Sudah tentu mereka
harus memikul harapan yang menggunung ini dengan penuh bertanggungjawab dan
tidak mensia-siakan mandat itu. Setiap ahli Dewan pasti mempunyai peranan
masing-masing kerana di Dewan yang mulia inilah undang-undang digubal, dibahas
dan diluluskan sebelum di bawa ke Dewan Negara.
Mereka yang sudah
lama dan berpengalaman pasti tahu
beratnya tanggungjawab ini. Bagi yang baru mengecapi pengalaman itu akan
merasai bukan senang menjadi wakil rakyat yang berkesan.
Ketika berucap
selepas dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kelmarin, Tan Sri Pandikar
Amin Mulia menggesa wakil rakyat
menerapkan budaya transformasi bagi mempertingkatkan status Parlimen ke
tahap lebih tinggi.
“Marilah kita
berubah dan melakukan transformasi. Kalau bukan kita, siapa lagi. Kalau tidak
sekarang, bila lagi? Marilah kita membawa Parlimen Malaysia ini ke tahap lebih
tinggi,” katanya.
Sidang Dewan sejak
dulu sering kecoh dengan pelbagai isu
yang dibangkitkan ahlinya walaupun kadangkala
timbul telatah lucu ketika sesi soal jawab atau perbahasan. Namun, pertikaman lidah antara wakil kerajaan
dengan pembangkang juga bukan perkara asing
kerana percanggahan pendapat antara mereka.
Justeru, adalah
penting mereka memahami bahawa perbahasan di Dewan Rakyat bukan sekadar
pertengkaran dengan wakil kerajaan atau sebaliknya. Harus ada dekorum dan sikap
saling menghormati kerana mereka bukan dipilih oleh pengundi untuk membuat
kecoh ketika sidang Dewan.
Wakil rakyat hendaklah menyedari rakyat sentiasa memerhati gelagat mereka dari
dekat dan jauh termasuk dari galeri pelawat di dewan persidangan. Media juga
sentiasa ada untuk membuat liputan dan melaporkan apa yang mereka lakukan atau
berbahas dalam Dewan.
Sesuai dengan
peredaran masa, Pandikar Amin menambah, proses dan prosedur mesyuarat di
Parlimen juga perlu berubah kepada demokrasi lebih matang walaupun ia mungkin
mengambil sedikit masa. Katanya,
perubahan atau pindaan ini akan disusuli dengan pembentukan Kabinet bayangan
(di pihak pembangkang) bagi melicinkan perjalanan perbahasan.
Di negara maju
seperti Britain dan Australia terdapat ‘Kabinet bayangan’ parti pembangkang. Setiap portfolio
kerajaan akan mempunyai jawatan yang sepadan dengannya di pihak pembangkang.
Dengan Kabinet bayangan ini mereka dapat bertindak dengan lebih berkesan
apabila ada isu tertentu yang dibawa ke persidangan. Sebagai contoh, apabila
timbul isu mengenai pengangkutan atau usul tertentu mengenai kementerian
berkenaan, akan ada menteri bayangan di pihak pembangkang yang mampu
mengupasnya dengan terbuka dan bernas.
Mereka tidak
bercakap dengan tujuan untuk membidas kerajaan semata-mata tetapi dengan idea
alternatif kepada cadangan kerajaan.
Kabinet bayangan adalah salah satu elemen dalam sistem kerajaan
Westminster. Ia dianggotai sekumpulan ahli pembangkang kanan yang bertindak
selaku jurucakap, diketuai ketua pembangkang.
Ahli Kabinet
bayangan ini selalunya diserapkan sebagai anggota Kabinet, walaupun tidak
semestinya, sekiranya pihak pembangkang pula menang pada pilihan raya dan
membentuk kerajaan.
Penganalisis
politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia (USM)
berpendapat memang sudah sampai masa bagi pihak pembangkang membentuk Kabinet
bayangan itu bagi memudahkan urusan mesyuarat.
“Ia langkah baik bagi membolehkan pembangkang membincang isu
yang dibangkitkan dengan lebih serius dan tersusun. Dengan adanya Kabinet
bayangan, mereka memikul tugas untuk membantu negara serta mematangkan dan
mendewasakan demokrasi kita,” kata Atory.
Apapun, perubahan
yang mungkin dicorakkan oleh wakil
rakyat yang ada sekarang bergantung pada diri mereka sendiri. Jika mereka masih
enggan berubah dan ingin terus dengan cara lama, kita tidak akan saksikan
sebarang perubahan seperti yang diharapkan. Tanpa perubahan, hanya ahli yang baru tetapi caranya masih di takuk lama.
– Berita
Harian, 26 Jun 2013