Tuesday, 31 May 2016

Zam: Mula dan akhirnya hanya ingin menjadi wartawan

Penulis (tengah) bersama Tan Sri Zam pada Majlis Pelancaran buku ' Saya Bukan Menteri'

Baru-baru ini unit penerbitan Universiti Utara Malaysia atau UUM Press telah melancarkan buku ‘Saya Bukan Menteri’ hasil tulisan mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga lebih dikenali dengan nama panggilannya, Zam.

Anehnya tajuk buku itu dilihat seolah-olah tidak tepat kerana jawatan yang pernah disandangnya dalam kerajaan selepas keluar daripada dunia kewartawan, bermula dengan jawatan ahli Parlimen, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan akhirnya Menteri.

Buku terbaru Zam itu adalah satu catatan kehidupannya atau memoir yang bukan sahaja mencakupi kariernya sebagai wartawan dan tokoh politik, tetapi juga diselitkan dengan kisah peribadinya sendiri termasuk minatnya terhadap seorang gadis muda yang akhinya menjadi isterinya serta percintaannya dengan wanita yang dikenali dengan nama samaran sebagai Aryati.

Menelusuri kisah Zam, kita mendapati beliau adalah antara orang yang sentiasa bernasib baik kerana diberikan kepercayaan untuk memegang pelbagai jawatan tertinggi, tidak kira dalam surat khabar mahupun kerajaan.

Dalam bab Pembuka Kata bertajuk ‘Siapa Saya’, antara lainnya beliau menulis… “bila menyertai dunia kewartawanan tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi ketua pengarang dan tidak juga langsung berminat untuk menjadi seorang ahli politik apatah lagi menjadi menteri.”

Tambahnya, kewartawanan mendekatkan beliau kepada manusia dari bawah hingga ke atas, membolehkannya melihat mereka tidak sahaja pada luarannya tetapi juga apa yang tersembunyi di sebalik kegagahan penampilan, kehebatan kata-kata dan sifat-sifat kebesaran.

Pendedahan itu sekali gus menghilangkan kekaguman dan kepercayaan kepada manusia yang dikagumi ole rakyat biasa, justeru menyebabkan wartawan sering menjadi manusia sinis dalam banyak hal.

Zam berkata beliau melihat kepalsuan dalam dirinya sebagai menteri, dalam kot dan tali leher, dalam pakaian rasmi Barat atau kebangsaan bertengkolok, dalam pelbagai bintang gelaran dan kebesaran.

“Saya melihat pandangan tinggi orang kepada saya bukanlah diri saya yang sebenar terutamanya apabila kehormatan yang berlebihan diberikan.

“Menteri yang mereka lihat pada suatu ketika dalam hidup saya bukanlah saya kerana saya tidak melihat itu sebagai ketulenan diri saya.

“Saya wartawan,” tegasnya dalam buku tersebut, sekali gus menjelaskan kepada pembaca kenapa beliau memilih tajuk buku ini ‘Saya Bukan Menteri’.

Dalam dunia kewartawanan terutama pada zaman moden dan canggih ini, mungkin tidak ramai wartawan pernah melalui pengalaman yang ditempuhi Zam.

Dalam bukunya, Zam berkata beliau mencapai kedudukan tertinggi dengan usahanya sendiri, belajar sambil bekerja dan berani mengambil risiko untuk memajukan diri.

“Saya tidak bercita-cita untuk menjadi menteri dan mahu mengakhiri karier saya sebagai seorang wartawan.

Maka itu saya belajar dan terus belajar,membaca dan terus membaca, masih mencari terjemahan bagi setiap perkataan Inggeris yang saya tidak faham.

“Banyak hal yang saya lakukan tanpa berfikir panjang tetapi dengan keyakinan kepada kebenaran dan bila keputusan dibuat, saya bertindak bersendirian tanpa menghiraukan pandangan orang.

Sikap ini berterusan sehingga saya memikul tanggungjawab besar dalam politik,” tambahnya.

Bertolak daripada sikap dan pendirian itulah Zam tidak peduli tentang jawatan timbalan menteri yang disandangnya apabila beliau meminta seorang menteri ketika itu supaya memohon maaf kepada Dr Mahathir berikutan kecamannya terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Terdahulu Dr Mahathir telah membuat teguran mengenai pengeluaran begitu banyak permit AP sehingga mengancam industri automotif negara.

Bila ditanya oleh wartawan kewajaran beliau selaku timbalan menteri meminta seorang menteri memohon maaf, Zam berkata: “Saya menyatakannya secara profesional, sebagai bekas wartawan.

Saya tidak menyimpan apa-apa niat buruk, tidak ada apa sehinggalah hari ini dan itulah pendirian saya”

Selain itu dalam memoirnya itu, Zam juga menarik perhatian tentang cara beliau menjalankan tugas, yang mana mereka yang pernah bekerja pada zaman beliau akan mengakui bahawa beliau adalah seorang ketua yang ‘cenge’, kadangkala agak rigid.

Zam juga tidak pandai menyembunyikan tanggapannya sekiranya beliau tidak sukakan sesuatu atau seseorang.

Mungkin sikap inlah yang menjadikannya rimas apabila dilantik menduduki jawatan dalam kerajaan.

Baru-baru ini seorang bekas editor menukilkan pandangannya semasa dia bertugas di Utusan dahulu.

Katanya, “saya menjaga meja Luar Negara selama lima tahun rasa macam neraka terutama ketika bertugas malam. Takut-takut ada berita luar negara yang ‘miss’.

“Balik pukul 3-4 pagi pun tak pasti masih selamat. Keesokannya hati berdebar-debar bila telefon rumah berbunyi takut-takut panggilan daripada Encik Zam.

“Bila datang kerja petang pun dalam keadaan tension macam orang salah yang akan disoal siasat oleh polis. Takutkan Zam macamlah takutkan hantu gamaknya. Itu satu daripada beberapa episod saya sebagai wartawan Utusan selama 30 tahun.”

Di dalam bukunya, Zam mengakui terdapat banyak sikap dan tindakannya menimbulkan kemarahan dan kontroversi. Wakil-wakil negeri juga tidak senang bila menerima panggilan daripadanya, sama ada bersifat arahan atau teguran.

“Saya tidak tahu kenapa mereka takut tetapi saya baru menyedarinya setelah diberitahu oleh bekas-bekas kakitangan saya, ini adalah kerana kedudukan Encik Zam sebagai Ketua Pengarang.”

Namun apapun tanggapan orang terhadapnya dan betapa parti politik pembangkang begitu membenci akhbar tersebut sehingga ke hari ini, Utusan telah berjaya menjadi antara akhbar terulung di negara ini, yang juga melahirkan kumpulan wartawan bersemangat tinggi dan dikenali ramai.

Tegasnya apa yang dilakukannya adalah untuk melahirkan akhbar yang terkini dengan berita dan kandungan mendahului akhbar-akhbar lain. Ketinggalan berita atau 'kena scoop’ sebagaimana istilahnya dalam bahasa kewartawanan, adalah kesalahan besar dan memalukan.

“Ketua Pengarang yang pasif dan Meja Pemberita yang lemah akan melahirkan akhbar yang ketinggalan zaman terutama pada zaman portal dan media sosial,” katanya.

Buku ‘Saya Bukan Menteri’ ini dihasilkan ketika Tan Sri Zam dilantik sebagai Karyawan Tamu di Universiti Utara Malaysia pada 2010.

Profesor Dato’ Dr Abdul Rahman Abdul Aziz, Mantan Pengarah Institut Tun Dr Mahathir (IPDM) dalam ‘Kata Pengantar’ buku tersebut merakamkan kegembiraannya dengan sumbangan Zam kepada IPDM, kerana minat dan komitmen beliau yang berterusan dalam bidang kewartawanan.

Menurut Dr Rahman, apabila membaca buku ini, beliau mendapati bahawa saudara Zam cuba merekodkan kembali pengalaman beliau daripada seorang anak kampung dengan takdir Illahi telah mencapai kejayaan yang mungkin tidak terlintas pada dirinya sendiri, daripada seorang pemberita sambilan sehinga ke jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu, dan kemuncaknya sebagai Menteri Penerangan.

Kini Zam mendedikasikan masanya bersama rakan-rakan lama di Utusan dan sekali-sekala muncul menceritakan cebisan kisahnya di dalam ‘Buletin Suara Keramat’.

Pada setiap hujung minggu beliau akan berada di sebuah gerai di Selangor Mansion berdekatan Masjid India di Kuala Lumpur untuk ‘pekena’ teh tarik dan bersarapan bersama rakan-rakan lama termasuk seorang lagi mantan Ketua Pengarang, Tan Sri Johan Jaaffar.

Mungkin tidak ramai yang pernah melalui liku-liku perjuangan dalam karier mereka seperti Zam. Pastinya buku ini dapat menjadi rujukan berguna kepada golongan pembaca secara umumnya dan wartawan muda khususnya.

Terima kasih Zam kerana mendidik kami dalam kewartawanan dan memberi peluang kepada penulis untuk menjadi Wakil Utusan di London pada penghujung 1980-an.