Thursday, 23 May 2013

Jawatan menteri untuk berkhidmat, bukan bermegah-megah

  Pengumuman barisan Kabinet pada Rabu lalu, menarik perhatian banyak pihak kerana mempunyai wakil daripada sektor berlainan termasuk teknokrat dan badan bukan kerajaan (NGO).

  Datuk Seri Abdul Wahid Omar, daripada Maybank mewakili teknokrat. manakala Waytha Moorthy Ponnusamy dan Datuk Paul Low, masing-masing mewakili NGO iaitu Hindraf dan Transparency International Malaysia (TI-M).
  Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Pengajian Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Zaini Abu Bakar berpendapat pelantikan itu menunjukkan bahawa barisan Kabinet itu adalah selari dengan pelan transformasi Perdana Menteri.

  “Orang yang dulunya ekstrem dalam NGO masing-masing dibawa masuk sebagai pelaksana bagi melakukan perubahan dari dalam. Tindakan mereka juga boleh dirujuk kepada Kabinet. Mereka juga bukannya mewakili kaum, tetapi badan bukan kerajaan,” katanya.
  Zaini menambah dengan penyertaan ikon korporat seperti Abdul Wahid, Perdana Menteri mewujudkan  hubungan antara sektor swasta dengan awam, iaitu langkah bagi mempercepatkan proses transformasi dan menjadikannya lebih pragmatik.

  Wakil korporat ini diharap dapat menerapkan nilai yang diamalkan di sektor swasta dan disuntik ke sektor awam.
  Beliau melihat penyertaan ejen yang mewakili TI-M sebagai pendekatan serius kerajaan untuk membanteras gejala rasuah dan langkah ini seharusnya mendapat sokongan semua pihak.

 “Untuk mewujudkan tadbir urus yang baik, sudah tentu kita memerlukan orang yang ‘juara’ dalam bidang tertentu. Dalam konteks gejala rasuah ini, pastinya Low adalah orang yang cekap dalam bidangnya, yang mempunyai integriti dan diiktiraf Transparency International,” katanya.
  Beliau juga berpendapat keputusan Perdana Menteri untuk membawa masuk tokoh berkenaan adalah pilihan tepat dalam usaha ‘merekayasa’ dari dalam.

  Selain itu, katanya, pelantikan lebih ramai anggota Kabinet dari Sabah dan Sarawak adalah satu pendekatan bagi memenuhi aspirasi pilihan raya umum yang baru lalu. Lagipun, kedua-dua negeri itu menyumbang kerusi terbesar kepada Barisan Nasional (BN).
  “Barisan Kabinet itu juga penterjemahan program integrasi nasional untuk mendekatkan lagi masyarakat di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” ujarnya.

  Perwakilan Cina pula tidak semestinya dalam bentuk ahli Kabinet, tetapi boleh dilakukan menerusi peranan yang dimainkan dengan berkesan oleh NGO dalam kalangan masyarakat Cina atau Melayu.
  “Di Parlimen sendiri pun, komposisi DAP dan wakil Cina dalam PKR dan PAS boleh mainkan peranan penting melalui kelompok itu,” tambahnya.

  Faktor bandar juga penting dan memberi impak langsung dan menyumbang kepada peningkatan pembangunan negara. Ketika pembangunan di bandar berlaku dengan rancaknya, kawasan luar bandar juga semakin ditransformasikan sebagai bandar.
  Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, sebahagian pengundi Cina dan bandar tidak lagi menyebelahi BN dan perubahan landskap politik negara itu pastinya menambahkan lagi cabaran bagi menteri yang baru dilantik itu.

  Tugas itu kini menjadi bertambah berat bagi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
  Dengan ketiadaan menteri yang mewakili MCA dan GERAKAN, tugas itu dibebankan ke atas bahu kedua-dua menteri berkenaan. Selain tugas rutin yang biasa, mereka  perlu mendekati dan memberi tumpuan kepada pengundi Cina dan India.

  Dalam PRU-13 lalu, bekas menteri, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin juga menghadapi pengalaman sukar apabila beliau cuba mengimbangi kehendak warga kota daripada kelas bawahan, menengah dan atasan.
  Apapun, majlis mengangkat sumpah menteri di Istana Negara, Khamis lalu adalah pelengkap kepada proses pembentukan kerajaan berikutan PRU-13 pada 5 Mei lalu. Ia menyusuli majlis mengangkat sumpah jawatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 6 Mei lalu, iaitu sehari selepas selesainya pilihan raya umum.

  Bermulalah tugas hakiki jemaah menteri yang dilantik itu. Jawatan itu adalah untuk membolehkan mereka berkhidmat, bukannya untuk bermegah-megah. - Berita Harian, 21 Mei 2013