Thursday, 23 May 2013

Siapa sebenarnya tak hormati demokrasi, BN atau pakatan?

  Rakyat kini mula mempersoalkan tindak-tanduk pembangkang mengadakan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

  Sehari selepas keputusan berkenaan diumumkan, sudah ada ura-ura daripada pihak tertentu termasuk BERSIH 2.0 untuk menubuhkan sebuah tribunal kononnya untuk menyiasat beratus-ratus penipuan dalam PRU-13 itu.

  Pilihan raya yang baru lalu ini adalah  paling mencabar bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang terbukti mampu menjalankan tanggungjawab dengan adil dan telus. Pemerhati luar juga dipanggil untuk menyaksikan sendiri proses pengundian itu yang berjalan lancar.

  Namun, pihak pembangkang masih tidak berpuas hati kerana gagal merampas kuasa untuk ke Putrajaya. Di mana mereka belajar ilmu demokrasi ini? Di kawasan yang mereka menang, semuanya didapati baik. Kenapa tidak protes   kemenangan di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor?
  Di manakah kewajaran bantahan terhadap keputusan pilihan raya itu? Rakyat sudah pun membuat pilihan mereka. Selain negeri yang disebut, kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang juga bertambah daripada 80 pada PRU-12 kepada 89.

  Nampak sangat betapa janggalnya pandangan pemimpin pembangkang ini, yang sanggup menghimpunkan rakyat untuk tujuan peribadi mereka. Apakah ini amalan demokrasi yang mereka laungkan selama ini?
  Pakatan pembangkang juga dilaporkan akan memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan PRU-13 di beberapa kawasan Parlimen yang dimenangi BN dengan majoriti kecil. Malah, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dilaporkan berkata akan membawa aduan itu ke tribunal rakyat berkenaan.

  Sepatutnya mereka menerima keputusan PRU-13 itu   secara ‘gentleman’, bukannya membuat bising selepas segala-galanya  berakhir.  
  Selepas PRU-13, perhimpunan ‘Black 505’ itu diadakan di beberapa tempat di seluruh negara bagi menimbulkan kebencian terhadap kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat.

  “Mereka bukan saja berhimpun tetapi ucapan pemimpin mereka sarat dengan tohmahan dan dakwaan tidak berasas,” Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dipetik sebagai berkata.
  Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek juga kelmarin berpendapat   ‘pesta kegilaan’ pembangkang ini hendaklah dihentikan. Mereka harus sedar   tindakan itu dilihat sebagai perbuatan orang kecewa berikutan kegagalannya untuk  ke Putrajaya.

  Sudah tentu  kuasa yang ada di tangan rakyat pada PRU-13 itu boleh digunakan bagi menghentikan kegilaan berkenaan dengan memboikot angkara tidak demokratik itu.
  Sudah tiba masanya  pemimpin UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) keluar daripada sindrom senyap mereka untuk mematahkan serangan pembangkang itu dan tidak menyerahkannya kepada satu dua orang tertentu saja.

  Pemimpin BN tidak boleh membiarkan angkara pembangkang ini berterusan sehingga boleh menyebabkan rakyat  percaya dengan dakyah mereka. Rakyat perlu dijelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
  Biro Penerangan parti dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu digemblengkan untuk menjelaskan isu sebenar agar tidak berlaku salah tanggapan daripada rakyat.   
  Menerusi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, rakyat perlu difahamkan bahawa kerajaan ditentukan berdasarkan ‘first past the post’ iaitu jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi pada  pilihan raya, seperti ditegaskan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid. Malaysia tidak gunakan konsep undi popular kerana kedudukan geopolitik   tidak sama.

  Melalui sistem yang kita amalkan, parti yang mendapat kerusi 112 yang pertama dalam PRU (lebih satu kerusi daripada separuh 222 kerusi Parlimen) akan menjadi kerajaan dan ketuanya dilantik sebagai Perdana Menteri.
  Amalan ini sudah lama digunakan sejak sebelum merdeka lagi mengikut model Westminster. Justeru, tidak wajarkalau ada pihak mendakwa mereka menang PRU-13 kerana undi popular.

  Namun, pakatan pembangkang enggan menerima kekalahan mereka dan akan mempertahankannya dengan kemenangan undi popular  51 peratus berbanding   undi popular BN sebanyak 48 peratus.
  Jadi siapa yang sebenarnya tidak menghormati demokrasi? - Berita Harian, 22 Mei 2013