Thursday, 28 March 2013

Jangan menang sorak, kampung tergadai!


Di pentas lakonan, macam-macam boleh berlaku. Segala-galanya dilihat macam betul, cuma bezanya ia satu lakonan yang lebih bersifat sementara. Seorang pelakon boleh menjadi jeneral, doktor peguam, kekasih malah Perdana Menteri sekalipun. Tiada siapapun akan marah kerana ia hanya lakonan.

Penonton juga ke pementasan itu untuk berhibur dan melihat mesej sketsa yang disampaikan. Kadang-kadang ada mesej cinta, kadangkala pula teladan dalam realiti kehidupan sebuah masyarakat. Tidak ketinggalan pementasan sketsa politik.

Mungkin pembaca masih ingat pementasan kisah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah tidak lama dulu. Sebelum itu, antara yang popular termasuk Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Di luar pentas, lakonannya lebih benar. Negara kita kini sedang berdepan dengan sandiwara politik yang lebih besar!

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) menjadi tema utama pementasan itu. Pelakonnya juga amat ramai, berbanding pelakon di pentas dalam dewan berhawa dingin.

Setiap hari ada saja perkembangan terbaru dalam sketsa politik tanah air. Habis satu isu, timbul isu lain. Umumnya rakyat selaku pengundi juga memerhatikan ahli politik sememangnya tidak kekeringan isu.

Dalam realiti kehidupan ini, ada pemimpin dan ada pengikut. Pemimpin mengemudikan organisasi politiknya dan ahlinya mengikut apa saja yang diputuskan.

Walaupun semua tahu bahawa PRU-13 sudah semakin dekat tapi tiada siapa yang tahu bila ia akan kunjung tiba kecuali Perdana Menteri.

Parti politik sudah lama menjalankan kempen, siang dan malam. Kata orang, kempen sudah dimulakan sebaik saja selesai Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008. Walaupun ini cuma andaian, tapi hakikatnya ialah mereka sudah lama berkempen, mungkin dengan lebih agresif sejak setahun lalu.

Di ambang PRU-13 ini juga macam-macam cerita mula timbul. Terbaru pengakuan bapa Saiful Bukhari iaitu Azlan Mohd Lazim, 60, yang awal minggu ini menyerahkan borang untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Terdahulu beliau dilaporkan membuat kenyataan kononnya ada 'konspirasi jahat' yang mengaitkan anaknya dalam kes liwat Ketua Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam sidang akhbarnya, beliau menjelaskan keputusannya untuk menyertai PKR tidak didorong oleh mana-mana pihak.

Persoalannya ialah kenapa sekarang baru beliau muncul di khalayak untuk menyatakan itu dan ini? Sudah tentunya Azlan tidak boleh marah apabila orang mempertikaikan tindakan yang diambilnya.

Kenapa sebelum ini beliau mempertahankan anaknya dan kini berubah pendirian? Macam ada sesuatu yang tidak kena pula.

Memanglah sebagai rakyat Malaysia beliau bebas membuat penentuan mengenai dirinya tapi waktu beliau membuat kenyataan mengenai kes berkenaan pula secara kebetulan di ambang pilihan raya.
Justeru dalam keadaan berkenaan, beliau tidak boleh menyalahkan sesiapa jika ada orang menganggapnya sebagai satu agenda.

Ini bermakna menjelang pilihan raya umum ini, apa saja boleh berlaku. Orang akan katakan itu dan ini. Selagi belum sampai waktunya, banyaklah cerita yang akan terbongkar, kadangkala pelik tapi lucu.

Klip video juga banyak tersebar di YouTube dan laman sosial lain dalam usaha pihak tertentu memberi sokongan kepada parti tertentu sehinggakan pelawak terkenal dan artis terkenal negara pun turut terbabit menyampaikan satira mereka. Yang terbaru ialah klip video 'Mr Mansuh'.

Cuma kita berharap pihak yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya akan cuba membendung sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat, terutama Melayu. Janganlah kita menang sorak, kampung pula tergadai!

Perlu diingat pilihan raya umum hanya datang empat atau lima tahun sekali dan oleh itu semua pihak hendaklah mengelak sebarang perbuatan yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Janganlah timbulkan bibit perpecahan sehingga meledak perasaan marah dan bermusuh-musuhan selepas pilihan raya kelak. Anggaplah ia satu proses biasa dalam amalan demokrasi. – Berita Harian, 12 Mac 2013