
Pembinaan kapal layar
itu dilakukan di Pulau Duyung, Terengganu iaitu kawasan tidak asing lagi bagi
peminat bot dari seluruh dunia. Pembinaan GM1 berukuran 18.2 meter panjang dan
5.181 meter lebar dengan kedalaman 3.04 meter itu mengambil masa empat tahun
untuk disiapkan, lewat dua tahun daripada sasaran awal ekoran proses
dokumentasi yang rumit.
Akhirnya, projek
kapal layar Warisan Duyung GM1 itu yang dimulakan pada November 2006 berjaya
disiapkan pada 2010.
Seramai sembilan
orang terdiri daripada empat tenaga pengajar dan lima pelatih kursus Ketukangan
Kayu, Gentian Kaca dan Teknologi Maklumat Pusat GiatMARA Terengganu terlibat
secara langsung dalam pembinaan kapal layar Warisan Duyung itu.
Apa yang menarik
ialah kapal yang dibina menggunakan 45 tan kayu cengal itu tidak menggunakan
paku, sebaliknya memakai kaedah pasak kayu dan skru serta mengekalkan ciri-ciri
keaslian pembuatan kapal layar tradisional negeri Terengganu. Selain itu, ia
dapat menampung 15 anak kapal dan mempunyai kapasiti simpanan air sebanyak
2,000 liter.
Ketua Pegawai
Eksekutif GiatMARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail berkata pembinaan kapal layar
Warisan Duyung GM1 dilakukan dengan tujuan untuk membangunkan kurikulum
pembuatan kapal layar secara tradisional bagi mengekalkan serta memelihara seni
warisan Melayu.
“Apa yang paling
membanggakan, semua tenaga pengajar dan pelatih yang terbabit dalam pembinaan
kapal ini tidak mempunyai sebarang kemahiran membuat kapal sebelum ini,” ujar
beliau.
Katanya, masa yang
agak lama diambil kerana ia bukan pembuatan kapal layar semata-mata tetapi juga
proses pembelajaran secara langsung iaitu setiap apa yang dilakukan ditulis dan
dirakamkan secara terperinci.
Proses pembangunan
modul latihan ini turut dibantu dua pakar yang dilantik daripada Universiti
Kuala Lumpur (UNiKL) sebagai penasihat teknikal.
Kapal layar pertama
hasil buatan pertama GiatMARA itu kini digunakan untuk tujuan pelancongan di
perairan Pulau Langkawi dan pernah menyertai Regata Antarabangsa Diraja
Langkawi ke-10 pada 2012.
GiatMARA kini
merancang untuk membina kapal layar kedua selepas melihat kejayaan kapal
pertama itu, kata beliau. - Berita Harian, 29 Januari 2014