Wednesday, 26 June 2013

Warga kota sudah muak dengan himpunan pembangkang

  Himpunan Blackout 505 di Padang Merbok pada 22 Jun lalu sekali lagi gagal mencapai sasaran untuk menghimpun 300,000 orang seperti dirancang penganjur. Jumlahnya kurang daripada 20,000 orang, itupun mereka tidak lagi seghairah seperti  perhimpunan  dianjurkan sebelum ini.

  Suasana di Padang Merbok tidak lagi bersemangat seperti  perhimpunan di tempat lain sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Ia bukan disebabkan  jerebu yang sedang melanda ibu negara, tetapi kerana kebanyakan mereka sudah dapat membaca apa yang mahu disampaikan pemimpin pembangkang.
  Sebahagian besar juga sudah muak dengan tindak-tanduk pemimpin pembangkang yang tidak habis-habis dengan bantahan mereka. Ada yang berpendapat sudah sampai masanya  pembangkang maju ke depan dan bertindak sebagai barisan efektif, bukannya cuba menjatuhkan kerajaan dengan berhimpun di tempat awam tanpa sebarang hasil.

  Hari ini pemimpin pembangkang yang menang pada PRU-13 lalu melangkah ke Parlimen untuk mengangkat sumpah jawatan  Ahli Yang Berhormat, walaupun sebelum ini mereka memukul canang mahu memboikot majlis itu.
  Ramai yang melihat telatah pemimpin pembangkang ini seperti ‘cakap tak serupa bikin.’ Mereka menganjurkan perhimpunan bagi membantah keputusan PRU-13 dan di satu pihak lagi, mereka masuk ke Dewan Rakyat untuk mengangkat sumpah.

  Ada kemungkinan juga ini antara sebab  tidak ramai penyokong mereka muncul  memberi sokongan di Padang Merbok Sabtu lalu. Anggapan mereka ialah jika benar pemimpin pembangkang mendakwa berlaku penipuan dan pilihan raya tidak sah, kenapa  mereka mengangkat sumpah pula.
  Laporan media menyatakan ada juga penyokong yang muncul di lokasi berkenaan bagi meluahkan kekecewaan kepada pemimpin pakatan pembangkang itu sambil mengkritik sikap hipokrit mereka.

  Apapun perhimpunan haram seperti ini lebih banyak mendatangkan masalah dan keburukan daripada kebaikan serta menjejaskan kehidupan warga kota. Setiap kali dianjur perhimpunan, ada saja insiden membabitkan pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka.
Peserta perhimpunan itu dikatakan menyerang dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika menghalang mereka mendirikan beberapa khemah.

  Keadaan menjadi kelam kabut dan anggota penguat kuasa DBKL itu dikasari dan dipukul. Sudah tentu kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku jika mereka sebenarnya berhasrat menganjurkan perhimpunan secara aman.
  Ternyata  tujuan pembangkang menganjurkan perhimpunan itu hanya untuk menaikkan semangat penyokongnya dengan menyampaikan ucapan berapi-api. Tapi kali ini tidak ramai yang mendapati ucapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik kerana beliau  sekadar memainkan semula nada retorik yang pernah mereka dengar sebelum ini.

  Tuntutan supaya Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan timbalannya meletakkan jawatan bukan  perkara baru. Ia hanya desakan yang diulang terbit daripada rasa tidak puas hati berikutan keputusan pilihan raya yang tidak memihak kepada mereka.
  Selain insiden membabitkan pegawai DBKL itu, tidak ada kejadian lain dan tiada tangkapan dibuat kecuali Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ditahan mengikut Akta Hasutan berikutan kenyataannya mengenai mati syahid.

  Seorang lagi aktivis pembangkang, Khalid Mohd Ismath dalam serbuan di kediamannya di Klang kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
  Ketiadaan insiden besar pada perhimpunan haram itu ialah hasil daripada tindakan bijak polis mengawal keadaan dengan menggunakan anggota paling minimum, menyebabkan peserta tidak dapat menimbulkan provokasi yang boleh mencetuskan huruhara.

  Apapun polis masih perlu mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan Blackout 505 itu kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan serangan terhadap anggota DBKL. Penganjurnya tetap mengadakan perhimpunan itu walaupun polis dan DBKL tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk berkumpul di lokasi berkenaan.
  Mereka juga dengan jelas melanggar peraturan dengan membawa bersama kanak-kanak ke perhimpunan haram berkenaan dan mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan jika berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. - Berita Harian, 25 Jun 2013