Thursday 17 December 2020

'Ungku Aziz, dalam sejuta hanya dia seorang sahaja'

 

Pada 15 Disember 2020 lalu kita dikejutkan dengan  pemergian tokoh tersohor negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid pada usia 98 tahun.

Allahyarham adalah tokoh ekonomi dan pendidikan negara yang mencetuskan idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ungku Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922, mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951 di Universiti Malaya yang ketika itu berpusat di Singapura, sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.

Selain itu beliau adalah juga pengasas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA). Pada 1968 Allahyarham dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya di Kuala Lumpur sehingga 1988 dan merupakan Naib Canselor paling lama berkhidmat di universiti berkenaan. 
Pak Ungku sentiasa berjogging di sekeliling kampus pada waktu pagi dan ketika berjogging itu, beliau akan melihat suasana di kampus berkenaan. Jika ada sesuatu yang  tidak kena, akan dibawanya ke pengetahuan pentadbir universiti.

Dalam temu bual dengan Pak Ungku di pekarangan kediamannya di Seksyen 17 Petaling Jaya pada 2012, penulis mendapati beliau mempunyai pemikiran yang tajam dan masih aktif walaupun sudah berusia 90 tahun.

Pak Ungku juga dikenali kerana kritikannya yang tajam dan kritis, Pernah ketika menjadi Naib Canselor, beliau mengkritik golongan pensyarah yang tidak mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri sebagai ‘Profesor Kangkung’.

Kami bertemu di kawasan kolam renang sebelum beliau menjemput penulis untuk melihat bilik kerjanya di kediaman berkenaan yang juga mempunyai sejumlah buku yang banyak.

“Saya bekerja tujuh hari seminggu. Saya tidur pada jam 11.30 malam atau 12 tengah malam dan bangun pada jam 6 pagi. Saya berehat sekejap antara jam 3 hingga 4 petang kerana perlu menjaga tubuh dan fikiran saya,” ujar beliau.

Pak Ungku berkata beliau mengamalkan pemakanan sihat dan mengikuti peraturan seperti yang tertulis di dalam buku Fit For Life hasil karya J Diamond. Katanya pada waktu pagi beliau melakukan sesuatu yang mencabar pemikirannya seperti membaca buku yang susah dibaca atau membuat Sudoku.

Dalam temu bual itu, Pak Ungku melahirkan kebimbangannya mengenai generasi muda Melayu yang suka merempit. Umumnya beliau berpendapat orang Melayu mempunyai satu sikap yang dinamakan sebagai ‘apa-thy’ atau sikap ‘tidak apa’.

Beliau juga menyatakan pemerhatiannya mengenai ketidakseimbangan di antara pelajar perempuan dan lelaki di universiti. Pelajar perempuan, tambahnya, mengatasi bilangan pelajar lelaki di universiti, melebihi 60 peratus.

Pak Ungku menambah semasa menjadi Naib canselor UM, antara perkara yang mendorongnya untuk melakukan perubahan ialah ketika Fakulti Perubatan ditubuhkan, beliau melihat jumlah pelajar Melayu amat kurang sekali. Daripada 130 pelajar yang mendaftar, terdapat hanya kira-kira 10 pelajar Melayu. Kini ada antara 10,000 hingga 15,000 pakar perubatan Melayu.

Pak Ungku kesal kerana generasi muda tidak minat pada buku dan lebih gemar menggunakan gajet disebabkan perubahan teknologi.

“Saya juga cuba menumpang perubahan teknologi itu dengan menggunakan iPhone tetapi saya tidak suka dikawal oleh alat ini,” ujarnya.

Beliau juga membaca portal berita tetapi tidak melekat padanya. “Saya tidak mahu jadi hamba Internet,” katanya yang ketika itu memegang buku Reading The Quran karya Ziauddin Sardar.

Katanya, beliau sedih meihat generasi muda bukan sahaja tidak sukakan buku, bahkan memegang buku pun tidak mahu, Akibatnya, mereka tidak mempunyai daya ingatan kuat kerana segala-galanya ada dalam kad memori.

Pak Ungku amat meminati buku dan selain mengunjungi kedai buku, beliau juga membelinya daripada Amazon.com. Keseluruhannya koleksi buku Pak Ungku berjumlah 4,000 nashkah yang disimpan di dua unit apartmen di Petaling Jaya. Beliau juga mempunyai sebuah rumah di Morib untuk menyimpan koleksi bukunya yang lain.

Pak Ungku adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Demikian sedikit sedutan temu bual penulis  dengan Profesor Diraja Ungku Aziz kira-kira lapan tahun lalu. Pertemuan salama kira-kira sejam itu akan terus menjadi ingatan kepada penulis. Bertuahnya penulis kerana sepanjang karier dapat bertemu seorang ikon.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin, "dalam sejuta, cuma hanya dia (Allahyarham) seorang dan antara 30 juta orang di Malaysia, dia adalah seorang Profesor Diraja dan dialah seorang sarjana yang disebut-sebut oleh semua kaum."

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dosa-dosanya diampunkan.

Alfatihah.