Waspada janji kosong pembangkang
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan dalam masa terdekat, namun ramai yang menjangka ia akan diadakan pada cuti sekolah penggal pertama yang bermula 23 Mac depan.
Secara rasminya, tempoh kerajaan yang ada
akan hanya berakhir pada 28 April tapi pemerhati politik percaya Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menunggu sehingga ke saat-saat
akhir.
Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk
menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen apabila beliau
berasa sudah tiba masanya untuk berbuat demikian.
Selepas pembubaran Parlimen, Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh dua bulan untuk mengadakan pilihan raya
umum itu. Begitulah keadaannya mengikut peraturan yang ditetapkan.
Demi kesejahteraan rakyat, ramai juga
berharap pilihan raya dapat diadakan secepat mungkin kerana sudah tidak sanggup
lagi melihat perseteruan di antara beberapa parti politik di negara ini.
Pelbagai isu yang ditimbulkan juga membuatkan
ramai rakyat Malaysia berasa jemu dan tidak selesa. Kata orang utara, mereka
sudah cemuih. Mereka mahukan keadaan yang tenang, aman dan stabil.
Pilihan raya juga bererti akan berlaku
perdebatan politik yang hebat di antara tokoh tertentu yang mewakili parti
masing-masing. Mereka juga membuat janji demi janji sebelum melancarkan
manifesto secara rasmi dalam kempen yang menyusuli penamaan calon.
Sebenarnya inilah perkara yang harus kita
waspada iaitu janji kosong pembangkang. Mereka bercita-cita untuk mengubah
negara ini tapi tidak dinyatakan perubahan apakah yang dimaksudkan.
Kalau perubahan hendak dilakukan, ia mesti
meliputi semua aspek, bukan sekadar melantik orang itu atau orang ini sebagai
perdana menteri. Kalau hendak ubah, kena buat lebih baik, bukannya lebih teruk.
Seorang daripada pemimpin pembangkang
berkenaan pernah menerajui parti pemerintah sebagai orang nombor dua. Beliau
juga pernah menjadi menteri kewangan dan menteri pendidikan tetapi apakah
perubahan yang dibawanya?
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad, dalam blognya baru-baru ini menyatakan ketika krisis kewangan pada
1997 dan 1998, bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba menggunakan
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebagai jalan keluar daripada krisis itu.
Kini orang yang sama menjanjikan perubahan
kalau diberikan peluang untuk membentuk kerajaan sedangkan rakyat tahu niat
sebenarnya hanyalah untuk menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir menegaskan, Presiden Amerika
Syarikat, Barack Obama pun pernah menjanjikan beberapa perubahan, antaranya
untuk menutup kem tahanan AS di Teluk Guantanamo dan menamatkan operasi tentera
di Iraq dan Afghanistan.
Ramai berasa lega dengan janjinya itu kerana
mereka tidak mahu lagi anggota keluarga mereka terkorban dalam konflik di
kedua-dua negara itu. Namun selepas memegang kuasa, janji Obama gagal ditunaikan
walaupun slogan beliau ketika berkempen ialah ‘Change We Can’ atau ‘Kita Boleh
Lakukan Perubahan’.
Ternyata janji memang mudah dibuat tapi untuk
melaksanakan janji itu tidak semudah itu. Justeru sukar bagi rakyat mempercayai
sepenuhnya apabila pembangkang berikrar untuk memberi pendidikan percuma
sepenuhnya, memansuhkan tol, meningkatkan subsidi petrol dan royalti minyak.
Semua itu, seperti ditegaskan bekas Perdana
Menteri, pernah cuba dilaksanakan oleh negara sosialis dan komunis tapi semuanya
gagal.
Realitinya, sesebuah kerajaan tidak boleh
mengorbankan cukai, tol dan yuran kerana ia diperlukan untuk pembangunan di
samping memberi subsidi kepada rakyat.
Dr Mahathir yang memimpin negara ini selama
22 tahun sudah tentunya mempunyai pengalaman luas dalam urusan pentadbiran.
Beliau tahu bahawa kerajaan sememangnya memerlukan wang untuk kemudahan awam,
membina lebuh raya, sekolah, hospital, membiayai kos operasi dan melaksanakan
projek pembangunan.
Perkara inilah yang tidak disedari pembangkang.
Pengalaman mereka yang cetek tentunya tidak mencukupi. Janji sebenarnya dibuat
bagi membolehkannya ditepati, bukannya untuk memperdayakan rakyat. - Berita Harian 10 Januari 2013