Keadaan itu dapat dilihat dengan ketara di sebahagian besar
kawasan Parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang jatuh ke
tangan pembangkang, hampir sama dengan situasi pada Pilihan Raya Umum 2008.
Persoalan yang timbul ialah kenapa golongan kelas menengah
di bandar tidak menyokong BN walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan serta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk
menambahbaik kualiti kehidupan warga kota.Malah menterinya sebelum ini, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, juga turut memberi tumpuan khusus kepada usaha berkenaan. Golongan masyarakat bandar ini juga adalah kumpulan yang mendapat segala kemudahan terbaik daripada kerajaan.
Namun, mereka masih tidak berpuas hati dan pada PRU-13 lalu,
mereka memberi undi kepada pembangkang kecuali di Setiawangsa di mana BN
berjaya mempertahankan kemenangan dan merampas kembali Parlimen Titiwangsa.
Ada pihak tertentu berpendapat golongan menengah di kota
besar seperti Kuala Lumpur lebih mementingkan soal perbelanjaan harian atau apa
yang dikatakan sebagai kepentingan kantung atau poket masing-masing.
Dalam situasi demikian, tidak hairanlah mengapa ramai yang
termakan dengan manifesto pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang
seperti cadangan untuk menghapuskan tol, mengurangkan harga petrol dan
pengurangan cukai.
Justeru, Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB), Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh,
berpendapat adalah wajar kerajaan menilai semula usaha untuk menarik balik
sokongan daripada pengundi kelas menengah di bandar ini.
Katanya, di luar bandar ada beberapa struktur masyarakat
terdiri daripada penghulu; Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung
(JKKK); jawatankuasa masjid dan surau serta Rukun Tetangga (RT).
Di bandar hanya ada persatuan penduduk di kawasan
kondominium atau taman perumahan. Jawatankuasa masjid dan surau serta Rukun
Tetangga juga ada tetapi tidak banyak.
Kamarul Rashdan menambah, daripada pemerhatiannya, beliau mendapati
pihak berkuasa tempatan seperti DBKL perlu mendampingi penduduk kondominium
atau pangsapuri yang bercambah dengan banyaknya di kawasan Lembah Pantai,
Ampang dan Bukit Bintang.
DBKL hendaklah dilambangkan sebagai ‘sebuah pusat komuniti’
dan bukan sekadar PBT semata-mata kerana masyarakat mahukan agensi berkenaan
memainkan peranan untuk menjaga kebajikan mereka, kata beliau.
“Transformasi bandar ini perlu dirasai sepenuhnya, lebih
dekat, lebih banyak pembabitan dan lebih merakyatkan,” katanya.
Pergaulan dengan orang ramai boleh dilakukan menerusi sesi
perbincangan atau ‘town hall’ bagi membolehkan mereka memberi pandangan atau
meluahkan rasa tak puas hati tentang sesuatu.
Menurut Kamarul Rashdan, apa yang berlaku sekarang di kota
besar, masyarakatnya berpusu-pusu meredah kesesakan pada waktu pagi untuk ke
tempat kerja dan kemudian bersesak-sesak pada sebelah petang pulang rumah.
Bagi masyarakat yang tinggal di kondominium, kadangkala
langsung tiada masa untuk menjenguk aktiviti di bawah, menyebabkan mereka tidak
sempat menyertai program gotong-royong atau majlis lain.
Oleh kerana tidak memahami keadaan sebenar dan disogok pula
dengan dakyah pihak tertentu, golongan penduduk kota seperti ini akhirnya
memberi sokongan kepada pembangkang.
Selain itu, Dr Kamarul juga berpendapat kerajaan perlu
membuat penjelasan kepada orang ramai mengenai punca kejadian tertentu seperti
banjir kilat dan bagaimana untuk mengatasinya. Cara ini boleh mengatasi
kemarahan penduduk. - Berita Harian, 17 Mei 2013