Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) bakal menjelang tidak lama lagi. Sekali lagi Suruhanjaya Pilihan
Raya Malaysia (SPR) bertanggungjawab untuk mengendalikan pilihan raya itu
sebaik mungkin bagi membolehkan proses demokrasi di negara ini berjalan lancar.
Walaupun selama ini SPR bertindak adil
tanpa memihak kepada mana-mana parti, ia
masih dilemparkan dengan pelbagai kritikan dan tuduhan tidak berasas oleh pihak
pembangkang sehingga tercetusnya demonstrasi bagi menuntut keadilan dan
ketelusan. Pilihan raya umum ini juga
mungkin antara yang paling mencabar bagi SPR walaupun ia sudah mengendalikan 12
pilihan raya dengan berwibawa sejak 1959. Pada PRU-13 ini juga banyak pindaan
dibuat pada peraturan pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal buat
pertama kali dan pengenalan nombor siri dalam kertas undi. Bagi mengetahui
lebih lanjut peranan, cabaran serta pembaharuan yang dibuat oleh agensi berkenaan,
wartawan BH, Razak Rashid Ghows dan Azrul Affandi Sobry menemu bual
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di pejabatnya di Putrajaya,
Jumaat lalu.
Wartawan: Apakah
pandangan SPR mengenai persepsi sesetengah pihak terhadap ketelusan dan
kredibiliti suruhanjaya ini?Abdul Aziz Mohd Yusof: SPR tidak mempunyai pegawai tetap yang ramai dan hanya ada 600 kakitangan di seluruh negara. Adalah menjadi tradisi, setiap kali pilihan raya, SPR perlu mendapatkan bantuan kakitangan kerajaan dan swasta bagi melantik mereka sebagai pegawai pengurus yang menjadi ketua untuk menguruskan pilihan raya di kawasan masing-masing. Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus ini biasanya terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dan mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sementara kakitangan lain dilantik oleh SPR.
Untuk PRU-13, kita memerlukan 240,000 petugas. Semua pegawai
yang bertugas ini berperanan seolah-olah
mereka adalah pegawai SPR yang menjadi barisan depan dalam pilihan raya. Semua
perbuatan mereka menggambarkan SPR. Secara umum saya maklumkan kepada mereka,
apabila diberikan tugas dan tanggungjawab seperti itu, mereka hendaklah setiap
masa bersikap bebas, tidak memihak kepada mana-mana parti politik, profesional,
menjalankan tugas yang diberikan mengikut undang-undang SPR, Akta Pilihan Raya,
Akta kesalahan SPR, peraturan undi dan undang-undang lain.
Di samping undang-undang, ada kod etika pilihan raya.
Pegawai berkenaan juga kena menandatangani
akuan sumpah. Maknanya ada perkara tertentu adalah rahsia, sulit dari
segi pengurusan pentadbiran. Jadi dari segi tindakan mereka mesti tidak
memihak, jangan sekali-kali bercakap undilah parti itu, undilah parti ini atau
sokong calon itu, sokong calon ini. Apa yang mereka boleh buat ialah
memaklumkan kepada orang ramai macam mana nak mengundi, macam mana nak
memangkah, menyemak dalam daftar, apa patut dibuat dan sebagainya. Pada masa
sama, kita juga memerhatikan mereka. Kita tak mahu ada tuduhan staf SPR ketika menyorong orang sakit dalam
kerusi sorong dia kata undilah parti ini dan itu. Jika ada pengundi atau
mana-mana parti mengesan atau mencurigai seseorang pengurus pilihan raya, sila
adukan kepada kami dan tindakan akan diambil jika ada bukti. Pengalaman SPR
ialah kita pernah memecat pengurus pilihan raya di Terengganu sebelum ini.
Justeru, SPR sentiasa memastikan ketelusan itu menjadi perkara utama, namun ada
pihak sengaja membuat pelbagai dakwaan terhadap SPR berasaskan beberapa andaian dan persepsi
semata-mata tanpa bukti. Mereka ini sengaja ingin mengelirukan dan mempengaruhi
pemikiran pengundi.
Soalan: Walaupun ada langkah SPR untuk menjamin
ketelusan, pembangkang masih tidak puas hati dan masih kata SPR berat sebelah?Jawapan: Kita adalah negara demokrasi dan bebas untuk menyatakan apa-apa dan mereka adalah anggota parti politik. Mereka ingin menang dan meyakinkan rakyat. Dalam politik ada orang kata persepsi itu adalah penting. Dalam politik, perkara paling penting ialah orang percaya apa yang kita katakan. Kalau putih dia kata hitam pun lama-lama orang percaya. Sama juga dengan SPR, untuk PRU-13 ini, banyak pindaan dibuat atas desakan pelbagai pihak sehingga tertubuhnya Jawatankuasa Khas Parlimen. Inilah lebih berkesan bagi SPR daripada demonstrasi, tuduh sana tuduh sini. Itu semua tak berkesan, paling berkesan adalah jawatankuasa ini, yang bermesyuarat siang malam pagi petang di dalam dan luar negara. Ahlinya terdiri daripada wakil parti. Dari situ, mula-mula ada 10 syor dan dalam laporan terakhir ada 22 syor, 32 semuanya. Perkara susah dan panjang seperti tukar sistem pilihan raya di Malaysia atau merombak tiga tugas utama SPR supaya dibahagikan kepada tiga organisasi kita perlu kaji dulu.
Begitu juga cadangan warga negara Malaysia berusia 20 tahun
didaftarkan sebagai pengundi perlu dikaji, kena pinda Perlembagaan. Sekarang apa
saja di sebelah sini, yang di sebelah sana tidak sokong. Tapi perkara mudah
sudah banyak kita buat. Dulu tuduhan ada orang mengundi lebih daripada sekali
walaupun orang terbabit tak pernah ditangkap memiliki kad pengenalan kedua.
Pada mulanya kita nak guna biometrik tetapi dibantah parti pembangkang. Dia nak
dakwat kekal juga kerana dulu pada pilihan raya 2008 penggunaan dakwat kekal
dibatalkan. Kita setuju guna dakwat kekal, ia sudah disemak Jabatan Kimia,
kandungannya tak ada yang haram, sudah disemak Majlis Fatwa Kebangsaan
difatwakan harus dan boleh diguna orang Islam dan tak menyekat air di kulit
serta disemak Jabatan Kesihatan yang menyatakan dakwat ini tak memudaratkan.
Kita akan guna dakwat ini dan mesti guna. Kalau dia tak mahu guna, dia tak dapat
kertas undi. Ini pun mereka pertikai. Dari segi prosedur, macam biasa, apabila
masuk ke bilik undi tunjukkan kad pengenalan dan semak dengan daftar pemilih,
tunjuk jari, kalau bersih OK. Apabila bersetuju saja jari sudah ada dakwat,
kerani akan sebut dengan kuat nama dan nombor kad pengenalannya dan ejen parti
akan periksa. Setelah itu baru seorang kerani mengoyak kertas undi yang
mempunyai nombor siri. Dia kena ambil dan tak boleh menolak kertas undi itu.
Nombor siri bukan bermakna kita boleh kesan balik siapa mengundi. Kerani yang
menyerahkan kertas undi itu tak boleh memegang apa-apa kertas tulis. SPR hanya
boleh kesan kalau ditulis apa-apa pada kertas undi. Kita juga ada cop unik dan
nombor siri. Ia unik untuk saluran itu. Tiada cop dan nombor siri sama di
saluran lain. Jika ada tuduhan menyatakan kertas lain masuk, kita boleh buka
dan tengok bersama-sama. Ada syor dalam Jawatankuasa Khas supaya SPR
membatalkan saja nombor siri ini. Kita tak setuju sebab kalau tak ada apa
langsung, apa pegangan kita? Tiada sesiapapun termasuk SPR dapat mengesan siapa
yang mengambil kertas undi itu jika tidak dicatat apa-apa pada keratan kertas
undi itu. Pengundi boleh bantah jika ternampak kerani SPR menulis apa-apa pada
kertas undi.
Soalan: Bagaimana jika ada orang tak mahu kertas undi
yang diberi?Jawapan: Ini ada ajaran sesat yang diusahakan pihak tertentu termasuk Tindakan Malaysia. Mereka menggalakkan pengundi supaya menolak kertas undi kerana kononnya ia boleh dikesan. Macam mana boleh kesan? Kalau mereka beritahu saya SPR boleh mengesan siapa pengundi, saya akan menukar sistem ini. Mengapa agaknya kita mengadakan nombor siri ini? Ia adalah bagi memudahkan SPR mengira. Setiap jam ada orang tanya, sehingga kini sudah berapa ramai keluar mengundi. Mudah kita kira. Kalau diambil nama daripada senarai, kadangkala di tengah, kadang-kadang di bawah, kadang-kadang pula buku lain, sudah tentu makan masa tetapi ia tak boleh dikesan. SPR sendiri pun tak tahu. Tak mungkin.
Soalan: Apakah penambahbaikan yang dibuat khusus
untuk pilihan raya kali ini?
Jawapan: Banyak yang dituntut terutama pembangkang
tetapi SPR kekal dengan prinsip tidak menerima arahan daripada sesiapapun,
termasuk Perdana Menteri. Namun, SPR tidak menolak jika ada orang ingin memberi
pandangan. Semuanya tidak begitu berkesan kecuali dengan penubuhan Jawatankuasa
Pilihan Khas Parlimen untuk melihat penambahbaikan yang perlu. Hasilnya, banyak
sudah ditambah baik termasuk penggunaan dakwat kekal dan sistem pengundian awal
bagi anggota tentera, polis serta pasukan gerakan am dan pasangan mereka. Undi
pos bagi warga negara Malaysia di luar negara juga diperluaskan untuk semua
orang dan SPR sentiasa membersihkan daftar pemilih secara berterusan sepanjang
tahun. Tempoh berkempen dilanjutkan dari tujuh ke 11 hari serta melantik pemerhati
pilihan raya tempatan dan antarabangsa. Bagi pemilih orang kurang upaya (OKU),
mereka boleh dibantu untuk mengundi oleh orang yang dipercayai. Penggunaan pen
mata bola untuk menanda kertas undi akan menggantikan pensil. Tidak ada khemah
atau jamuan pada hari penamaan calon.
Dalam sejarah pilihan raya negara ini, SPR sudah membuktikan kewibawaannya
melalui pengendalian 12 pilihan raya umum sejak 1959.
Soalan: Satu perkara heboh diperkatakan dalam
internet terutama pembangkang ialah mengenai undi pos di luar negara. Mereka
memberi tumpuan dan menimbulkan pelbagai isu. Apa ulasan Tan Sri?
Jawapan: Sebelum ini undi pos di luar negara hanya
untuk pelajar sepenuh masa dan pasangan mereka serta pegawai kerajaan dan
pasangan masing-masing. Ia sudah lama dilakukan. Yang mendaftar undi pos dalam
kumpulan ini hanya 2,600 orang. Tapi badan bukan kerajaan (NGO) di sini bukan
main lagi, mereka kata ramai pelajar di luar negara tetapi tuan punya badan tak
beriya-ya sangat. Mereka kumpulan pengundi tak hadir (PTH). Sudah dipinda
peraturan supaya semua rakyat di luar negara boleh mohon untuk menjadi pengundi
pos sejak 21 Januari tahun ini. Semua kecuali mereka yang bermastautin di
Singapura, Brunei, Kalimantan dan selatan Thai kerana terlalu dekat. Syarat
kedua, mesti daftar sebagai pemilih. Ketiga, pernah balik ke negara ini dalam
tempoh lima tahun sebelum Dewan dibubarkan, secara berkumpul selama 30 hari.
Mereka yang mendapat status penduduk tetap
di luar negara juga boleh mengundi kecuali mereka mendapat kewarganegaraan negara asing.
Soalan: Dua perkara ditimbulkan iaitu satu, mereka
menyatakan pegawai kita di kedutaan tak mencukupi untuk mengendalikan undi pos
dan kedua, kertas undi diganggu dalam perjalanan ke Putrajaya?
Jawapan: Di bawah undang-undang, undi pos ini adalah
hak pengundi. Dia dapat kertas undi, dia baca dan ikut peraturan dan pos balik.
Dalam hal ini, SPR mengendalikan, bukan memaksa supaya mereka mengambil kertas
undi masing-masing di kedutaan. Kita bukan menghantar ke rumah. Kita tak mahu
lambat sampai, hilang, orang lain ambil dan sebagainya. Kita juga menasihati
mereka, jangan bawa balik, kita sediakan di sini (kedutaan) tempat mengundi
seperti tentera dan polis kita sediakan karung pos. Maknanya dia pergilah ke
kedutaan, kita sediakan satu ruang dan pangkahlah sebelum memasukkannya ke
dalam sampul kecil dan karung. Undi pos dilakukan pada hari keenam atau ketujuh
selepas penamaan calon. Jumlah yang mendaftar sejak 21 Januari sehingga jam 4
petang 28 Februari lalu, iaitu penerimaan borang 1B undi pos ialah 4,234. Ini
tambahan kepada 2,600 terdiri daripada pelajar dan pegawai kerajaan. Dalam
tempoh yang sama juga, rakyat Malaysia di luar negara yang mendaftar paling
tinggi ialah di Australia (832), United Kingdom (606), China (313), Amerika
Syarikat (248) dan Qatar (142). Umur mereka yang mohon ramai sudah berusia, ada
umur 60, 70 tahun dan yang ramai peringkat berusia lingkungan 30-an dan 40-an
tahun.
Soalan: Pembangkang mendakwa kononnya di Shanghai
saja ada beribu-ribu penduduk Malaysia?
Jawapan: Kita boleh sebut jumlah tetapi isu utama
adakah mereka sudah mendaftar dan apakah mereka berminat. Di Australia, pelajar
kita beribu-ribu ramainya. Hari ini
(Jumaat lalu), sudah 40 hari, hanya lebih 4,000 saja yang mendaftar, iaitu kira-kira
100 orang dalam sehari. Anda dengar mereka bercakap berjuta ramainya. Shanghai
saja 10,000 orang tidak termasuk Beijing. Kita uar-uarkan soal undi pos ini
menerusi kedutaan dan suruhanjaya kita di luar negara. Kita bukan
memperkecilkan tetapi apakah penduduk Malaysia di luar negara itu mendaftar
sebagai pengundi? Kalau mereka tak mendaftar sebagai pengundi kita tak terima.
Ada bertanya ketika proses mengundi di kedutaan, boleh tak
ejen parti melihat. Di bawah undang-undang tidak ada peruntukan tetapi kita
kata boleh. Kalau nak ikut sama dalam penerbangan pun boleh dan kalau nak duduk
di bahagian kargo pun boleh kalau pihak penerbangan membenarkan. Bila sampai
sini, kita letak dalam lokap. Kertas undi itu dihantar ke tempat masing-masing.
Mungkin ada rakyat Malaysia belajar di Harvard tapi tempat dia mengundi ialah
Hutan Melintang. Kertas undi itu akan dihantar ke situ. Kalau mereka nak lihat
di luar negara, nak iring dalam penerbangan ataupun bila sampai di sini nak
ikut pergi balai polis pun boleh dan kalau nak tunggu di depan lokap boleh.
Tapi saya beri jaminan SPR tak akan menipu dan tak akan ‘tamper’ (membuka atau
melakukan sesuatu) pada kertas undi itu.
Soalan: Apa pandangan Tan Sri berkenaan hasrat
kerajaan Selangor yang mahu membubarkan
Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal untuk membolehkan pilihan raya DUN
diadakan lebih awal?
Jawapan: Kita tidak halang. Itu hak mereka sebab
memang ia termaktub dalam undang-undang. Jika dapat perkenan Sultan, mereka
boleh bubar. Namun, perlu difahami yang SPR ada 60 hari untuk adakan pilihan
raya selepas DUN dibubarkan. Sebenarnya SPR tidak berapa galakkan pembubaran
awal dan adakan pilihan raya berasingan kerana ia membabitkan kos besar.
Perlu juga diingatkan yang rekod sebelum ini, ada beberapa
pilihan raya kecil yang dibuat pada hari yang sama meskipun tarikh kekosongan
kerusi itu berlaku berasingan. Dalam hal Selangor ini, SPR mungkin masih boleh
adakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya Parlimen meskipun mereka bubar
awal sebab kami ada 60 hari dan ia adalah atas hak SPR. Saya pun pelik. Sebelum
ini mereka umum tidak bubar DUN jika kerajaan bubar Parlimen pada
Jun tahun lalu sedangkan tidak pasti dari mana datangnya maklumat pembubaran Parlimen lebih awal. Mereka kata
mahu habiskan penggal di Selangor. Kali ini, mereka pula mahu bubar cepat.
Katanya selepas Cap Goh Mei, tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa lagi.
Soalan: Apa pula strategi utama SPR kali ini untuk
memastikan PRU-13 berjalan lancar?
Jawapan: SPR mengambil inisiatif melantik pemerhati
tempatan. Ada 16 badan bukan kerajaan (NGO) sudah diberi surat pelantikan
sebagai pemerhati bagi semua zon, Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kami juga
sudah membuat pelbagai persiapan dari segi peralatan, logistik, pindaan
undang-undang dan petugas pilihan raya. Peruntukan kewangan yang mencukupi
untuk kendalikan pilihan raya juga sudah kami dapatkan.
SPR sudah adakan dua kali pertemuan dengan ahli Parlimen
(kerajaan dan pembangkang) di Dewan Rakyat bagi menjelaskan pelbagai isu. Dalam
masa terdekat, SPR akan berjumpa dengan semua pimpinan parti untuk berbincang,
memberi penerangan berhubung perkara baru dan mendapatkan kerjasama mereka.
Dengan polis dan tentera juga diadakan
mesyuarat mengenai aspek keselamatan. Promosi melalui rangkaian Radio
Televisyen Malaysia (RTM) juga disiarkan mengenai perkara baru dalam PRU-13
ini. - Berita Harian Ahad, 10 Mac 2013