Ke mana saja beliau pergi, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dikerumuni orang ramai, termasuk mereka yang masih di bangku sekolah ketika beliau mentadbir negara selaku Perdana Menteri.
Kelmarin dalam Program Bicara Tun Dr Mahathir - Perkongsian Pengalaman Membina Negara, Auditorium Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur dipenuhi hadirin yang masih teruja mendengar ucapan beliau.
Seperti biasa, dalam kalangan hadirin, kelihatan muka-muka yang sering dilihat pada zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri dulu. Mereka masih nostalgik dengan pemerintahan beliau yang padat dengan sejarah tersendiri dalam aspek politik dan pembangunan.
Satu persatu perubahan
Mereka yang bekerja pada awal 1980-an sudah tentunya masih mengingati bagaimana Perdana Menteri ketika itu melakukan satu demi satu perubahan sehingga negara ini pesat membangun pesat dan gah dengan menara berkembar tertinggi di dunia.
Menjawab pertanyaan pada sesi soal jawab dengan pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada majlis itu, Dr Mahathir berkata: “Ketika saya baru mengambil alih dulu, saya mendapati pembangunan di Kuala Lumpur agak lambat. Tak ada pencakar langit pada 1981. Yang ada paling tinggi pun hanya Hotel Federal dan Hotel Merlin (sekarang Hotel Concorde).
“Saya tanya pegawai kerajaan kenapa tak ada permohonan (untuk buat projek). Mereka kata ada permohonan tapi tak lengkap. Kadang-kadang permohonan itu hilang. Benda macam inilah yang menyebabkan Kuala Lumpur tidak membangun.”
Dr Mahathir menegaskan sekiranya pegawai kerajaan mematuhi manual prosedur, fail meja dan carta aliran kerja sudah tentunya mereka akan mendapati ada banyak permohonan yang masih belum diberikan kelulusan.
“Apabila proses tersebut dipercepatkan, tiba-tiba saja ramai yang melihat Kuala Lumpur membangun dengan pesat. Hampir setiap hari kelulusan diberikan kepada cadangan membangunkan bangunan pencakar langit dan Kuala Lumpur kelihatan seperti New York dan pernah mempunyai bangunan tertinggi dunia,” katanya.
Kepada soalan mengenai kecenderungan golongan muda menggunakan media di internet untuk mendapatkan maklumat yang kadangkalanya tidak tepat dan salah, beliau berkata semua pihak seharusnya membuat perubahan bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan itu.
Malah, katanya, kerajaan sepatutnya menggunakan media alternatif jika mendapati ramai tidak menyokong mereka kerana maklumat yang tidak betul.
“Sebagai contoh, parti lawan keluarkan manifesto untuk tingkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan. Ramai berpendapat mereka akan mendapat pendapatan tambahan tapi kalau kerajaan berikan kenaikan, yang akan tanggung adalah rakyat sendiri.
“Kos sara hidup akan meningkat. Kalau barangan dijual di tahap lama, syarikat akan rugi dan ini perlu dijelaskan kepada rakyat. Pembangkang cakap tanpa buat penilaian. Kalau dia kata boleh buat kereta berharga RM25,000, buatlah,” katanya.
Ditanya oleh seorang pelatih PTD mengenai pengalaman paling pahit beliau ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata:
“Mentadbir negara selama 22 tahun tentu ada banyak masalah. Kalau fikir dengan secukupnya tentu kita dapat atasinya. Sebaliknya, kalau kita marah, pemikiran kita terganggu dan tak dapat hadapi masalah dengan baik.
“Sebab itu bila kita menghadapi masalah, kita kena fikir dengan tenang. Tuduhan yang dilemparkan terhadap saya seperti makan duit, korup, tolong kroni, tak jadi masalah. Kalau saya tak buat, saya rasa tenang. Bila kita dituduh macam-macam kita jangan marah,” katanya.
Beliau juga berkata, kadang-kadang masalah berpunca daripada rakan sendiri yang mencabar dan ingin menjatuhkannya.
“Bila orang tak suka tak apa. Bila ada pertandingan mereka tentang. Tak patut. Kita tolong dia tapi dia gigit jari kita,” katanya.
Dr Mahathir turut berpesan kepada pentadbir baru itu supaya memahami dan melaksanakan apa juga keputusan yang dibuat kerajaan untuk pembangunan negara.
“Kita bincang mendalam dan ahlinya buat keputusan. Tapi kadang-kadang pelaksanaannya tidak menepati cadangan Kabinet. Kadang-kadang keputusan sampai kepada pegawai melalui satu ayat saja bahawa Kabinet putuskan untuk buat itu dan ini, menyebabkan mereka tidak faham. Mungkin juga ada pegawai tidak setuju.
“Atas sebab itulah, kerajaan kemudian memutuskan supaya diadakan mesyuarat pasca Kabinet bagi membolehkan keputusan disampaikan dengan jelas kepada pegawai di semua peringkat,” katanya. - Berita Harian, 8 Mac 2013
-
Mod Aris dilantik sebagai Datuk bandar Winsford Jocelyn Yow Baru-baru ini media heboh memperkatakanmengenai wanita berdarah Malaysia, Joc...
-
Buat julung kalinya GiatMARA mengambil inisiatif untuk memulihara dan mempraktikkan seni pembuatan kapal layar hasil tunjuk ajar seorang pem...
-
Pada 15 Disember 2020 lalu kita dikejutkan dengan pemergian tokoh tersohor negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid pada usi...