Wednesday, 27 November 2013

PAS mesti ikhlas untuk bermuzakarah dengan UMNO

 
\Sudah tentunya cadangan muzakarah antara PAS dan UMNO    dialu-alukan dan harus diadakan tanpa mana-mana pihak  meletakkan syarat tertentu. Muzakarah yang diadakan sebelum  ini hanya berlangsung sekerat jalan sedangkan UMNO sentiasa  bersikap terbuka.

  Ahad lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika menggulung perbahasan pada Muktamar Agung PAS Kali Ke-59 di Shah Alam, menyatakan kesediaan parti itu untuk bermuzakarah dengan UMNO

  Menurut Hadi, muzakarah itu bertujuan berbincang mengenai pelaksanaan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.
  
Apa yang diperlukan dalam cadangan baru ini adalah untuk menjadikannya satu kenyataan demi kepentingan ummah dan bukan retorik politik semata-mata.

  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika memberi reaksinya, menerimanya dengan sikap terbuka dan ingin melihat terlebih dulu skop cadangan PAS itu.

  Bagi menjadikannya satu realiti, PAS harus berpendirian terbuka dan ikhlas dengan cadangan sendiri untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO. Jangan sekadar melontarkan cadangan tetapi sekejap mahu, sekejap tidak mahu. 
  
  Seperti ditegaskan beberapa pemimpin UMNO, inisiatif untuk bermuzakarah itu akan hanya menjadi sia-sia sekiranya terdapat agenda politik dan hasil perbincangannya tidak dilaksanakan.
  
  Umum tahu bahawa PAS adalah rakan politik DAP dalam pakatan pembangkang dan sudah tentunya parti berkenaan akan cuba menjaga hati rakannya itu dalam apa juga perhubungan yang dilakukan dengan UMNO.
  
  Oleh itu, kita berharap PAS tidak bersandiwara untuk bermuzakarah dengan UMNO kerana orang Melayu sudah terlalu lama bertelagah antara satu sama lain kerana ingin mengejar kuasa politik.
  
  Cadangan terbaru untuk bermuzakarah ini berbangkit apabila perwakilan pada Muktamar Agung PAS ke-59 yang berlangsung minggu lalu mahukan supaya langkah untuk mengadakan pertemuan dengan UMNO itu dirintis semula demi perpaduan ummah.

  Daripada apa yang difahamkan, UMNO sejak dulu lagi sebenarnya tiada masalah untuk menemui dan berbincang dengan PAS mahupun pihak lain dan diharapkan perkembangan yang terbit daripada muktamar agung itu akan disusuli dengan tindakan positif daripada pemimpin parti berkenaan.
  
  Selain Abdul Hadi, PAS sudah tentunya perlu mendapat sokongan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengenai kebaikan muzakarah itu supaya beliau tidak meletakkan pelbagai syarat ketat.
  
  Nik Aziz juga kena membuang segala anggapan kononnya UMNO parti jahiliah dan bahawa perjuangan untuk menegakkan hak Melayu itu satu perjuangan assabiyah yang bersifat rasis.
  
  Justeru, bagi membolehkan kerjasama antara PAS dan UMNO itu menjadi kenyataan, kedua-dua pihak kena mengadakan ‘gencatan senjata’ dan berhenti daripada bersangka buruk.

 Sebaliknya, kedua-dua parti hendaklah mencari kejernihan dan bukannya kekeruhan, barulah matlamat untuk bermuzakarah itu lebih bermakna.  

  Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah pun berlalu, tiada apa lagi yang harus menjadi rintangan antara mereka. Tiada apa lagi yang hendak dikejar kecuali penyatuan orang Melayu yang beragama Islam.
  
  Kalau kerjasama itu boleh dilakukan ketika zaman Yang Dipertua PAS, Datuk Asri Muda dan rakan sejawatannya daripada UMNO, Tun Abdul Razak Hussein, tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku sekarang ketika umat Melayu sedang menghadapi pelbagai cabaran.
  
  Selaku Perdana Menteri, Najib sebenarnya sudah pun menghulurkan tangan kepada PAS apabila beliau melantik Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa untuk menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) kelmarin.      
  
  Inilah sikap keterbukaan yang diinginkan oleh orang Melayu pasca pilihan raya umum ini, semoga ia dapat membawa kepada kerjasama lebih erat dalam bidang sosial dan lain-lain, kalaupun bukan dalam politik.

    Apapun, UMNO dan PAS hendaklah menyahut seruan untuk bermuzakarah itu dengan hati terbuka, ikhlas, tanpa prasangka atau meletakkan prasyarat supaya gagasan itu tidak terbantut lagi di tengah jalan. Selamat bermuzakarah.- Berita Harian, 28 November 2013