Berikutan pengumuman
kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter awal minggu ini,
rakyat berpendapatan sederhana sudah tentu mengharapkan kerajaan akan menyusun
apa saja langkah yang boleh mengurangkan beban mereka.
Jika golongan
berpendapatan rendah boleh diberikan bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan
harga barang, kenapa pula golongan berpendapatan sederhana dibiarkan menanggung
bebannya sendirian?
Sebenarnya kini
terdapat jurang yang amat berbeza antara golongan mewah/kaya dengan golongan
menengah/pertengahan di negara ini, selain golongan berpendapatan rendah. Dalam
usaha meringankan beban rakyat, kerajaan perlu melihat semula strata pendapatan
bagi membolehkan bantuan dan subsidi dapat memanfaatkan lebih ramai rakyat yang
sebenarnya memerlukannya.
Macam-macam boleh
dilakukan untuk meredakan kesan hentakan ini, senarainya adalah terlalu
panjang, antaranya termasuk mengurangkan peratusan cukai pendapatan dalam Bajet
2014 yang dibentang tidak lama lagi.
Selain itu kajian
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk
memperkenalkan semula petrol RON92 adalah antara langkah yang boleh menjadi
pilihan.
Petrol RON92 ditarik
balik daripada pasaran pada 2009 dan digantikan dengan RON95 atas alasan untuk
memastikan pengguna mendapat faedah langsung produk petroleum lebih berkualiti
pada harga subsidi oleh kerajaan.
Sementara itu,
mereka yang dilantik dan segala ‘think tank’ yang ada hendaklah membantu
kerajaan mendapatkan maklum balas dengan tepat daripada kalangan golongan
bawahan dan sederhana ini.
Walaupun kerajaan
ada alasan munasabah untuk mengurangkan kadar subsidi harga petrol dan diesel,
sudah tentunya ia akan mempunyai kesan ke atas barangan dan kos perkhidmatan
lain. Apabila ini berlaku, kuasa membeli semakin kecil dan rakyat akan
mengeluh.
Justeru, kita
berharap kenyataan Ketua Setiausaha Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar
Abdullah bahawa kerajaan akan membantu rakyat menikmati hidup lebih selesa akan
dapat direalisasikan dengan berkesan dalam usaha menangani peningkatan kos sara
hidup ini.
Walaupun belum ada
kepastian, sekurang-kurangnya kenyataan itu memberi harapan dan membuktikan
keluhan serta denyut nadi golongan pertengahan dirasai kerajaan. Kita berharap
akan ada tindakan susulan munasabah bagi membantu golongan pertengahan ini.
Golongan
berpendapatan sederhana yang selama ini hanya menjadi penonton kepada Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini menaruh harapan agar mereka juga akan menjadi
penerima apa juga bentuk bantuan yang bakal diberikan kerajaan.
Sudah tentunya
hasrat kerajaan untuk meningkatkan had kelayakan penerima BR1M dalam Bajet 2014
seperti yang dikatakan Dr Irwan juga satu daripada pendekatan terbaik.
Di mana-mana negara
pun, kos sara hidup adalah sesuatu yang amat penting kerana ia menyentuh
kehidupan individu dan keluarga mereka. Di negara Barat, mereka menggelarnya
sebagai isu ‘bread and butter’.
Kenyataan yang
dibuat oleh menteri bahawa penyusunan semula subsidi itu tepat pada masanya, kadar
inflasi masih rendah dan harga bahan api di negara ini paling murah berbanding
negara jiran semuanya difahami dan tidak dinafikan oleh orang ramai.
Namun bagi mereka,
apa yang lebih penting ialah ‘bread and butter’ tadi iaitu tindakan dan usaha
segera yang diambil bagi mengurangkan beban itu. Rakyat hanya memahami apa yang
boleh dibeli dengan wang hasil pendapatan mereka.
Bagi mereka jika
barangan yang boleh dibeli setiap keping wang kertas RM50 semakin berkurang,
maka kehidupan mereka semakin tidak selesa biarpun harga bahan api di negara
ini lebih rendah berbanding di negara jiran. - BH Ahad, 8 September 2013