Friday, 25 January 2013

Buat apa DAP naikkan Zairil?

Tindak-tanduk pemimpin DAP untuk mengangkat Zairil Abdullah sebagai anggota Jawatankuasa Pusat (CEC) yang dipilih sudah tentunya menimbulkan tanda tanya memandangkan terdapat seorang lagi pemimpin Melayu lebih kanan, Dr Ariffin Omar yang sepatutnya mengisi kekosongan tersebut.
 
Ariffin ialah senator yang dilantik bagi mengisi tempat Tunku Abdul Aziz Ibrahim berikutan krisis pemimpin itu dengan DAP.

Dalam pemilihan jawatan CEC pada 15 Disember lalu, Zairil, setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berada di tempat ke-39 dengan memperoleh hanya 39 undi.

Bagaimanapun, kira-kira tiga minggu kemudian pihak pentadbir pemilihan parti berkenaan mengakui berlaku kesilapan teknikal dalam pengiraan undi.

Tiba-tiba tempat Zairil melonjak ke tangga ke-20, tempat terakhir dalam barisan CEC yang dipilih. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah parti itu begitu beria-ria sangat untuk meletakkan Zairil sebagai anggota CEC dipilih walaupun beliau masih berusia 29 tahun.

Lagipun, Zairil bukannya ahli lama atau pernah memegang jawatan tinggi. Berbanding dengan Ariffin, sudah tentu beliau jauh di belakang tetapi mungkin juga DAP nampak begitu cenderung untuk menaikkan nama Zairil kerana namanya ada kaitan dengan bekas menteri Kabinet, Tan Sri Khir Johari. Inilah yang membezakannya dengan Ariffin atau ahli Melayu lain.

Bagi menambahkan lagi keyakinan penyokong Melayu mereka, parti itu tidak mengetepikan Ariffin dan turut melantiknya ke CEC.

Namun DAP tidak sedar bahawa rakyat umum tahu bahawa Zairil sebenarnya hanya anak angkat kepada Khir Johari. Maknanya, Khir Johari dan isterinya bukan ibu bapa kandung Zairil walaupun dari segi Perlembagaan beliau sememangnya boleh ditakrifkan sebagai Melayu.    

Zairil dalam sebuah portal berita berkata beliau tahu siapa bapanya dan bangga dengan keturunannya. Beliau juga bangga dengan sikap baik yang diwarisi daripada bapanya sambil mendakwa serangan terhadapnya sebagai cubaan untuk menggugat perjuangan politiknya.

Tunku Abdul Aziz yang ditanya mengenai isu itu, menegaskan sepatutnya anak angkat tidak boleh dibinkan kepada bapanya dan sebaliknya hendaklah menggunakan Abdullah di hujung namanya.

"Saya juga mempunyai seorang adik anak angkat daripada keluarga Cina yang dibintikan Abdullah dan bukannya dibintikan Tunku Ibrahim,” katanya.
 
Tidak tahulah sama ada bagi Zairil, penggunaan nama Khir Johari itu boleh memberinya kelebihan dalam karier politiknya atau sebaliknya. Mungkin bagi mempengaruhi pemikiran penyokong DAP, ia boleh memberinya kelebihan tetapi orang Melayu secara umumnya mungkin tidak begitu suka beliau bersekongkol dengan parti cauvinis Cina itu, sedangkan bapanya pernah menjadi Setiausaha Agung UMNO.

Apapun, ramai yang berpendapat kesilapan teknikal yang didakwa pemimpin DAP berikutan pemilihannya 15 Disember lalu hanya satu alasan bagi melonjakkan Zairil kerana ketiadaan Melayu dalam barisan kepemimpinan parti itu.

Ramai juga ahli DAP tidak puas hati kerana keputusan pemilihan pada Kongres DAP di Pulau Pinang itu berubah selepas tiga minggu. Tindakan mereka melakukan perubahan ini tidak langsung mencerminkan demokrasi dan menjejaskan kredibilitinya.

Kalau hendak mengisi jawatan dengan ahli Melayu, bukan itu caranya. Apa perlunya beliau dipilih kalau boleh dilantik oleh barisan pemimpin yang ada?

Tidak perlulah cuba menunjukkan kepada orang Melayu bahawa DAP benar-benar parti pelbagai kaum, pada hal ia sebuah parti cauvinis Cina.

Kegagalan perwakilan untuk memilih anggota CEC Melayu kemudian menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak. Pembetulan ke atas keputusan pemilihan itu dilihat sebagai antara usaha parti berkenaan untuk memujuk semula hati orang Melayu.

Ia juga menunjukkan bahawa parti berkenaan sedang berusaha untuk menonjolkan penampilan imejnya sebagai parti pelbagai kaum.

Guan Eng sedar bahawa untuk mendapat sokongan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini, DAP tidak boleh terus kelihatan sebagai parti Cina dan perlu disokong oleh pengundi Melayu dan India.  

Walaupun ramai yang melihat ketiadaan Melayu dalam barisan pemimpin parti berkenaan sebagai tanda penolakan ahli terhadap kaum lain, PAS pula seperti biasa tidak nampak dengan permainan rakan seperjuangannya itu.