Terbaru, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dilaporkan sedang menimbang jawatan yang akan ditandingi dalam pemilihan pada penghujung Oktober ini. Pada pemilihan 2009, beliau menentang Khairy Jamaluddin dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda dan tewas.
Ramai penyokongnya kini sedang
beriya-iya mahukan beliau bertanding jawatan Naib Presiden atau
sekurang-kurangnya Ahli Majlis Tertinggi (MT). Hakikatnya ialah sebagai
Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mukhriz, seperti juga rakan sejawatannya dari
negeri lain, akan dilantik menganggotai MT oleh Presiden UMNO.
Namun, ada pihak berpendapat
jawatan yang dilantik dan yang dimenangi dalam pemilihan mempunyai kesan
berbeza. Mereka yang dilantik tidak diuji popularitinya sementara yang menang
dapat melihat sokongan yang diperoleh daripada ahli.
Pemilihan Ketua Pemuda pada 2009
bagaimanapun bukan medan sebenar bagi mengukur sejauh mana sokongan yang
diperoleh beliau daripada ahli. Selain kontroversi yang berlaku, ketika itu
boleh dikatakan Mukhriz juga adalah orang baru dalam politik.Walaupun sudah lama mengikuti perkembangan politik tanah air dan menemani bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad ke majlis parti, secara perbandingan nama beliau hanya baru muncul dalam beberapa tahun ini saja.
Selain itu ramai masih menganggap
popularitinya juga banyak bergantung pada faktor utamanya sebagai anak bekas
Perdana Menteri yang disanjungi rakyat. Maknanya kekuatannya masih belum diuji
kecuali beliau memutuskan untuk mencuba nasibnya bertanding salah satu jawatan
tertinggi parti.
Ada juga pihak berpendapat
Mukhriz perlu menebus semula kekalahannya dalam pemilihan lalu dengan
menandingi jawatan Ketua Pemuda dan menghadapi Khairy bagi pusingan kedua.
Kedua-duanya sama kuat, seorang anak kepada bekas perdana menteri dan seorang
lagi menantu bekas perdana menteri.
Seorang menteri besar dan seorang
lagi menteri. Kedua-duanya berpelajaran dan mempunyai wawasan tersendiri untuk
mengemudikan parti dan sayap Pemudanya ke era lebih cemerlang. Ahli UMNO
hendaklah berfikiran terbuka dan tidak memandang serong cadangan ini.
Bukan semua pertandingan boleh
memecahbelahkan parti. Sekiranya UMNO takut dengan pertandingan dan memberi
alasan ia akan hanya mewujudkan perpecahan, tidak perlulah bersusah payah
mengadakan pemilihan.
Bagaimanapun penulis bersetuju
dengan ingatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa
pertandingan itu tidak harus membawa imej buruk kepada parti.
Katanya: "Kalau nak
bertanding, tawarkan diri, buktikan kemampuan agar akar umbi boleh menyokong
anda, tapi jangan sampai menyatakan UMNO dalam keadaan tidak menentu dan
sebagainya."
Mereka yang bertanding juga
hendaklah mengukur diri sebelum bertanding, maknanya mereka harus pandai
menilai diri sendiri. Ini kerana kali ini pihak parti menyerahkan kepada ahli
sendiri menentukan jawatan yang ingin ditandingi.
Kalau dirasakan layak, bolehlah
ke tengah tetapi kalau orang tidak begitu mengenalinya, buat apalah menyusahkan
diri dan orang lain yang akan mengundi kelak. Ada juga pemimpin tertentu yang
merasakan sudah sampai masa baginya menyerahkan baton kepada orang lebih muda
bagi meneruskan perjuangan.Tidak bertanding tidak bererti menyerah kalah atau sudah tidak menyokong parti. Tanpa jawatan pun ahli boleh menyumbang melalui pelbagai cara, macam orang biasa lain yang tidak ada apa-apa jawatan dari dulu sampai sekarang. Justeru, kita menyanjung sikap pemimpin lama seperti Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sudah mengisytiharkan dirinya tidak akan bertanding dalam pemilihan kali ini.
Walaupun kenyataannya sebelum ini beberapa kali pernah mencetuskan kontroversi, namun ideanya mengenai pemilihan itu ada kebenarannya. Mengambil isyarat daripada pandangan itu, eloklah pemimpin lama terutama mereka yang pernah menghadapi masalah dalam parti tidak lagi bercita-cita untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti.
Sesetengah pemimpin harus mengakui
bahawa zaman kegemilangan mereka sudah berlalu, sudah lama senja dan lewat
malam. Berilah peluang kepada barisan baru mengemudikan parti menjelang Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU-14). - Berita Harian, 11 September 2013