Thursday, 17 January 2013

Isu kalimah bukan mainan politik

  Politik dan agama adalah dua perkara berlainan. Politik membabitkan manusia semata-mata tetapi agama turut mempunyai kaitannya dengan ketuhanan. Dalam politik, agama tidak harus dijadikan alat bagi mencapai matlamat perjuangan.
 
  Di negara ini, selain kerjasama parti politik dalam Barisan Nasional (BN), ada juga kelompok politik pembangkang yang menyaksikan kerjasama antara DAP, PKR dan PAS.
 
  Dalam ikatan kerjasama pembangkang itu, PAS sepatutnya menjadi tempat rujukan apabila timbul isu berkaitan keagamaan. Dalam konteks berkenaan, sudah tentu  menjadi kewajipan PAS memberi pandangan dan menasihati DAP mengenai penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
 
  Isu itu sudah lama difahami, tetapi dibangkitkan semula   Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam perutusan Krismas pada 25 Disember lalu. Umumnya umat Islam di negara ini mengharapkan PAS menasihati Guan Eng dan DAP mengenai perkara yang benar.
 
  Sebaliknya pemimpin PAS iaitu Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyatakan persetujuan  bukan Islam juga boleh menggunakan kalimah Allah.
 
  Mereka melakukan ini berdasarkan pertimbangan politik, sedangkan sebagai pemimpin apatah lagi bergelar ulama, mereka sepatutnya tahu bahawa perkara itu tidak wajar sama sekali.
 
  Pada 8 Januari lalu, Nik Aziz berkata penganut agama lain patut diberi ruang   menggunakan kalimah Allah kerana ia boleh menjadi gerakan berdakwah bagi mendekatkan lagi bukan Islam kepada agama Islam.
 
  Hadi juga berpendapat  Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah itu walaupun ia tidak mencapai maksud asal seperti di dalam al-Quran.

  Mereka dengan sengaja membutakan mata bahawa keadaan sosiobudaya di negara ini  berbeza daripada negara lain termasuk dunia Arab. Justeru, kewajaran menggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam di dunia Arab atau negara lain tidak boleh menjadi ukuran   menyamakannya dengan negara ini.
 
  Kelmarin selepas didesak oleh mesyuarat Majlis Syura PAS, Nik Aziz tiba-tiba menukar pula pendiriannya. Seperti biasa, beliau sememangnya pakar memberi alasan dan berdalih. Kata-katanya sering dianggap keramat  penyokong taksub parti berkenaan. Itulah yang bahayanya. Mereka akan terima bulat-bulat apa yang keluar daripada mulut Nik Aziz.
 
  Katanya, keputusan itu dibuat kerana majlis berkenaan bimbang ia bertentangan   maksud sebenar kalimah itu bahawa Allah itu Esa atau Satu.
  
  Dalam perkembangan terbaru itu, beliau menegaskan  jika ada mana-mana pihak yang ingin menggunakan kalimah itu, mereka hendaklah terlebih dulu yakin bahawa Allah itu satu.
 
  Ini tidak mungkin boleh dilakukan kerana apabila penganut agama lain yang tiada tuhan tiba-tiba hendak guna kalimah Allah sudah tentu tidak betul. Allah diguna oleh Allah sendiri sebagai Tuhan Yang Satu, Yang Maha Kuasa, kata Nik Aziz.
 
  Pendirian Majlis Syura PAS memang tepat, tapi kita berharap mereka tidak membuat ketetapan itu bagi menutup keterlanjuran pemimpin parti berkenaan yang sebelum ini bersetuju dan senada dengan pemimpin DAP dan PKR dalam isu berkenaan.
   
  Majlis Syura itu juga memutuskan bahawa kalimah Allah adalah khusus yang Allah menamakan diri-Nya. Oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia. Kalau diterjemahkan juga, sudah tentu ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.
 
  Maknanya Nik Aziz  boleh mengubah pendiriannya untuk tujuan menjaga hati pemimpin parti dalam rangka kerjasama politik mereka.

  Kita berharap keputusan Majlis Syura  dipengerusikan Nik Aziz itu jujur dalam ketetapan mereka dan bukannya bermain satu lagi episod dalam sandiwara politik bagi meraih sokongan menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.  

 Walaupun sudah diterima Nik Aziz, kita percaya masih ada kelompok ahli PAS yang  mempunyai pandangan lain mengenai isu berkenaan.

  Apapun, rakyat masih menunggu apa pula pandangan DAP mengenai isu berkenaan. Apakah Guan Eng masih ingin mendesak penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dan berdepan pula dengan PAS dalam isu berkenaan?
 
  Apa pula pendirian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu kerana pendirian rasmi mereka akan menunjukkan sama ada wujud kesepakatan dalam pakatan pembangkang dalam menghadapi isu berkaitan kaum dan agama atau apakah ia sekadar  mainan politik semata-mata?  - Berita Harian 16 Januari 2013