![]() |
Mod Aris dilantik sebagai Datuk bandar Winsford |
![]() |
Jocelyn Yow |
Namun apa yang ingin diceritakan oleh penulis ialah pada 1989 terdapat seorang anak jati Malaysia yang berasal dari Johor Bahru yang dilantik sebagai Datuk Bandar Winsford di England.
Penulis berada pada majlis berkenaan untuk merakam detik bersejarah itu ketika
menjadi Koresponden Utusan Malaysia di London.
![]() |
Bergambar bersama keluarganya selepas majlis mengangkat sumpah |
Baru-baru ini media heboh
memperkatakan mengenai seorang wanita berdarah Malaysia, Jocelyn Yow yang
menjadi wanita termuda dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California,
Amerika Syarikat.
Bapa Jocelyn berasal dari Malaysia dan ibunya dari Vietnam berpindah ke Amerika Syarikat pada 1990-an. Mengikut laporan akhbar, Jocelyn pernah belajar di Sekolah Keat Hwa di Alor Setar. Beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu Dewan Perwakilan di Amerika Syarikat dan menjadi wakil daerah di Senat California. Tahniah diucapkan kepada Jocelyn, anak kacukan Malaysia-Vietnam itu.
![]() |
Keratan akhbar berhubung pelantikan Mohd Aris |
Namun apa yang ingin diceritakan oleh penulis ialah pada 1989 terdapat seorang anak jati Malaysia yang berasal dari Johor Bahru yang dilantik sebagai Datuk Bandar Winsford di England. Penulis berada pada majlis berkenaan untuk merakam detik bersejarah itu ketika menjadi Koresponden Utusan Malaysia di London.
Pada petang 15 Mei 1989, Mohd Aris Ahmad, yang ketika itu berusia 55 tahun mengangkat sumpah sebagai datuk bandar di kota Inggeris berkenaan, kira-kira 250 kilometer dari London (Beliau kini sudah meninggal dunia).
Hubungan awal Mohd Aris dengan Inggeris bermula apabila beliau bersekolah di English College Johor Bahru antara 1945 hingga 1951. Selepas tamat persekolahan, beliau
menyertai Pasukan Tentera Hutan atau apa yang dikenali sebagai Jungle Company dan ditugaskan menjadi operator wireless telegraf dalam operasi di kawasan perhutanan Perak dan Kelantan.
Mengikut ceritanya kepada
penulis, Mohd Aris berkata ketika itu beliau tidak membelanjakan gajinya kerana
hanya berpeluang ke pekan Gerik atau Kuala Kangsar empat atau enam bulan
sekali. Justeru wang yang diperolehnya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
Katanya, selepas tamat
perkhidmatannya dengan Jungle Company
pada 1956, beliau memutuskan untuk ke England dengan tujuan menyambung
pelajaran sebagai persediaan menghadapi kemerdekaan tanah air.
Lalu beliau pun berhijarah ke
Manchester pada 1957 dan bekerja secara sambilan di beberapa tempat di samping
mengambil peperiksaan O Level dan kemudiannya A Level. Akhirnya Mohd Aris
diterima masuk ke Manchester University tetapi terkandas di separuh jalan.
Di sinilah dia menemui wanita
yang bernama Miss Renee Orange dan berkahwin dengannya pada 1959. Hasil
perkahwinan itu, mereka mendapat dua anak, Faziah dan Ibrahim. Kedua-duanya juga
sudah berumah tangga ketika Mohd Aris menjadi datuk bandar.
Pelbagai pekerjaan dilakukan Mohd
Aris bagi menempuhi cabaran baharunya di England. Namun tidak terlintas pada
pemikirannya bahawa pada satu hari beliau akan menjadi Datuk Bandar Winsford,
yang terletak di barat daya England.
Bagi meneruskan kehidupan
berkeluarga, Mohd Aris bekerja sebaagai pemandu lori dengan tekunnya tetapi
tidak disangka sikapnya yang bersahaja dan peramah itu menyebabkan dia disukai
oleh orang putih di bandar itu.
Beliau adalah satu-satunya
pemastautin Melayu di Winsford ketika berhijrah kira-kira 20 tahun sebelumnya
dan masih orang Melayu tunggal di situ sehingga diangkat sebagai datuk bandar.
Walaupun sudah begitu lama hidup
bersama orang Inggeris dan jauh dari kampung halaman, namun adat resam, bahasa dan agama tidak
dilupainya. Malah amalannya itulah yang menjadi kekuatan kepadanya.
Dalam pertemuan dengan beberapa
penduduk termasuk jirannya di majlis pengisytiharan datuk bandar, Mohd Aris
atau Jeff, nama panggilannya di Winsford, disifatkan sebagai mempunyai
perwatakan yang baik.
Kemesraan di antara Mohd Aris
dengan penduduk tempatan inilah yang menyebabkan beliau ditarik menyertai
politik pada 1977. Dua tahun kemudian beliau mencuba nasib dengan bertanding
kerusi majlis tempatan Winsford, mewakili Parti Buruh. Cubaan kali pertamanya
gagal.
Namun empat tahun selepas itu
apabila pilihan raya majlis tempatan diadakan, anak jati Johor ini mencuba
nasibnya sekali lagi dan berjaya! Ketika itu beliau sudah berhenti menjadi pemandu
lori dan menjalankan perniagaannya sendiri bersama menantunya John Brooks.
Selepas pilihan raya 1987 Mohd
Aris dilantik oleh ahli majlis yang lain sebagai Timbalan Datuk Bandar dan
seterusnya pada 1989, beliau menggantikan tempat Arnold Newton Ford sebagai
Datuk Bandar. Menurut Ford, pelantikan datuk bandar dilakukan secara pemilihan
dalam kalangan ahli majlis berdasarkan merit tanpa prejudis.
“Kami pilih Councillor Ahmad sebab dia seorang yang tekun bekerja dan telah
lama berhidmat dalam majlis,” kata Ford.
Majlis Tempatan Winsford ketika
itu diwakili 15 anggota, 10 daripadanya mewakili Parti Buruh (Labour Party) dan
lima lagi mewakili Parti Konservatif. Ini memudahkan lagi pelantikan Mohd Aris
kerana Parti Buruh mempunyai majoriti. Di samping jawatan di Winsford, beliau
juga ahli Majlis Tempatan Daerah Vale Royal.
Ditanya apakah rahsia beliau
sehingga dapat menambat hati penduduk Winsford, Mohd Aris berkata “kalau kita
hendak selamat, hati kena baik, mulut kena manis”.
Katanya, sebagai orang asing kalau
kita hendak dihormati, kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain.
Demikian kisah anak Melayu yang
berhijrah ke England dan akhirnya diangkat menjadi datuk bandar di sebuah
bandar bernama Winsford. Selepas beliau tidak ada lagi kedengaran cerita
mengenai kejayaan anak Melayu yang mampu sampai ke jawatan berkenaan.
Cerita Jocelyn Yow mengimbaukan
penulis kepada Mohd Aris yang tidak dilupai sehingga sekarang.
Nukilan cerita ini disiarkan oleh
Utusan Malaysia pada Rabu, 31 Mei 1989.