.

  Ahmad Atory berkata, pemimpin UMNO perlu mendapatkan maklum balas daripada perwakilan mengenai cadangan muzakarah itu kerana sebelum ini ia pernah diadakan tetapi gagal.
  Lagipun katanya, cadangan terbaru itu dibangkitkan semula pada muktamar tahunan PAS dan sudah sewajarnya pandangan balas juga dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO.

  Beliau juga menjangka pembahas usul tidak lagi mengecam PAS dengan ketara seperti pada masa lalu berikutan kunjungan Menteri Besar Kelantan itu serta persetujuan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, untuk bermuzakarah.
  Selain soal perpaduan, perhimpunan kali ini juga dijangka membincang dengan panjang lebar mengenai usaha pemerkasaan ekonomi Melayu.

  Perkara berkenaan ada kaitan dengan kekuatan orang Melayu di negara ini agar mereka tidak disisih dalam bidang ekonomi yang kini dikuasai  kaum lain.
  Dalam usul agama, perwakilan dijangka menyentuh beberapa kejadian membabitkan pengikut ajaran sesat yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

  “Dasar dan penguatkuasaannya tidak jelas dan pembahas memerlukan mandat daripada UMNO,” kata Ahmad Atory yang juga pensyarah Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
  Pembahas usul juga dijangka menyentuh beberapa isu keselamatan yang mutakhir khususnya mengenai pengintipan Singapura dan  negara kuasa besar dunia ke atas Malaysia.

  Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan timbalannya, Datuk Hamzah Zainuddin, mungkin perlu membuat penjelasan kepada perwakilan mengenai isu berkenaan.
  Akhir sekali, perwakilan juga akan menyentuh mengenai sistem baru pemilihan parti Oktober lalu, dengan memberi maklum balas dan teguran bagi mengatasi masalah dan membaiki apa juga kelemahan yang ada.  

  Apapun, Perhimpunan Agung UMNO ini seperti biasa akan menjadi tumpuan dunia dengan kehadiran 101 wakil daripada 32 parti politik dari 28 negara serta media asing.
  Di samping menjadi pemerhati pada perhimpunan berkenaan, wakil asing juga akan menghadiri satu forum antarabangsa bertemakan ‘Politik Kesederhanaan dan Prinsip Kestabilan’ pada Isnin dan Selasa.

  Bagi orang ramai dan pemerhati parti dari jauh dan dekat, Perhimpunan Agung UMNO sememangnya dari dulu lagi dianggap sebagai satu-satunya majlis yang sentiasa mendapat perhatian mereka. - Berita Harian, 30 November 2013