Tuesday, 15 January 2013

Hasan Ali lega keluar PAS

  Pada 8 Januari lalu, genap setahun bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dipecat daripada  PAS. Selepas dipecat, beliau meneruskan perjuangannya bagi memartabatkan Islam, Melayu dan institusi Raja menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (JATI).  Dalam temuramah dengan wartawan BH Ahad, Razak Rashid Ghows, Hasan Ali juga berkata, ruang untuk beliau kembali kepada PAS sudah tertutup kerana kehadiran parasit yang melemahkan kepemimpinan parti sehingga PAS bertukar arah dan kini menyokong fahaman liberalisme Barat serta bersekongkol dengan fahaman Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). 


Razak:   Datuk dipecat daripada parti PAS pada 8 Januari 2012, iaitu sudah setahun ia berlalu. Apa pandangan Datuk selepas setahun dipecat?
Hasan:  Saya cuba mencari satu perkataan untuk menggambarkan rasa hati saya. Mungkin perkataan paling sesuai ialah lega. Pertama, saya berasa lega kerana tidak lagi dihimpit oleh rasa berat hati menghadiri mesyuarat perbincangan parti khususnya membabitkan pakatan pembangkang. Perbincangan biasanya dijuruskan kepada mempertahan dan menjulang pakatan pembangkang walaupun terpaksa mengorbankan inti perjuangan parti yang kecil atau yang besar termasuk yang menyangkut persoalan dasar.
  Kedua, saya tidak lagi perlu menahan rasa marah, sedih dan pilu akibat daripada mengeluarkan pendapat berbeza mengenai PAS dalam pakatan pembangkang yang biasanya pendapat sedemikian diketepi dan ditolak mentah-mentah begitu saja. Ketiga, saya tidak lagi bertentang mata dan berbahas dengan insan yang berdegar-degar semangat menjunjung al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas tetapi cair akibat keinginan memuncak untuk ke Putrajaya bersama DAP dan PKR.
  Keempat, saya mempunyai saluran yang jauh lebih panjang dan luas untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan institusi Raja seperti badan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (JATI), Yayasan Murni Aqidah dan IMR Network yang diamanahkan kepada saya. Ketiga-tiga organisasi ini saling berkaitan untuk mengangkat martabat Islam, Melayu dan institusi Raja tersebut.
Kelima, saya dibebaskan daripada penjara minda dengan mengamalkan pendekatan menoleh ke dalam yang diamalkan PAS. Mereka menganggap dalam dunia ini ulama merekalah yang paling hebat, pimpinan merekalah yang paling berwibawa serta ahli dan penyokong merekalah yang paling berakhlak tinggi. Mereka mendakwa parti merekalah yang boleh membawa mereka ke syurga.

 S:   Terdapat beberapa spekulasi mengenai punca pemecatan Datuk, tetapi apakah yang menjadi punca sebenarnya?
J:  Sehingga hari ini saya sendiri pun tidak tahu apa puncanya. Sehingga hari ini tidak ada satu pertuduhan pun yang dimajukan kepada saya sama ada secara lisan ataupun bertulis. Yang jelasnya, saya dijemput oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turun ke Kota Bharu untuk bertemu beliau. Selain daripada beliau yang turut hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din; dan bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa. Membuka majlis, Nik Aziz memberitahu beliau tidak mahu hal saya dipanjang-panjangkan lagi dan menganggap segala-galanya sudah beres. Ertinya beliau mengesahkan bahawa sudah tidak timbul lagi masalah antara saya dengan PAS. Beliau menjamu kami yang hadir dalam satu jamuan kesyukuran yang disediakan oleh beliau. Beliau memberitahu kami bahawa beliau berhasrat untuk meminta PAS Pusat menganjurkan majlis kesyukuran yang sama dengan skala lebih besar.
  Yang saya ingat selepas pertemuan di Kota Bharu itu, saya memberi komen mengenai gesaan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pemuda termasuk siswa-siswi universiti berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan perbicaraan kes liwat beliau terhadap Saiful Bukhari. Saya menentang gesaan itu kerana bagi saya kes itu adalah kes peribadi dan sepatutnya individu yang berkenaan sajalah yang patut hadir tanpa memerlukan penyertaan orang ramai. Keesokan harinya, Azmin Ali membuat kenyataan keras meminta pucuk pimpinan PAS mengambil tindakan drastik terhadap saya berikutan dengan komen yang saya buat itu. Selang beberapa hari, PAS Pusat mengadakan pertemuan dan mengambil tindakan terus memecat saya. Saya dipecat tanpa dipanggil untuk membela diri walau seminit pun. Inilah yang menyebabkan sehingga ke hari ini kalau ada orang yang bertanya kepada saya apa bentuk kesalahan saya, saya tidak dapat menjawab disebabkan saya tidak diberitahu apa sebenarnya yang telah saya lakukan yang mungkin melanggar disiplin parti.

S:   Apakah Datuk rasa kini lebih selesa berada di luar parti PAS?
J:  Seperti yang saya sebut tadi, sememangnya saya berasa lega dan sememangnya saya berasa lebih selesa setelah berada di luar lingkungan PAS. Minda, perasaan, hati kecil dan tindakan saya tidak pernah walau sesaat pun alpa berjuang mengagungkan Islam. Itulah amanat dan pesan datuk dan ayah saya kepada saya dan tujuh adik beradik lain. Pegangan itulah yang sentiasa terukir di minda saya, pagi, petang dan malam. Sama ada di dalam atau di luar PAS, manusia kerdil Hasan Ali sedar tugas rasminya adalah sebagai Khalifah Allah dan tugas tambah setaranya adalah menginfaqkan diri untuk berbakti kepada masyarakat dan negara serta umat demi kebaikan untuk semua. Kini saya bebas menyertai mana-mana majlis. Ceramah saya dihadiri oleh berbagai golongan daripada pelbagai latar belakang. Ada orang PAS, ada orang PKR, ada orang DAP, ada orang UMNO serta orang atas pagar dan mereka yang tidak berparti. Jaringan dan lingkungan ceramah saya lebih luas daripada sebelumnya.

 S:   Bagaimana Datuk lihat PAS sepanjang 2012, apakah ia sudah lari daripada perjuangan asal?
J:  Saya adalah di antara jutaan rakyat Malaysia yang dikatakan lantang menyuarakan bahawa PAS sudah lari daripada perjuangan asalnya. Saya pernah terbaca saranan pemimpin PAS satu ketika dulu bahawa seandainya PAS berkuasa memerintah negara jam 12 malam, detik 12.01 minit pagi, PAS akan mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Saya juga masih ingat ayat al-Quran dan hadis yang dibacakan mengenai jihad hingga pada peringkat nyawa menjadi galangannya dalam memperjuangkan Islam. Masih terngiang-ngiang di telinga saya ketika sama-sama berada di atas pentas politik mencemuh DAP dan Anwar Ibrahim dan menghentam UMNO habis-habisan kerana bersekongkol bersama dengan orang kafir MCA dan MIC. Ingatan saya masih terang lagi bagaimana pimpinan PAS menyelar dan mengutuk semahu-mahunya tindakan mereka yang murtad keluar dari Islam. Soalnya, di manakah hilangnya roh jihad dan roh perjuangan itu sekarang ini? Saya mula percaya pendapat yang menyatakan semangat dan roh jihad itu hilang dilindungi kerlipan Putrajaya yang sentiasa menggamit mereka. Semangat jihad secara sedar dipudarkan semata-mata kerana ingin terus belayar sekapal dengan Anwar, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

 S:   Akhir-akhir ini nampaknya PAS lebih terikut dengan rentak DAP sehingga sanggup membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu. Apa pandangan Datuk’?
J:  Tadi saya katakan PAS sudah menggugurkan agenda perjuangan asalnya. PAS dikatakan sudah diresapi oleh kuman liberalisme Barat yang kemudiannya digandingkan dengan fahaman sekularisme DAP, fahaman pluralisme dan lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT) Anwar Ibrahim serta fahaman gerakan Islam yang disongsangkan yang dipegang oleh golongan parasit dalam PAS. Fahaman ini sebelum 2008 atau beberapa tahun sebelum itu tidak kedengaran dan tidak pernah menjadi agenda perbincangan PAS. Yang saya faham sebelum menyertai pakatan pembangkang, agenda PAS ialah negara Islam. Agenda PAS ialah hudud dan agenda PAS ialah jihad. Kesan daripada virus asing yang kini menjalar dalam batang tubuh PAS dapat disaksikan dalam tindakan yang diambil oleh DAP seperti meminta kebenaran supaya kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible berbahasa Melayu itu direstui oleh PAS. Bukankah ini soal akidah? Bukankah ini persoalan pokok yang sememangnya menjadi mahkota perjuangan PAS? Bukankah menjadi kewajipan pimpinan PAS termasuk semua warganya mempertahankan perjuangan suci mereka itu. Saya benar-benar hairan bagaimana Presiden dan Timbalan Presiden PAS termasuk Mursyidul Am sanggup mengalah. Pada fahaman saya kita boleh mengalah dalam soal ranting tetapi kita sama sekali tidak diizinkan untuk mengalah dalam soal dasar seperti persoalan akidah. Sebenarnya saya malu dan aib melihat pertentangan pegangan dua kelompok ulama besar PAS dalam isu kalimah Allah ini. Satu kelompok diwakili oleh Mursyidul Am dan Presiden parti. Satu kelompok lagi Timbalan Mursyidul Am dan Ketua Dewan Ulama.

 S:   Pada Muktamar Agung PAS ke-58 November lalu, PAS juga sanggup mendoakan kehancuran UMNO dan Barisan Nasional (BN) sementara Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula memurtadkan UMNO. Sebaliknya ia sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR. Boleh Datuk mengulas lanjut?
J:  Sampai hari ini saya terus meninjau pendapat alim ulama yang ramai juga bilangannya yang saya kenali. Saya juga terus membalik-balik bahan bacaan untuk mencari jawapan kepada satu persoalan yang membuatkan saya resah gelisah dan kadangkala mengganggu daya fikir saya. Antara persoalan itu ialah pimpinan PAS mengkafirkan orang lain. Yang menambah kesugulan saya ialah tiadanya ulama PAS menyanggah fatwa sedemikian. Saya mengumpulkan pendapat beberapa orang yang saya begitu menghargai ilmu mereka khususnya yang berkait dengan perkara kafir mengkafir ini. Setakat tinjauan saya kepada mereka yang mempunyai ijazah berjela-jela yang mana kelulusan mereka jauh lebih tinggi daripada pencapaian ilmu mursyidul am dan presiden parti, mereka berpendapat bahawa fatwa sedemikian boleh terbuka kepada keraguan berpanjangan. Hampir semua pendapat yang ditinjau menyatakan bahawa fatwa sedemikian bertentangan dengan kehendak syariat.
  Antara asas PAS mengkafirkan UMNO yang sering digunakan ialah kerana parti itu menggunakan perlembagaan penjajah. Ia dikatakan sebagai perlembagaan jahiliah yang sarat dengan unsur kekufuran disebabkan ia membabitkan orang bukan Islam bernama Lord Reid. Tiba-tiba apabila PAS menyertai pakatan pembangkang, ia menandatangani MOU bersama DAP dan PKR untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya. Saya cuba mencari jawapan terhadap pusingan 360 darjah parti PAS itu. Adakah Anwar atau Karpal Singh atau Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng atau keempat-empatnya sekali sudah berjaya ‘mengIslamkan’ Perlembagaan Persekutuan yang selama ini dikatakan perlembagaan kafir? Atau adakah golongan parasit dalam PAS telah berjaya membawakan suntingan justifikasi bahawa Perlembagaan itu sudah bersih daripada sifat kufurnya? Atau ulama yang mengesahkannya sudah berjumpa kitab lain yang selama ini tersorok entah di mana hingga ilmuan besar Islam tidak berjaya menemui khazanah ilmu itu?

 S:   Presiden PAS pula enggan memohon maaf dan meletakkan syarat bagi menjelaskan isu Amanat Haji Hadi di mana beliau mengkafirkan orang UMNO. Selagi diletakkan syarat, selagi itulah isu tersebut tidak akan selesai. Apa pandangan Datuk?
J:  Amanat Haji Hadi ini pun betul-betul membingungkan saya. Sebelum itu saya berterima kasih kepada Zainon Ismail atau CN Al-Afghani yang menulis buku Kafirkah Aku? Daripada hampir sejuta ahli PAS hanya seorang saja, itupun bekas ahli PAS kerana keahliannya dilucutkan, masih mampu mengumpul kekuatan untuk cuba menegur dan mengingatkan Hadi yang menjadi Presiden PAS terhadap amanat yang pernah diucapkan beliau. Melalui tulisan Al-Afghani itu maklumat saya bertambah jelas mengenai amanat yang dikeluarkan pada 1981 itu. Waktu itu saya menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Kedoktoran (PhD) di Amerika Syarikat. Justeru, tak banyak maklumat yang sampai kepada saya.
  Apabila buku Kafirkah Aku? diterbitkan, saya membaca kali pertama dan mengulangi bacaan itu sekali lagi. Bagi saya tulisan guru sekolah rendah yang kononnya hanya layak mengajar ABC itu sebenarnya beliau adalah seorang guru kepada guru lain. Cuba kita tanyakan beberapa soalan rambang. Guru sekolah rendah mana yang sanggup menegur seorang presiden parti yang partinya sudah bertapak sejak 60 tahun lalu? Guru sekolah rendah mana yang dapat menyelak kisah sejarah dengan begitu teratur kronologinya untuk memaparkan salah satu sejarah hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan untuk beberapa generasi yang akan datang? Soal memohon maaf atau menarik balik pada saya tidak berapa penting kerana kemaafan lazimnya datang daripada kesedaran diri sendiri.
  Pada 8 Januari lalu, genap setahun bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali dipecat daripada  PAS. Selepas dipecat, beliau meneruskan perjuangannya bagi memartabatkan Islam, Melayu dan institusi Raja menerusi badan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (JATI).  Dalam temuramah dengan wartawan BH Ahad, Razak Rashid Ghows, Hasan Ali juga berkata, ruang untuk beliau kembali kepada PAS sudah tertutup kerana kehadiran parasit yang melemahkan kepemimpinan parti sehingga PAS bertukar arah dan kini menyokong fahaman liberalisme Barat serta bersekongkol dengan fahaman Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

 S:   Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini dijangka menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah tanah air. Orang Melayu juga akan berpecah dan mengalami kerugian paling besar sekiranya mereka terus menerus dengan pendirian masing-masing. Apa komen Datuk’?
J:  Memang ada pemerhati politik yang menyatakan PRU-13 adalah ibu kepada segala pilihan raya. Kebanyakan parti yang bertanding sedang berada di persimpangan. Mereka harus memutar ke kanan atau ke kiri. Parti politik yang bertanding bukan saja ingin meraih kemenangan dengan rekod lebih baik daripada sebelumnya tetapi seperti PAS dan PKR, mereka bertanding untuk mengelakkan parti masing-masing daripada menjadi kerdil, kurus kering dan pupus. Saya meramalkan seandainya PAS kalah teruk dalam pilihan raya kali ini, kemungkinan besar akan berlaku pemberontakan dalam parti itu. PKR pula akan mengalami nasib sama. Anwar sudah menjangkau umur 65 tahun. Masa untuk beliau terus bergerak cergas dan terus memimpin PKR sudah terlalu suntuk.

 S:   Pemerhati politik melihat pakatan di antara parti pembangkang sekarang akan hanya menguntungkan DAP. Pandangan Datuk’?
J:  Berdasarkan congak saya, saya setuju dengan pendapat yang menyatakan DAP akan muncul sebagai parti komponen pakatan pembangkang paling berjaya dalam PRU-13 nanti. DAP berjaya bukan kerana DAP terlalu kuat. Tetapi parti cauvinis ini berjaya kerana lemahnya dua parti Cina yang lain iaitu MCA dan GERAKAN. Nampaknya MCA dan GERAKAN masih belum kebah lagi daripada demam kekalahan sejak 2008 lalu. Dalam kalangan orang Melayu pula terbahagi kepada tiga iaitu UMNO, PAS dan PKR. Saya suka mengetepikan PKR dalam analisis ini, maka tinggallah UMNO dan PAS saja. Saya meramalkan UMNO dapat mengekalkan kerusi yang mereka menangi di samping menambah di sana sini beberapa kerusi lagi. Seperti ramalan pemerhati politik lain, perpecahan orang Melayu dari sudut politiknya akan membawa bencana  sangat besar. Kuasa politik Melayu semakin terhakis. Hakisan ini tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh bangsa ini tidak sejalan dan sealiran dalam membina rupa Bangsa Melayu yang kuat dan padu. 

 S:   Apakah Datuk akan bertanding lagi di kawasan Gombak Setia atau di tempat lain dan atas tiket apa?
J:  Saya akan jawab soalan ini bila tanda-tanda datangnya PRU-13 semakin jelas. Bila waktunya tiba nanti barangkali saya lebih bersedia dan lebih definitif dalam memberikan jawapan seperti yang dikehendaki. Sudah tentu orang yang menyoal lebih berminat untuk menerima jawapan yang hampir pasti, bukan jawapan berbentuk spekulatif.

 S:   Ramai menjangka penubuhan JATI hanya sementara dan akhirnya Datuk akan menyertai UMNO. Hanya masa saja yang akan menentukannya. Boleh Datuk ulas?
J:  Saya lebih berminat menghabiskan masa bersama JATI memperjuangkan Islam, Melayu dan institusi Raja. Bagi saya wadah tidak berapa penting. Yang penting ialah apa sumbangan saya dan bagaimana saya dapat membantu mengubah masyarakat Melayu Islam menjadikan mereka anggota masyarakat yang hebat di dunia dan sentiasa mendapat sanjungan dan kasih sayang Allah SWT. Semangat baru yang ditiupkan ada kalanya menyebabkan saya bersedih disebabkan dari sudut hukum alamnya kehadiran saya di muka bumi ini sudah berada di penghujungnya. Sebenarnya banyak lagi hendak difikirkan dan dilakukan.
Mengenai menyertai UMNO atau tidak, pun, saya ingin mengulangi bahawa perjuangan saya adalah untuk Islam, untuk bangsa Melayu dan untuk institusi Raja. Saya tidak rela Islam, Melayu dan institusi Raja diperkotak-katik dan terus dihina.
Saya tidak akan mengizinkan Islam, Melayu dan Raja dijadikan bahan politik untuk kepentingan politik sempit. Saya juga akan menentang segala percubaan untuk menyekat, menidak dan menghakis maruah agama, bangsa dan raja saya. 

 S:   Apakah ada kemungkinan Datuk akan kembali menyertai PAS satu hari nanti?
J:  Bagi saya tidak ada dahan dalam PAS lagi untuk orang seperti saya bergantung kasih sayang dan cinta kepada parti yang memperjuangkan tonggak perjuangan Islam ini sejak 60 tahun lalu. Saya amat tersinggung dengan kerja kotor yang dibuat oleh golongan parasit di dalam PAS.   Sekiranya jalan perjuangan PAS yang disusur galur sejak penubuhannya melalui pimpinan besar seperti Dr Burhanudin Helmi, Prof Zulkifli Mohamad, Yusuf Rawa dan Datuk Fadhil Nor dikekalkan dan disemarakkan, sayalah antara orang yang pertama yang  dilucutkan keahliannya tampil kehadapan menjulang panji-panji perjuangan parti.
Tetapi kehadiran parasit yang melemah longlaikan lutut-lutut pimpinan utama hingga menyebabkan PAS menukar arah menyokong fahaman liberalisme Barat, bersekongkol dengan manusia keji dengan fahaman seperti LGBT menjadikan ruang ke arah saya kembali kepada PAS sehingga ini tertutup. - Berita Harian, 13 Januari 2013