\Sudah tentunya cadangan muzakarah antara PAS dan UMNO dialu-alukan dan harus diadakan tanpa mana-mana pihak meletakkan syarat tertentu. Muzakarah yang diadakan sebelum ini hanya berlangsung sekerat jalan sedangkan UMNO sentiasa bersikap terbuka.
Ahad lalu, Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika menggulung perbahasan pada Muktamar
Agung PAS Kali Ke-59 di Shah Alam, menyatakan kesediaan parti itu untuk
bermuzakarah dengan UMNO
Menurut Hadi,
muzakarah itu bertujuan berbincang mengenai pelaksanaan pentadbiran berasaskan
ajaran Islam di negara ini.
Apa yang diperlukan
dalam cadangan baru ini adalah untuk menjadikannya satu kenyataan demi
kepentingan ummah dan bukan retorik politik semata-mata.
Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak ketika memberi reaksinya, menerimanya dengan sikap
terbuka dan ingin melihat terlebih dulu skop cadangan PAS itu.
Bagi menjadikannya
satu realiti, PAS harus berpendirian terbuka dan ikhlas dengan cadangan sendiri
untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO. Jangan sekadar melontarkan cadangan
tetapi sekejap mahu, sekejap tidak mahu.
Seperti ditegaskan
beberapa pemimpin UMNO, inisiatif untuk bermuzakarah itu akan hanya menjadi
sia-sia sekiranya terdapat agenda politik dan hasil perbincangannya tidak
dilaksanakan.
Umum tahu bahawa PAS
adalah rakan politik DAP dalam pakatan pembangkang dan sudah tentunya parti
berkenaan akan cuba menjaga hati rakannya itu dalam apa juga perhubungan yang
dilakukan dengan UMNO.
Oleh itu, kita
berharap PAS tidak bersandiwara untuk bermuzakarah dengan UMNO kerana orang
Melayu sudah terlalu lama bertelagah antara satu sama lain kerana ingin
mengejar kuasa politik.
Cadangan terbaru
untuk bermuzakarah ini berbangkit apabila perwakilan pada Muktamar Agung PAS ke-59
yang berlangsung minggu lalu mahukan supaya langkah untuk mengadakan pertemuan
dengan UMNO itu dirintis semula demi perpaduan ummah.
Daripada apa yang
difahamkan, UMNO sejak dulu lagi sebenarnya tiada masalah untuk menemui dan
berbincang dengan PAS mahupun pihak lain dan diharapkan perkembangan yang
terbit daripada muktamar agung itu akan disusuli dengan tindakan positif
daripada pemimpin parti berkenaan.
Selain Abdul Hadi,
PAS sudah tentunya perlu mendapat sokongan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik
Mat mengenai kebaikan muzakarah itu supaya beliau tidak meletakkan pelbagai
syarat ketat.
Nik Aziz juga kena
membuang segala anggapan kononnya UMNO parti jahiliah dan bahawa perjuangan
untuk menegakkan hak Melayu itu satu perjuangan assabiyah yang bersifat rasis.
Justeru, bagi
membolehkan kerjasama antara PAS dan UMNO itu menjadi kenyataan, kedua-dua
pihak kena mengadakan ‘gencatan senjata’ dan berhenti daripada bersangka buruk.
Sebaliknya,
kedua-dua parti hendaklah mencari kejernihan dan bukannya kekeruhan, barulah
matlamat untuk bermuzakarah itu lebih bermakna.
Memandangkan Pilihan
Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah pun berlalu, tiada apa lagi yang harus menjadi
rintangan antara mereka. Tiada apa lagi yang hendak dikejar kecuali penyatuan orang
Melayu yang beragama Islam.
Kalau kerjasama itu
boleh dilakukan ketika zaman Yang Dipertua PAS, Datuk Asri Muda dan rakan
sejawatannya daripada UMNO, Tun Abdul Razak Hussein, tidak ada sebab kenapa ia
tidak boleh berlaku sekarang ketika umat Melayu sedang menghadapi pelbagai
cabaran.
Selaku Perdana
Menteri, Najib sebenarnya sudah pun menghulurkan tangan kepada PAS apabila
beliau melantik Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa untuk
menganggotai Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) kelmarin.
Inilah sikap
keterbukaan yang diinginkan oleh orang Melayu pasca pilihan raya umum ini,
semoga ia dapat membawa kepada kerjasama lebih erat dalam bidang sosial dan
lain-lain, kalaupun bukan dalam politik.
Apapun, UMNO dan PAS
hendaklah menyahut seruan untuk bermuzakarah itu dengan hati terbuka, ikhlas,
tanpa prasangka atau meletakkan prasyarat supaya gagasan itu tidak terbantut
lagi di tengah jalan. Selamat bermuzakarah.- Berita Harian, 28 November 2013